Memahami sikap remaja sebelum menanganinya


Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

 

REMAJA adalah sasaran penting pembangunan modal insan sesebuah negara. Sebabnya, mereka mempunyai potensi yang amat bernilai untuk dibangunkan.

Namun, krisis moral dan gejala sosial yang semakin menjadi-jadi dewasa ini amat menggusarkan terutama di kalangan remaja dan pelajar sekolah.

Jika tidak dibendung, negara akan berhadapan dengan krisis nilai dan akhlak yang boleh menjejaskan kecemerlangan pembangunan manusia dan negara secara berterusan.

Lalu, apakah langkah membendungnya yang perlu diambil. Remaja ini kalau kerenahnya disekat, mereka memberontak. Jika dibiarkan tanpa panduan, dibimbangi mereka akan terumbang-ambing dan akhirnya tidak mampu menyumbang kepada pembangunan negara sebagai mana yang diharapkan.

Justeru, untuk melenturkan mereka, perlu difahami karakter dan ciri-ciri semula jadi mereka, kata pensyarah Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Mastura Badzis.

Menurut kajian, katanya, kurang memahami ciri-ciri semula jadi tingkahlaku anak-anak adalah punca yang membawa kepada permasalahan sehingga menyebabkan tekanan kepada anak-anak.

Secara rasionalnya, ibu atau bapa yang memahami tahap perkembangan seseorang anak dan keperluan aspek perkembangannya pasti akan membantu semasa membesarkan mereka.

“Dapatan daripada kajian ilmiah membuktikan ibu bapa yang memahami peringkat perkembangan anak akan banyak bersabar memahami kerenah anak.

“Malah mereka juga lebih banyak membantu melakukan perkara positif untuk menyokong perkembangan anak-anak,” katanya pada seminar ‘Kemelut Peradaban Remaja Masa Kini: Perspektif al-Quran dan al-Sunnah’ di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk, ‘Memahami Perkembangan dan Keperluan Remaja: Satu Pendekatan Menangani Gejala Akhlak dan Moral dalam Kalangan Remaja’.

Dr. Mastura mencadangkan tiga pendekatan dalam menangani gejala akhlak berasaskan pemahaman perkembangan remaja.

Pertama, menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan tahap perkembangan.

Katanya, ini mengambil pesanan Nabi SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Berbicaralah dengan manusia mengikut kemampuan akalnya”.

“Maksudnya dalam konteks mendidik akhlak remaja, ibu bapa atau guru perlu memastikan ia sesuai dengan tahap perkembangannya.

“Ini supaya ia dapat diterima oleh si anak dan bersesuaian untuk diaplikasi,” jelasnya.

Pendekatan kedua, kata Dr. Mastura adalah menganalisis sesuatu gejala akhlak dan bukan terus menghukum atau melabel.

Katanya, sesuatu kesalahan di kalangan remaja perlu diteliti terlebih dahulu sebelum tertanam stigma atau melabel mereka sebagai jahat dan sebagainya.

Ini bertepatan dengan pandangan Ibn Sina iaitu: “Amat perlu bagi mereka yang berurusan dengan kanak-kanak atau remaja meneliti dan menimbang terlebih dahulu tabiat sebenar mereka, menguji tahap inteleknya dan kemudian barulah berikan ia apa yang sesuai untuknya”.

Pendekatan ketiga, menurut Dr. Mastura adalah menyelesaikan masalah dengan mengambil kira perspektif dan respons remaja.

Katanya, melibatkan remaja dalam menyelesaikan masalah yang mereka lakukan dapat membantu membina kepercayaan remaja terhadap diri sendiri.

“Selain itu, mereka dapat belajar menghormati pandangan orang lain dan memberi peluang mengasah minda remaja berfikir tentang sesuatu yang abstrak yang boleh memberi kesan kepada kehidupan ini,” tambahnya.

Bagi pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Hadis, APIUM, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff, apa yang menjadi kebimbangan di kalangan remaja adalah khalwat.

Katanya, khalwat adalah lanjutan daripada pergaulan bebas dan percampuran remaja lelaki perempuan tanpa tujuan yang baik.

“Apabila ini berlaku, kejadian seperti pembuangan bayi kerana kelahiran yang tidak terancang akan terjadi,” katanya dalam kertas kerja bertajuk ‘Isu-isu Remaja dan Penyelesaiannya Menurut al-Quran’.

Dr. Zulkifli berkata, al-Quran mengemukakan dua gagasan dalam menangani isu ini iaitu membangunkan diri remaja dan membanteras cabang masalah.

Dalam membangunkan diri remaja, katanya, Islam mendidik umatnya supaya menguasai akhlak terpuji dengan mengambil Nabi Muhammad SAW sebagai contoh.

Menurut beliau didikan ini dilakukan melalui latihan-latihan keimanan. Dengan latihan tersebut seseorang dapat membiasakan diri menguasai akhlak berkenaan.

“Ibu bapa mesti serius membimbing anak-anak ke arah masa depan yang gemilang. Jangan menyerahkan tanggungjawab membesarkan anak-anak kepada orang lain.

“Kesan daripada itu, menyebabkan rasa kasih sayang dan hormat kepada ibu bapa berkurang dan akhirnya terhakis,” katanya.

Tinggalkan komen

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 62.1K other subscribers