Kisah Seketul Tulang Dan Sebidang Tanah


Semasa Saidina Umar bin Al-Khattab ra menjadi khalifah, beliau melantik ramai gabenor bagi mentadbir wilayah-wilayah yang sudah dimerdekakan oleh tentera Islam daripada penjajahan empayar Rom yang beragama Kristian.
Di antara gabenor itu ialah Amru bin Ash, yang dilantik sebagai gabenor di Mesir. Di Mesir beliau tinggal dalam sebuah istana yang besar. Di hadapan istana beliau ada sebidang tanah yang luas dan lapang. Ada juga sebuah pondok buruk di situ.
Amru pun terfikir untuk membeli tanah tersebut yang dimiliki oleh seorang yahudi untuk dibuat sebuah masjid yang besar setaraf dengan istana beliau.
Pada suatu hari, beliau menjemput orang yahudi itu dan bertanya,
“Tuan, saya bercadang untuk membeli tanah tuan dan membina sebuah masjid di situ. Izinkan saya membelinya. Berapakah harga tanah tuan itu?”
“Saya tidak berniat untuk menjual tanah itu,” kata orang yahudi itu.
Kata Amru lagi, “Saya sanggup membayar 3 kali ganda daripada harga pasaran tanah itu.”
Orang yahudi itu pun mengulangi pendiriannya untuk tidak menjual tanah itu. Si gabenor pun memujuk orang itu lagi, katanya, “Bagaimana jika saya tawarkan harga 5 kali ganda?”
Jawab yahudi itu, “Tidak, saya takkan menjualnya.”
Lalu Amru bertanya lagi, “Kamu takkan menyesal selepas ini?”
Jawab orang itu, “Tidak”. Kemudian dia pun minta diri untuk pulang.
Selang beberapa hari selepas itu, Amru mengeluarkan surat arahan kepada pegawainya supaya mengosongkan tanah tersebut, pondok buruk itu mesti dirobohkan dan sebuah masjid perlu didirikan di situ untuk kegunaan dan kepentingan orang ramai.
Orang yahudi itu pun pergi ke Madinah untuk mengadu hal tentang rampasan tanah oleh Amru itu kepada Khalifah Saidina Umar ra.
Setibanya di Madinah, orang yahudi itu terkejut besar bila melihat dengan mata dan kepala beliau sendiri, raja sekalian raja orang Islam yang berkuasa memerintah satu pertiga dunia itu tidak tinggal dalam istana besar dan megah seperti gabenor-gabenor baginda di tempat lain.
Dia terjumpa dengan khalifah Umar di depan masjid dan sedang duduk berehat di bawah sepohon kurma. Lalu dengan tidak membuang masa, beliau pun terus membuat pengaduan kepada khalifah.
“Sungguh sangat melampau perbuatan Amru bin Ash ini!” kata Saidina Umar.
Kemudian Saidina Umar pun berkata kepada orang yahudi itu, “Lihat di sana, ada tempat longgokan sampah. Tolong ambilkan saya sepotong tulang kering, bawa ke sini”.
Yahudi itu pun pergi seperti yang diarahkan. Diambilnya seketul tulang belikat unta dan diserahkan kepada khalifah. Dengan menggunakan hujung mata pedangnya, Saidina Umar menulis sesuatu di atas tulang busuk itu dan katanya,
“Bawa tulang ini baik-baik ke Mesir, kemudian serahkan kepada Amru bin Ash, gabenor saudara.”
Kata si yahudi itu, “Tuan raja sekalian orang Islam yang mulia, saya datang dari jauh semata-mata untuk berjumpa dengan tuan bagi mendapatkan keadilan, tapi tuan hanya memberikan saya sepotong tulang yang sudah kering!”
Maka jawab Khalifah Umar, “Saudara, pada tulang itu terletak keadilan yang tuan cari. Pergilah kepada gabenor anda, pasti dia akan memberi keadilan buatmu.”
Kemudian orang yahudi tua itu pun pulanglah ke Mesir dengan rasa tidak berpuas hati, marah dan bercampur kebingungan lalu diserahkan kepada Amru bin Ash.
Sebaik saja Amru mendapat kiriman tulang dari khalifah dan membaca hakikat tulisan Khalifah Umar itu, beliau menangis dan terus mengarahkan supaya pegawainya merobohkan masjid yang sudah siap dibina dan memulangkan balik tanah yang dirampas kepada orang yahudi itu.
Pada hari orang ramai berkumpul untuk merobohkan masjid itu seperti yang di tetapkan, tiba-tiba orang yahudi itu pun berjumpa Amru.
“Maaf tuan, jangan robohkan dulu masjid itu, saya mahu bertanya satu kemusykilan,” kata si yahudi itu.
“Tanyalah,” jawab Amru bin Ash.
“Apakah yang menyebabkan tuan ingin merobohkan masjid ini dan memulangkan kembali tanah milik saya, hanya setelah menerima kiriman seketul tulang kering dari khalifah?” soalnya.
Jawab Amru, “Tulang itu adalah tulang biasa, malah baunya busuk, tetapi khalifah menulis
kan huruf alif yang dipalang di tengah-tengahnya!”
Kemudian Amru pun menerangkan maksud dua garis yang ditulis Saidina Umar dengan mata pedangnya itu,
“Maksud tulisan itu ialah, Wahai Amru bin Ash, ingatlah saudara, walau siapa pun saudara sekarang, biar bagaimana tinggi pangkat dan kuasa saudara, satu saat nanti anda pasti menjadi tulang-tulang yang busuk. Oleh itu hendaklah saudara berlaku adil seperti huruf alif yang tegak lurus, adil kepada orang di atas dan kepada orang di bawah anda dan maksud garis yang kedua pada tulang itu ialah jika saudara tidak adil dan lurus (betul), akan ku palang saudara di tengah-tengah iaitu akan ku penggal leher saudara dengan pedangku ini!”
Mendengar jawapan gabenor itu, maka orang yahudi itu pun berkata, “Tuan gabenor yang mulia, janganlah robohkan masjid itu, saya wakafkan tanah saya itu untuk kebajikan orang ramai dan saya berhasrat untuk memeluk Islam! Ajarilah saya!”
Demikianlah kisah yang paling mengesankan dalam sejarah islam tentang makna keadilan, ianya terus segar dan harum dalam lipatan sejarah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,027 other followers

%d bloggers like this: