Menangani masalah najis dadah dan HIV


Oleh MOHAMAD ABDULLAH

 

Laman Web Majlis AIDS Malaysia (MAM) meletakkan tanda amaran di halaman hadapannya, bahawa pada masa ini dianggarkan setiap hari kira-kira 10 rakyat negara ini dikesan dijangkiti HIV positif (Human Immunodeficiency Virus) iaitu sejenis virus dari kumpulan retrovirus yang menghasilkan jangkitan sepanjang hayat kepada pesakit.

Statistik yang ada di negara kita tentang mereka yang dijangkiti agak membimbangkan walaupun dikatakan pencapaian usaha advokasinya lebih baik dari sasaran yang ditetapkan dalam Milennium Development Goal (MDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu secara global. MDG digariskan sejak tahun 2003 melalui Resolusi 58/133 untuk dicapai menjelang 2015 nanti.

Data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan seramai 33.4 juta orang di seluruh dunia dijangkiti HIV pada tahun 2008 sekali gus menjadikan ia penyakit jangkitan utama yang membunuh lebih dua juta orang pada tahun tersebut.

Di Malaysia, statistik antara tahun 1986 hingga Jun 2008 menunjukkan sebanyak 86,127 orang dijangkiti HIV dan lebih daripada 14,000 kes AIDS dengan bilangan lelaki yang dijangkiti HIV melebihi 78,000 orang, berbanding dengan data dunia yang menunjukkan wanita lebih banyak menjadi mangsa.

Bilangan terbesar mereka yang terlibat dikatakan berusia antara 20 hingga 39 tahun yang menjangkau lebih daripada 60,000 orang. Ini tentunya amat merugikan negara kerana usia lingkungan belia itu sepatutnya menjadi sumber manusia produktif dan penyumbang utama pembangunan negara. Itu belum lagi mengambil kira bilangan penagih dadah di negara kita.

Dianggarkan seramai 105, 439 orang hidup dengan virus HIV manakala 13,394 orang mati di negara ini disebabkan oleh Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit atau AIDS (Acquired Immuno Deficiency Syndrome).

“Bilangan mereka yang dijangkiti virus ini semakin bertambah walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasinya, sama ada melalui kempen-kempen yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan, mahu pun pelbagai pertubuhan sukarela,” kata Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (Informm) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Rusli Ismail yang juga seorang jawatankuasa eksekutif Majlis AIDS Malaysia (MAM).

Antara punca utama mereka dijangkiti HIV/AIDS ialah penagihan dadah, terutama berkongsi jarum suntikan. Penagihan dadah, termasuk penagih tegar menyukarkan lagi usaha untuk menangani penularan HIV/AIDS yang perlu ditangani terlebih dahulu.

Oleh itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak-pihak yang prihatin dengan usaha ini. Walau pun jalannya agak sukar, apatah lagi dengan pelbagai cabaran yang ada termasuk persepsi dan stigma tebal masyarakat, namun usaha ini tidak pernah terhenti.

Di Kelantan misalnya, Informm USM mengambil inisiatif menubuhkan pasukan petugas sukarela yang menjalankan usaha pertukaran jarum dan aktiviti membantu mereka sama ada dijangkiti HIV atau pun hidup dengan HIV/AIDS yang dikenali sebagai Sahabat.

Sahabat adalah singkatan untuk Persatuan Perantaraan Pesakit-Pesakit Kelantan yang telah ditubuhkan pada 1999 yang juga merupakan ahli bersekutu MAM yang mensasarkan usaha membantu mereka yang hidup dengan HIV/AIDS, mereka yang berisiko mendapat HIV/AIDS seperti pengguna dadah suntikan, pasangan dan keluarga mereka,

mereka yang ditahan atau dibebaskan dari Penjara Pengkalan Chepa dan juga komuniti seluruhnya.

Sahabat juga telah melaksanakan program Methadone sejak tahun 2008 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Informm dan Hospital USM. Seramai 80 orang telah berdaftar dengan Sahabat, sebahagian daripadanya adalah mereka yang sangat aktif.

Penggunaan Methadone dikatakan berupaya membantu mereka yang menagih dadah untuk kembali normal berbanding dengan penggunaan dadah yang menyebabkan mereka melakukan tindakan-tindakan yang membahayakan masyarakat dan orang ramai termasuk aktiviti jenayah yang mengancam kesejahteraan.

“Penggunaan Methadone terbukti berupaya menangani masalah ketagihan ini dan dapat membantu mereka, terutamanya yang menghidap HIV/AIDS hidup secara normal dalam masyarakat termasuk melakukan kerja-kerja yang dapat menjana pendapatan mereka,” kata Prof. Rusli.

Ini terbukti apabila Sahabat berjaya menjalankan aktiviti pertanian sejak tahun 2009 untuk membantu mereka terbabit mendapatkan latihan/peluang pekerjaan serta menjana pendapatan.

Usaha ini terbukti berjaya apabila hasil penanaman jagung yang diusahakan di atas sebidang tanah seorang doktor perubatan yang menyumbang secara percuma untuk diusahakan telah menampakkan hasil.

Malangnya stigma yang ada dalam masyarakat menyebabkan usaha untuk membantu mereka ini melalui jalan yang amat sukar.

“Sehingga kini, masih ada pesakit HIV/AIDS yang meninggal dunia enggan diuruskan oleh masyarakat setempat dan ada keluarga mereka yang dipandang serong,” kata salah seorang petugas sukarela Sahabat.

HIV/AIDS bukanlah sesuatu yang baru sejak kesnya pertama kali dikesan di negara ini pada tahun 1986. Stigma ini juga bukan sesuatu yang asing, malah persepsi sedemikian amat payah untuk ditangani.

Bilangan kes HIV/AIDS bertambah berpunca daripada bertambahnya bilangan penagih dadah di negara kita apatah lagi apabila mereka berkongsi jarum suntikan.

Justeru, usaha yang berterusan harus diambil. Tanggungjawab ini tentunya bukan semata-mata tugas MAM atau badan-badan bersekutunya, tetapi juga semua pihak di negara ini yang sepatutnya lebih prihatin.

Dengan bilangan kes orang Melayu/Islam di negara ini menjangkau hampir 70,000 orang dalam tempoh 1986-2008, adalah wajar badan-badan agama serta pertubuhan sukarela yang berkaitan turut memainkan peranan dalam hal ini.

Menuding jari, memandang serong atau sekadar menyalahkan mana-mana pihak tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya, badan-badan agama termasuk jawatankuasa surau dan masjid harus menyingsing lengan turun padang menghadapinya bersama.

Masjid dan surau yang terdapat hampir di setiap kampung dan daerah di seluruh negara sewajarnya menjadi tempat membangunkan kembali jiwa mereka, hatta dari dalam kalangan bukan Islam sekali pun untuk kembali ke pangkal jalan. Malangnya, tidak semua institusi berkenaan memainkan peranan jauh sekali bersimpati dengan mereka, baik yang menagih dadah apatah lagi yang dijangkiti HIV/AIDS.

Sudah sampai masanya, masalah pihak-pihak berkenaan berganding bahu dengan profesional, pakar perubatan dan mereka yang arif untuk sama-sama mencari jalan terbaik menanganinya secara tuntas, berhemah dan bijaksana.

Jika perlu, bergabunglah dengan kumpulan sukarela seperti Sahabat yang terdapat di Kelantan atau petugas sukarela lain yang banyak terdapat di seluruh negara.

Hanya dengan keprihatinan semua pihak melalui gabungan tenaga, kepakaran dan pemikiran bersama dapat membantu menangani apa jua masalah sosial yang ada daripada hanya menyerahkan kepada pihak berkuasa dan pertubuhan yang berkaitan semata-mata. Ia menunjukkan keprihatinan dan tindakan yang berterusan untuk faedah semua.

Penulis ialah Timbalan Pendaftar, Pejabat Naib Canselor USM

About these ads
Comments
One Response to “Menangani masalah najis dadah dan HIV”
  1. Buat renungan untuk semua warga masyarakat

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 13,055 other followers

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 13,055 other followers

%d bloggers like this: