Tips hargai pasangan


SIKAP memihak Aliya kepada ayahnya sering kali menimbulkan perang dingin di antara dua beranak tersebut. Aliya tahu, ibunya berkecil hati kepadanya kerana tatkala berlaku pertengkaran di antara ibu dan ayah, Aliya akan memenangkan si ayah. Bagi Aliya, ayahnya tidak wajar diperlakukan sedemikian rupa, sekalipun apa yang dikatakan oleh ibunya benar.

Namun, baginya bukan itu caranya. Mengaibkan maruah suami kepada orang lain dengan menceritakan keburukan si ayah, itu sama sekali salah. Bukankah sebagai seorang isteri, menjaga maruah dan menutup aib suami itu satu tuntutan?

Tapi ini tidak berlaku. Setiap kali pertengkaran berlaku di antara ibu dan ayahnya, si ibu lebih senang menceritakan hal tersebut kepada kawan-kawannya. Mengata itu dan ini tentang keburukan si suami. Hatta, kelemahan dalam kain turut disingkap. Dan terlondehlah segala yang menjadi rahsia rumah tangga mereka selama ini.

Si ibu terus bercerita tanpa segan silu. Baginya, kawan-kawannya itulah tempat dia meluahkan segala perasaan tidak puas hatinya selama ini terhadap sikap dan perbuatan ayah kepadanya. Bahkan Aliya pernah mendengar sendiri betapa ibu pernah mengatakan di hadapan kawan-kawannya, “Selama aku kahwin dengan dia, apa yang aku dapat? Satu sen pun tak guna!”

Tersentap Aliya mendengar kata-kata ibunya yang selamba meneruskan ceritanya. Bagi ibu, selama ini dialah yang bersusah payah membangunkan keluarga. Ayahnya tahu apa? Buat kerja dalam rumah pun jarang sekali dilakukan. Lipat kain? Basuh pinggan? Menyapu? Mandikan anak? Apatah lagi memasak? Semuanya itu tak pernah dilakukan oleh ayah selama berkahwin dengan ibu.

Itu yang membuatkan ibu terlalu kecewa. Bahkan pernah sesekali ibu seakan-akan membuat provokasi kepada ayah supaya menceraikannya. Allahuakbar! Mengucap Aliya sambil mengurut dada yang tiba-tiba terasa sempit apabila perkataan tersebut dikeluarkan.

Ayah? Hanya diam membatu. Cakaplah apa sahaja, ayah tak pernah melawan kata-kata ibu. Hanya sesekali ayah bersuara jika ibu terus membuatkan provokasi kepadanya, juga mengungkit-ungkit setiap bantuan yang diberikan kepada keluarga.

Ayah di mata ibu hanya suami yang tidak tahu apa-apa. Yang ayah tahu hanya baca surat khabar dan tengok televisyen. Selebihnya? Hanya ibu yang menguruskan segala-galanya.

Memang benar. Itulah sikap ayah yang memang menerima didikan daripada keluarganya sedemikian rupa. Ayah dalam keluarganya diajar tentang fungsi lelaki yang hanya perlu mencari nafkah. Tugas rumah tangga, terletak pada isteri. Begitu juga tugas mendidik anak-anak juga tugas isteri. Ibu penat! Tapi itulah ayah, hatta air basuh tangannya juga perlu dihulurkan kepadanya tatkala mula-mula ibu berkahwin dengan ayah.

Tetapi lama-kelamaan, ayah sedikit-sedikit berubah. Ayah sudah mula basuh pinggannya sendiri. Ada sesekali tolong lipatkan baju, sekalipun bukan selalu. Tetapi ayah dah mula berubah.

Cuma ibu masih melihat ayah seperti dahulu. Apa sahaja yang dilakukan oleh ayah, serba tidak kena di mata ibu. Ibu pada Aliya mahu ayah berubah secara drastik. Ibu juga sering mengomel, ayah tidak seperti suami orang lain yang bawa isterinya jalan-jalan atau makan di luar sekali-sekala. Sambut hari ulang tahun dan hari lahir? Jauh sekali! Ayah bukan begitu orangnya. Tapi ibu mahukan itu. Itulah yang sering diungkit-ungkit oleh ibu apabila berlaku pertengkaran dengan ayah.

Sebagai anak, bukan Aliya tidak kasihankan ibunya yang diduga hidupnya untuk menjadi isteri kepada insan seperti ayah. Tetapi ibu tidak wajar memburukkan ayah di hadapan kawan-kawannya. Aliya tahu, sebagai lelaki, ayah juga ada maruah. Ayah juga malu. Namun ayah tak pernah mengatakannya. Aliya serba salah. Derhakakah dia kepada ibu andai dia selalu memihak kepada ayahnya?

Tip kaunselor

HUBUNGAN suami isteri yang diceritakan dalam kisah minggu ini adalah sekelumit kisah yang terjadi mungkin berpunca daripada banyak sumber, sama ada ia boleh dilihat oleh mata kepala atau bersifat dalaman yang perlu diteroka oleh kaunselor dan kedua-dua pasangan suami isteri untuk saling memahaminya.

Fikiran yang tertekan berpunca daripada ketidakmampuan manusia untuk menerima sesuatu perkara secara positif. Sebagai contoh apabila isteri berleter, marah-marah atau menunjukkan reaksi fizikal dengan bermasam muka, ia adalah manifestasi daripada rasa emosi yang masih belum dapat diselesaikan. Justeru, isteri perlu belajar memahami dirinya dan suami belajar peka dengan perubahannya.

 

Kisah hidup yang dipendam bukan sahaja akan mengundang sakit dan penyakit malah merosakkan perhubungan silaturahim yang diikat dengan akad. Sering berlaku, isteri mahu dirinya difahami oleh orang lain terutama suami, tetapi tidak pula mencuba memahami orang lain. Hakikatnya, konsep saling mempelajari untuk memahami akan mengurangkan masalah yang berlaku.

 

Suami yang tidak tahu untuk menunjukkan kasih sayang perlu diajar bagaimana kasih sayang itu perlu ditunjukkan. Contohnya, jika suami tidak pandai menolong isteri dalam soal tugasan rumah tangga seperti membasuh pinggan, melipat kain dan banyak lagi perkara yang remeh, isteri harus berperanan membantu suami menunjuk ajar secara berperingkat bagaimana hal tersebut boleh dilakukan. Memaksa untuk berubah secara drastik sebenarnya lebih memberikan tekanan kepada pasangan, sekali gus menolak untuk melakukannya.

 

Resipi kebahagiaan rumah tangga turut dipengaruhi oleh sikap terbuka dan bersedia. Terbuka bermaksud sentiasa meletakkan diri sesuai dengan keadaan dan masa juga sentiasa pula bersedia memberikan diri untuk membantu apabila diperlukan pasangan. Justeru, sifir utama suami dan isteri ialah perkara yang besar jangan dikecilkan. Begitu juga perkara yang kecil jangan dibesarkan.

 

Lihat sahaja pasangan dahulu mereka tidak pernah menyatakan cinta dengan kata-kata, namun mereka boleh kekal ke hingga akhir hayat kerana mereka mempunyai prinsip perhubungan bukan mencari kelemahan tetapi belajar untuk menerima kelebihan pasangan masing-masing.

 

Sikap suami atau isteri yang meluahkan masalah rumah tangganya dengan orang yang tidak membantu hanya akan membawa kepada perhubungan yang lebih tegang dan membingungkan. Bukan semua orang ikhlas untuk mendengar, sebaliknya ramai yang akan mengambil kesempatan untuk menambah nilai keburukan tidak kurang juga mencadangkan sesuatu yang tidak masuk akal.

 

Sikap reda dan sabar adalah resipi rahsia yang hanya dapat dinikmati oleh mereka yang berilmu dan mengharapkan reda Allah SWT. Mereka percaya jika ikut hati mati ikut rasa binasa. Ikut nafsu buntu ikut iman banyak panduan. Hanya Allah lah yang Maha Mengetahui dan Maha Penentu segalanya. Manusia hanya mampu merancang Allah yang menentukan semuanya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: