Khasiat Pokok Ara Songsang
Blog Dedaun Alam
Nama Botani : Asytasia coromandeliana
Famili : Acanthaceae
Pokok ara songsang berasal dari Malaysia. Ramai yang mengenalinya dengan nama rumput Israel.
Tumbuhan jenis rumpai ini juga dikenali dengan nama akar ruas-rusa dan pengorak. Terdapat berapa spesis pokok ara songsang yang dibezakan melalui bentuk dan saiz bunga atau pokoknya.
Ia tumbuh secara meliar di kawasan terbiar, kebun, halaman rumah dan ladang. Pokok ini lebih menggemari kawasan yang terlindung daripada pancaran matahari. Ia mempunyai batang yang beruas, lembut dan berair.
Ia membiak dengan cepat melalui keratan batang dan biji benih. Ara songsang dipanggil dengan nama rumput Israel kerana ia cepat membaik dan akan menguasai sesuatu kawasan dengan pantas. Tumbuhan rumpai tidak disukai oleh pekebun dan petani.
Biarpun dianggap sebagai tumbuhan perosak tetapi ia juga mempunyai khasiat dalam perubatan herba tradisional.
Daun pokok ara songsang yang dilumatkan dan ditampal pada tempat berkenaan boleh digunakan untuk merawat luka dan bengkak.
Untuk melawaskan pembuangan air kecil, pokok ini direbus dan diminum air rebusan tersebut. Daun pokok ini yang ditumbuk bersama bawang digunakan untuk merawat masalah kekejangan otot.
Akar pokok ara songsang yang dimakan bersama pinang dikatakan berkesan untuk mengatasi batuk. Selain berguna sebagai perubatan herba, pokok ini juga amat digemari oleh haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan arnab.
Sumber: adrydaud.blogspot.com