SUHU panas yang berpunca daripada fenomena El Nino boleh memberikan kesan buruk kepada tubuh antaranya menyebabkan demam dan dehidrasi.
Bagi mengatasi masalah ini, kita perlu minum air secukupnya dengan mengamalkan minum air masak sebanyak lapan gelas sehari untuk mengelakkan kesan dehidrasi.
Minum juga minuman isotonik yang boleh menggantikan garam dan mineral di dalam tubuh badan yang hilang akibat berpeluh. Namun elakkan minuman mengandungi gas.
Minuman mengandungi kafein dan gula perlu dikurangkan kerana boleh menyebabkan badan seseorang itu menjadi lesu dan tekak sentiasa berasa dahaga.
Kurangkan aktiviti luar sama ada kerana tujuan kerja atau beriadah serta banyak berehat di rumah bagi mengelakkan mengalami dehidrasi.
Dalam pada itu, fenomena suhu panas melampau perlu digunakan sebaik-baiknya untuk menjalankan aktiviti bersama keluarga di rumah seperti solat berjemaah dan membaca al-Quran beramai-ramai.
Jika ingin juga keluar berjalan pada waktu panas terik, kita digalakkan melindungi diri dengan menggunakan payung, topi atau losen pelindung sinaran ultralembayung (UV).
Selain itu, pakai pakaian longgar untuk memudahkan pengudaraan. Jangan pakai pakaian berwarna hitam kerana warna itu akan menyerap haba dan orang ramai digalakkan mengenakan pakaian terang yang boleh memantulkan haba.
AUNI NADIAH CHE RADZUAN
Negeri Sembilan