SIFAT-SIFAT HAMBA ALLAH YANG PENGASIH
Allah Subhanahu wa Taala telah menggariskan kepada kita mengenai sifat-sifat yang ada pada hambanya yang pemurah ( ibadurrahman ) untuk sama-sama kita renungi dan contohi melalui ayat 63 hingga 77 surah al-Furqan. Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambanya malah dengan sifat pengasih dan penyanyangNya, Dia telah memberi panduan secukupnya kepada kita bagaimana cara menjadi seorang hamba yang pengasih disisiNya dan makhlukNya yang melata di muka bumi ini melalui tarbiyyah Quraniayyah( didikan berlandaskan al-Quran ) untuk dijadikan rujukan dan sinar petunjuk kepada kita. Di antara sifat hambaNya yang pengasih adalah sebagaimana berikut :
1. Bersifat merendah diri (tawaddhu), bersopan-santun, tenang di dalam semua keadaan dan memelihara diri daripada perkara-perkara yang tidak mendatangkann faedah. Firman Allah dalam ayat 63 surah al-Furqan yang bermaksud :
Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu adalah mereka yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah diri dan apabila orang-orang kahil menyapa mereka, mereka ucapkan kata-kata yang baik.
2. Khusuk dan tawaddu, mereka gerun dan takut akan azab Allah yang digambarkan melalui rasa kehambaan-nya (ubudiyyah) yang ikhlas kerana Allah. Firman Allah dalam ayat 64 hingga 66 surah al-Furqan yang bermaksud :
Dan orang yang menghabiskan malam hari dengan sujud dan berdiri kerana Tuhan mereka. Dan mereka yang berkata : Wahai Tuhan kami! Jauhkan azab neraka jahannam daripada kami, sesungguhnya azabnya itu merupakan kebinasaan yang kekal. Sesungguhnya neraka jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.
3. Bersederhana dalam semua perkara dan keadaan. Tanda-tanda hamba yang pemurah yang lain pula ialah bersederhana dan berpada di dalam menafqahkan harta serta tidak pula merasa kedekut(kikir) ataupun merasa akan berkurangan sebahagian daripada hartanya diperlukan. Firman Allah dalam ayat 67 surah al-Furqan yang bermaksud :
Dan mereka yang mana apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula terlalu kedekut(kikir), dan adalah pembelanjaan itu seimbang diantara kedua-duanya.
4. Mentauhidkan (mengEsakanNya) dan tidak mensyirikkanNya serta menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang dimurkai Allah dan mendatangkan dosa. Mereka yang terpilih sahaja yang layak diberi gelaran hambaNya yang pemurah, namun begitu jika dia terjebak dengan dosa besar maka Allah akan melipat gandakan siksaan ke atasnya melainkan mereka yang bertaubat dan mengerjakan amalan soleh. Firman Allah dalam ayat 68 hingga 71 surah al-Furqan yang bermaksud :
Dan mereka yang tidak menyembah tuhan yang lain berserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan sebab yang dibenarkan dan tidak pula mereka melakukan zina, sesiapa yang melakukan demekian itu, nescaya dia akan mendapat pembalasan dari dosanya. Iaitu akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari qiamat dan dia akan kekal dalam azab itu dalam keadaan hina. Kecuali mereka yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh maka kejahatan mereka akan diganti oleh Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amalan soleh maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.
5. Menjaga maruah dan kemuliaan diri daripada melakukan saksi palsu dan membuang masa dengan perkara-perkara yang melalaikan. Mereka juga sentiasa bersifat benar dan tidak berdusta. Bersungguh-sungguh di dalam segenap urusan serta tidak suka membiarkan waktu berlalu begitu sahaja. Oleh itu apabila diajak untuk berbual kosong, dia akan menghadapinya dengan cara yang bijaksana. Firman Allah dalam ayat 72 surah al-Furqan yang bermaksud :
Dan mereka yang tidak melakukan saksi palsu, dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah mereka lalui sahaja dengan menjaga kehormatan dirinya.
6. Menerima dan mendengar segala peringatan Allah dengan tenang dan sepenuh hati. Pemikirannya ditumpukan kepada ayat-ayat Allah sama ada berupa perintah tau larangan. Dia menyedari bahawa dia adalah hamba dan milik Allah sehingga menjadikan ayat-ayat Allah meresap di seluruh urat nadinya. Firman Allah dalam ayat 73 surah al-Furqan yang bermaksud :
Dan mereka yang mana apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagaimana mereka yang tuli dan buta.
7. Sentiasa berharap agar dikurniakan isteri-isteri dan cahayamata yang menyenangkan hati yang mana mereka terdiri daripada kalangan mereka yang beriman, berilmu dan taat beragama. Harapannya ini bukan satu khayalan malah dia dahului dengan persiapan dirinya sendiri, mendidik diri untuk menjadi orang yang soleh dan taat beragama. Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Furqan yang bermaksud :
Dan mereka yang berkata :Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyejuk hati dan jadikanlag kami imam(pemimpin) bagi mereka yang bertaqwa.
8. Bersabar dalam melaksanakan perintah Allah dan mentaatiNya, bersabar di dalam menjauhi larangan Allah dan daripada menuruti hawa nafsunya serta bersabar di dalam menyampaikan dakwah. Dia menyedari bahawa kesabaran adalah suatu jalan yang terbaik di dalam merealisasikan mabda tarbawi yang dikehendaki sehingga melayakkan dirinya untuk menerima ganjaran yang setimpal dengan kesabarannya di dunia dahulu. Firman Allah dalam ayat 75 surah al-Furqan yang bermaksud :
Mereka itulah orang yang akan dibalas dengan kedudukan yang tinggi di dalam syurga kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat sejahtera di dalamnya.
Marilah kita sama-sama merenung segala sifat yang perlu ada pada mereka yang ingin menjadi hamba Allah yang pengasih. Cuba tanya dan muhasabah diri kita adakah semua sifat itu sudah ada ataupun semuanya belum tersemat lagi di dalam kita. Marilah kita sama-sama melakukan reformasi diri ke arah yang lebih terbaik daripada hari-hari semalam yang telah berlalu. Hari kematian kita tidak tahu, begitu juga dengan segala amalan kita adakah diterima ataupun tidak. Oleh itu kita hendaklah sentiasa menambah amalan serta memastikan segala sifat yang dirakamkan oleh Allah di dalam surah Al-Furqan itu mampu kita hayati bersama. Yakinlah kia bahawa setiap sesuatu yang diberitahu oleh Allah di dalam kitab suci Al-Quran bukanlah sesuatu yang hanya berbentuk teori tetapi ia mampu dibuat dan diamalkan oleh hamba-hambanya yang beriman dan sentiasa mengamalkan segala apa yang terkandung dalam Al-Quran.
Comments
One Response to “SIFAT-SIFAT HAMBA ALLAH YANG PENGASIH”Trackbacks
Check out what others are saying...[…] sumber,disini […]