Islam haramkan bunuh diri


ITULAH antara secebis lumrah kisah masyarakat yang biasa dialami individu hari ini yang mungkin disebabkan oleh kos sara hidup yang semakin meningkat dan juga pengaruh nilai-nilai sekular yang cuba menyerap masuk tanpa disedari dalam kehidupan umat Islam masa kini.

Allah SWT secara tegasnya melarang sebarang kegiatan membunuh atau bunuh diri, walaupun ia sekadar lintasan di dalam hati dan fikiran. Larangan itu dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran.

Malah, Rasulullah SAW bukan hanya menyatakan kebencian tetapi kesedihan mendalam terhadap kegiatan tersebut, khususnya mencari jalan penyelesaian dengan membunuh diri.

Rasulullah menyifatkan kegiatan itu sebagai tidak bermoral kerana bukan hanya menyekat usaha mengembangkan agama Islam tetapi memberi imej buruk kepada agama Islam itu sendiri.

Antara surah-surah di dalam al-Quran yang menyentuh mengenai perkara ini, antaranya firman Allah yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan dan yang mematikan dan Kamilah yang kekal memiliki segala-galanya. (al-Hijr: 23)

Sementara dalam surah al-An’am ayat 151: Dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan yang terang daripadanya dan yang tersembunyi dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah (membunuhnya) melainkan dengan (jalan) yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Dengan demikian itulah Allah perintah kamu supaya kamu memahaminya.

Firman Allah SWT: Bahawasanya sesiapa yang membunuh diri seseorang dengan tidak ada alasan yang membolehkan diri seseorang itu (hukuman qisas) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh semua manusia. (al-Maidah: 32)

Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Fariza Md. Sham berkata, secara asasnya Islam amat mengiktiraf setiap penganutnya untuk hidup dalam aman dan harmoni.

Atas sebab itulah, menjaga nyawa adalah termasuk dalam maqasid syariah yang mengandungi empat perkara iaitu akal, nyawa, harta dan keturunan.

“Setiap perkara yang merosakkan tubuh badan, mengancam nyawa atau melemahkannya adalah haram dan untuk itu, mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan keempat-empat perkara di atas hukumnya adalah wajib,” katanya ketika di temui di UKM, Bangi, baru-baru ini.

Namun begitu, realitinya pada hari ini, larangan itu tidak mampu menyekat kegiatan bunuh dan bunuh diri daripada berlaku.

Malah, kes bunuh diri yang sebelum ini boleh dikatakan jarang berlaku dalam kalangan umat Islam tetapi sejak akhir-akhir ini, sudah mula menular. Situasi sebegini tidak boleh dipandang remeh.

Daripada segi psikologi, kajian menunjukkan bahawa gejala membunuh diri itu bermula apabila seseorang itu mengalami kemurungan melampau dalam tempoh agak lama yang disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya adalah ketidakstabilan rumah tangga, keluarga yang pincang, tekanan kerja dan lain-lain.

Kemurungan jika tidak dirawat boleh menyebabkan golongan terbabit hilang pertimbangan akal, yang besar kemungkinan mencetuskan idea bunuh diri.

“Kita biasa mendengarnya dalam kalangan masyarakat bukan Islam, sama ada dalam atau luar negara tetapi akhir-akhir ini walaupun tidak kronik tetapi sudah ada kes-kes melibatkan orang Islam.

“Malah kita selalu beranggapan orang Islam kalau berada dalam tekanan, kekecewaan, kesedihan dan lain-lain, tidaklah sampai membunuh diri kerana kita ada paksi agama yang tidak membenarkanya sama sekali. Tetapi sekarang ini sudah tidak mustahil,” katanya.

Dr. Fariza sendiri pernah membuat kajian tentang tekanan dalam kalangan lebih 400 orang remaja pada 2005. Dan kajian itu mendapati, remaja yang mengalami tekanan tahap sederhana adalah paling ramai.

Beliau menjelaskan walaupun berada di tahap sederhana tetapi itu tetap bermakna mereka sedang mengalami tekanan yang mungkin kerana keluarga atau akademik.

“Biarpun kajian tersebut telah lapan tahun berlalu, namun respond-respond itu kini sudah dewasa dan yang membimbangkan, mereka ini dalam keadaan mengalami tekanan walaupun di tahap sederhana.

“Jika tidak ditangani awal, tidak mustahil mereka boleh mengalami kemurungan dalam hidup dan membawa kepada kecelaruan mental (mental disorder) dan ini sudah pasti akan membawa kerugian kepada agama serta negara di masa depan,” katanya.

Dr. Fariza berkata, kesan daripada perbuatan membunuh diri boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu kepada ahli keluarga, masyarakat dan agama.

Bagi ahli keluarga katanya, ia akan meninggalkan kesan psikologi dan emosi yang mendalam terutama kepada ahli keluarga yang rapat seperti anak-anak, suami atau isteri dan ibu bapa.

“Sudah tentu peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam kepada pemikiran dan perasaan mereka sehingga menjadi satu trauma dalam hidup mereka.

“Paling ditakuti ialah trauma itu pula boleh memberi kesan kepada perkembangan psikologi anak-anak dan mereka berpotensi mengalami tekanan dan kemurungan yang boleh membawa kepada kecelaruan mental,” katanya.

Sementara daripada segi masyarakat dan agama pula, ia akan memberi gambaran kepada masyarakat bahawa kehidupan ini begitu susah dan banyak dugaan sehingga menimbulkan fenomena bahawa, jika tidak tahan mengharunginya, maka jalan mudah ialah membunuh diri.

“Ia memberi kesan iaitu dari segi imej agama Islam itu sendiri bahawa agama dan iman seolah-olah tidak boleh menjadi benteng kepada mereka yang bermasalah.

“Sedangkan dalam ajaran Islam cukup lengkap mengajar umatnya untuk bersabar, reda dan berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi dan Allah adalah tempat terbaik untuk mengadu dan meminta,” katanya.

Ditanya daripada segi hukum pula, Dr. Fariza berkata, ia lebih kepada hukuman di akhirat kerana ia adalah dosa besar dan jika tidak diampun oleh Allah SWT, tempatnya adalah di neraka. (rujuk al-Isra’: 31)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 61,126 other subscribers
%d bloggers like this: