Ketokohan dan Kemasyhuran Sayyidina Umar al-Khottbah


SETELAH enam tahun berdakwah di Mekah, Rasulullah SAW semakin menghadapi tentangan. Tokoh-tokoh Quraisy semakin menekan kaum Muslimin yang pada masa itu sedikit dan lemah. Ramai antara mereka yang diseksa secara fizikal mahupun mental.

Suatu hari Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, muliakanlah Islam dengan orang yang paling Engkau cintai daripada dua orang ini: Umar bin al-Khattab atau Abu Jahal bin Hisyam.” (riwayat al-Tirmizi)

Kedua-dua tokoh ini terkenal kuat dan cergas. Mereka pemuda Quraisy yang cukup berpengaruh. Jika masuk Islam, mereka tentu dapat memberikan sumbangan yang signifikan untuk melindungi agama tauhid ini.

Pilihan Allah SWT jatuh kepada Umar. Pada bulan Zulhijjah tahun keenam setelah kenabian, Umar masuk Islam. Usia beliau pada masa itu ialah 26 tahun. Terbukti keIslaman menjadi sebuah titik peralihan yang membawa umat Islam ke posisi yang diperhitungkan dalam masyarakat Quraisy pada masa itu.

Ibnu Mas’ud berkata: “KeIslaman Umar merupakan satu kejayaan, hijrahnya satu kemenangan dan kepimpinannya satu rahmat. Kami (kaum Muslimin) tidak mampu solat di sekitar Baitullah sehingga Umar masuk Islam. Apabila masuk Islam, Umar terus melawan musyrikin Quraisy hingga mereka membiarkan kami solat.” (riwayat Ibnu Saad)

Prestasi Umar

KeIslaman Umar merupakan jawapan Allah SWT bagi doa nabi-Nya dan satu pembelaan bagi umat Islam yang tengah terdesak.

Lembaran-lembaran sejarah kemudian bersaksi bahawa kelebihan Umar bukan kerana kekuatan fizikalnya sahaja. Akan tetapi juga kerana kecerdasan dan ketajaman akalnya. Setiap pendapat yang beliau kemukakan selalu tepat seolah-olah beliau mendapat bisikan wahyu daripada malaikat.

Rasulullah SAW pernah bersabda: Dalam kalangan umat-umat terdahulu terdapat sekumpulan orang yang selalu mendapat bisikan malaikat. Jika ada seseorang yang seperti ini dalam kalangan umatku, maka orang itu pastilah Umar. (riwayat al-Bukhari)

Apabila Umar menjadi Khalifah, beliau kembali membuktikan kepakarannya dalam bidang kepimpinan dan bina strategi. Analisis beliau terhadap peristiwa yang telah berlaku sangat tajam. Daripada situ beliau mampu meramalkan apa yang akan berlaku secara tepat.

Ahnaf bin Qays berkata tentang ketajaman analisis Umar: “Pemahaman beliau tentang apa yang akan berlaku lebih mendalam berbanding pemahaman kami tentang apa yang telah berlaku.”

Kepemimpinan

Di bawah kepemimpinan Umar, dakwah Islam bukan hanya mampu bertahan malah tersebar ke Iraq, Syam dan Mesir. Empayar Rom dan Parsi sebagai kuasa politik terbesar pada masa itu, bahkan tidak mampu menahan pergerakan pasukan Islam. Satu persatu kekuasaan mereka jatuh ke tangan umat Islam.

Justeru, sungguh tepat firasat Abu Bakar as-Sidik apabila beliau menunjuk Umar sebagai penggantinya. Pilihan tersebut pastinya mendapat sokongan taufik daripada Allah SWT.

Seseorang bertanya kepada Abu Bakar apabila beliau hampir wafat: “Apa yang akan engkau katakan kepada Allah apabila ditanya: Mengapa engkau memilih Umar sebagai penggantimu?” Abu Bakar menjawab: “Aku akan berkata: Aku telah memilih orang terbaik dalam kalangan mereka sebagai pemimpin.” (Ibn Saad)

Seperti Umar

Kebanyakan kita lahir sebagai Muslim. Kita tidak pernah melalui masa-masa sukar seperti mana yang pernah dilalui oleh para sahabat Nabi SAW. Sumbangan kita kepada Islam pun tidak seberapa berbanding dengan sumbangan mereka.

Justeru, peluang kita untuk melakukan kebaikan sangat terbuka. Berusahalah meneladani Umar bin al-Khattab yang telah menyumbang bagi Islam dengan tenaga, pemikiran dan kepakarannya. Pastikan keIslaman kita memberi nilai tambah kepada Islam, bukan memperburuk imej agama tauhid ini di mata dunia.

Umat manusia tidak melihat Islam dengan mengkaji al-Quran dan sunnah. Akan tetapi mereka menilai Islam dengan melihat perilaku kita. Kesopanan dan keluhuran budi kita akan membuat Islam lebih dihormati. Sumbangan kita dalam kerja-kerja kemanusiaan dan penjagaan alam sekitar akan membuat Islam lebih dikagumi.

Sekadar jubah dan serban tidak akan meninggikan imej Islam, apabila perilaku kita kasar dan suka bertelagah sesama sendiri.

Umar bin al-Khattab telah melakukan tugasannya untuk memperkukuh agama Islam. Kini tiba giliran kita untuk melanjutkan warisan tersebut. Wallahu a’lam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 61,126 other subscribers
%d bloggers like this: