Sudah tentu bekalan air bersih diperlukan. Untuk menguruskan sumber air bukanlah mudah. Namun, kerjasama pelbagai agensi berkaitan berjaya meletakkan Malaysia muncul antara negara terbaik di Asia dalam pengurusan sumber air.
Pelbagai usaha telah dan akan dilakukan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai demi memastikan sumber yang membekalkan air bersih kepada penduduk dipelihara.
Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ismail Abustan ketika ditemui S2 memberitahu, kualiti air negara mengikut piawaian antarabangsa dan jika berlaku pencemaran, loji terbabit akan ditutup sehingga masalah itu dapat diselesaikan.
“Kualiti pengurusan sumber air negara berada dalam kedudukan amat baik kerana setiap jabatan berkaitan mempunyai tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing dalam melaksanakan tugasan.
“Misalnya, sebelum air turun ke bumi, kita ada MetMalaysia yang meramalkan hujan. Bila air jatuh ke permukaan, kita ada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), manakala tempat air bertakung pula diuruskan oleh TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda). Itu antara contoh,”katanya.
Menurutnya, ada agensi menentukan berapa jumlah bekalan air minum, berapa untuk pertanian dan berapa untuk industri diperlukan di setiap kawasan.
Beliau yang fokus pada air bandar berkata, penduduk, pertanian dan industri saling memerlukan bekalan dan di negara kita, faktor yang merosakkan sumber air adalah perancangan tidak terkawal sama ada dari sektor perhutanan, pertanian atau pembukaan tanah.
“Perancangan tidak terkawal merosakkan alam sekitar. Misalnya, pembukaan ladang kelapa sawit yang menjadi antara punca pencemaran air,” ujarnya.
Namun, katanya, disebabkan ladang sawit merupakan salah satu sumber ekonomi negara, maka pihak terlibat perlu menyeimbangkan aktiviti perladangan dengan kadar kelestarian maksimum supaya tidak ada impak yang boleh menjejaskan kualiti air.
Mengulas mengenai beberapa kawasan di negara ini menghadapi masalah kekurangan bekalan air, katanya, ia sepatutnya tidak berlaku kerana negara menerima jumlah hujan mencukupi iaitu kira-kira 3,000 milimeter setahun.
Menurutnya, Australia hanya menerima 1,000 milimeter setahun tetapi negara itu tidak menghadapi masalah bekalan air kerana negara itu mampu mengurus sumber air dengan baik.
Ismail berkata, apa yang berlaku di negara kita adalah kita alpa terhadap ‘kemewahan’ sumber air yang banyak.
“Kita alpa apabila kita mewah. Kita harap kemewahan itu dapat dikecapi sampai bila-bila. Apabila berlaku bencana alam, kemewahan itu akan berkurangan. Jika tiada pendekatan betul diambil, maka masalah akan timbul,” ujarnya.
Beliau menegaskan, usaha memelihara sumber air mestilah bermula daripada penduduk. Ini kerana katanya, apabila air sungai surut, kita boleh nampak banyak timbunan sampah termasuk botol, plastik dan tin di kawasan yang telah surut.
Ini katanya, menunjukkan penduduk negara ini masih tidak ada minda yang betul dalam menghadapi isu alam sekitar, khususnya pengurusan sungai.
“Jika di negara maju, kita boleh nampak sungai yang menempuh kawasan bandar kekal bersih dan jernih sehinggakan ada ikan dan itik berenang di dalamnya.
“Kehadiran ikan dan itik dalam sesebuah sungai menjadi indikator sama ada sungai itu bersih atau tidak, atau pencemaran berada pada tahap maksimun,” katanya yang menegaskan ikan memerlukan oksigen untuk hidup dan jika sesebuah sungai tercemar, maka kandungan oksigen di dalamnya berkurangan.
Beliau menjelaskan seekor ikan memerlukan lima miligram oksigen per liter air dan kalau kurang daripada jumlah itu, maka hanya spesies ikan tertentu sahaja yang boleh hidup seperti ikan haruan yang tidak memerlukan oksigen yang banyak untuk hidup.
Katanya, apa yang dibimbangi kini adalah kemunculan spesies ikan baru di sungai negara kita.
“Spesies baru itu adalah ikan yang memerlukan kurang oksigen untuk hidup dan membiak tanpa kawalan.
Misalnya, ikan kap yang dibawa masuk ke sungai-sungai di Australia menyebabkan sungai di negara itu rosak. Begitu juga di Florida, Amerika Syarikat yang terpaksa bergelut dengan spesies ikan pemangsa iaitu snakehead yang makan apa sahaja sehingga spesies ikan sedia ada terjejas.
Beliau berharap masalah itu tidak berlaku di sungai-sungai Malaysia.
“Saya harap kerjasama antara setiap agensi pengurusan sumber air di setiap negeri bekerjasama dalam melestarikan sungai kita.
“Insya-Allah, kerjasama yang dijalin akan memberi manfaat kepada manusia, flora dan fauna, sekali gus melestarikan sungai agar terus sihat,” tambahnya.