Panduan Kesempurnaan Sembahyang


Disusun oleh :
Haji Othman Haji Ahmad
Pegawai Dakwah JHEAIK

Terbitan : Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan.

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين , والصلاة والسلام على رسول الله , سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين .

 

PENGERTIAN SEMBAHYANG :

Sembahyang pada bahasa ialah beribadat, rahmat dan doa dan pada syarak ialah beberapa perkataan, perbuatan yang tertentu yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam.

Sembahyang adalah yang paling afdhal di antara rukun Islam selepas beriman kepada Allah SWT kemudian puasa kemudian haji kemudian zakat.

Hukum tentang wajib sembahyang sebagaimana Firman Allah Taala :

فَأَقِيْمُوا الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتَابًا مَوْقُوْتًا

Yang bermaksud : Maka dirikanlah olehmu akan sembahyang sesungguhnya sembahyang itu difardhukan ke atas orang mukmin pada waktu yang ditetapkan. (Surah An-Nisa’ : 103)

Sembahyang difardhukan pada malam Isra’ Mikraj Nabi Muhammad SAW iaitu pada malam 27 rejab, selepas 10 tahun 3 bulan Rasulullah dilantik sebagai Nabi.

Firman Allah Taala : 

إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتَابًا مَوْقُوْتًا

Sesungguhnya sembahyang difardhukan ke atas orang mukmin pada waktu yang tertentu, dan sabda junjungan Nabi Muhammad SAW :

فرض على أمتي ليلة الإسراء خمسين صلاة فلم ازل اراجعه واسأله التخفيف حتى جعلها خمسا في كل يوم وليلة

Yang bermaksud : Telah memfardhukan oleh Allah Taala ke atas umatku pada malam Isra’ mikraj sembahyang 50 waktu , oleh itu aku berulang-ulang mengadap Allah dan meminta kurangkan sembahyang sehingga dikurangkan kepada 5 waktu sehari semalam.

WAKTU-WAKTU SEMBAHYANG

  1. Zohor - Awal waktunya gelincir matahari, dan akhirnya apabila jadilah bayang sesuatu itu sama panjang dengannya.
  1. Asar – Awal waktunya ialah apabila selesai waktu Zohor dan berkekalan hingga lenyap sekalian matahari di ufuk barat.
  1. Maghrib - Awal waktunya dengan lenyapnya matahari di ufuk barat dan berkekalan sehingga sempurna hilang cahaya kemerahan di ufuk barat.
  1. Isyak - Awal waktunya dengan lenyapnya cahaya kemerahan dan berkekalan sehingga naik fajar.
  1. Subuh - Awal waktunya dengan naik fajar dan berkekalan sehingga naik matahari.

 SYARAT-SYARAT WAJIB SEMBAHYANG

  1. Islam. Tidak wajib sembahyang kepada orang-orang kafir. Bagi orang Islam yang meninggalkan sembahyang, wajib qadha’ dan begitu juga orang yang murtad wajib qadha’ sembahyang yang ditinggalkan di masa murtadnya.
  1. Baligh. (sampai umur pada syarak) sama ada kerana cukup umur 15  tahun qamariah atau bermimpi atau dengan kedatangan haidh. Ada pun kanak-kanak yang belum baligh tetapi berumur 7 tahun yakni kanak yang sudah mumayyiz maka berkewajipan ke atas dua ibu bapa menyuruh anak-anak sembahyang dan apabila genap 10 tahun tetapi tidak mengerjakan sembahyang maka hendaklah dua ibu bapa memukulnya dengan pukulan ringan yang tidak membawa kepada kecederaan.
  1. Berakal. Oleh itu tidak sah sembahyang bagi orang gila dan tidak wajib qadha’ ke atasnya. Begitu juga tidak sah sembahyang bagi orang yang pitam dan mabuk dan dan tidak tidak juga wajib qadha’ ke atasnya. Tetapi sekiranya mabuk itu disengajakan wajib qadha’ sembahyang yang ditinggalkan semasa mabuk itu.
  1. Suci daripada haidh dan nifas.
  1. Sejahtera penglihatan dan pendengaran, yakni orang yang buta dan tuli serentak semenjak kecil yakni belum baligh tidak wajib sembahyang , buta sahaja atau tuli sahaja wajib sembahyang.
  1. Sampai seru, oleh itu tidak wajib sembahyang bagi mereka yang tidak sampai seruan Islam.

  SYARAT-SYARAT SAH SEMBAHYANG

  1. Suci daripada hadas besar dan hadas kecil.
  1. Menutup aurat. Aurat lelaki di antara pusat dan lutut dari sudut pandangan sebelah atas dan keliling, begitu juga aurat hamba perempuan. Aurat perempuan dan khunsa seluruh badan kecuali muka dan dua tangan.
  1. Mengetahui kaifiat sembahyang yakni peraturan sembahyang termasuk rukun dan sunat dengan sekira-kira dapat membeza antara farhu dan sunatnya.
  1. Suci daripada najis yang tidak dimaafkan, sama ada di tubuh di pakaian atau di tempat sembahyang dan jangan menanggung sesuatu yang berhubung dengan najis di dalam sembahyang. Najis yang dimaafkan ialah sedikit darah, sedikit nanah, air kudis dan debu jalan raya.
  1. Mengetahui masuk waktu dengan yakin atau dengan dzan masuknya melalui ijtihad.
  1. Mengadap kiblat dengan sekelian badan.
  1. Jangan menambah rukun fi’li dengan sengaja.
  1. Jangan melakukan perkara yang membatalkan puasa di dalam sembahyang seperti makan minum.

 WUDHU’ (AIR SEMBAHYANG)

 Bersuci adalah perkara yang paling penting di dalam beribadat kepada Allah, oleh itu seseorang yang akan melakukan ibadat sembahyang diwajibkan berwudhu’ terlebih dulu sebagaimana Firman Allah Taala :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاَةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Yang Bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali. (Surah Al-Maidah : 6)

 Sabda Nabi Muhammad SAW :

لا يقبل الله صلاة من احدث حتى يتوضاء

 Allah tidak menerima sembahyang seorang yang berhadas sehingga mereka mengambil wudhu’.

 CARA-CARA WUDHU’

 Fardhu wudhu’ mengandungi enam perkara.

  1. Niat.

Niat hendaklah disertakan dengan awal membasuh sebahagian daripada muka, tidak disyaratkan berkekalan niat sehingga selesai membasuh muka, tetapi jangan memalingkan niat kepada perkara lain.

Lafaz niatnya ialah :

نَوَيْتُ الْوُضُوْءَ .

Sahaja aku ambil air sembahyang. Atau

نَوَيْتُ الطَّهَارَةَ عَنِ الْحَدَثِ

Sahaja aku bersuci daripada hadas.

  1. Membasuh Muka.

Kawasan muka ialah dari sebelah atas bermula dari tempat tumbuh rambut kepada dan sebelah bawahnya ialah dagu, lebarnya ialah dari anak telinga kepada anak telinga yang satu lagi dan kelilingnya dikira kadar bulat muka.

Wajib membasuh semua kawasan muka tersebut dan juga bulu-bulu yang tumbuh di dalam kawasan muka sama ada jarang atau lebat.

Janggut, misai dan dua tali tudung (jambang) lelaki yang lebat sekira-kira tidak kelihatan kulit yang di bawahnya memadailah membasuh yang zahirnya sahaja. Jikalau tidak lebat dengan sekira-kira kelihatan kulit yang dibawahnya maka wajib menyampaikan air kepada batinnya dan juga kulit yang di bawahnya.

  1. Membasuh dua tangan sehingga dua siku.

Dua siku juga wajib di basuh kerana ianya termasuk anggota wudhu’ dan wajib membasuh barang yang di atas dua tangannya daripada bulu zahir dan batin sama ada lebat atau nipis dan juga di celah kuku.

  1. Menyapu kepala

Iaitu menyapu sebahagian daripada kepala atau menyapu sebahagian daripada rambut yang berada di dalam kawasan kepala. Boleh disapu di mana bahagian kepala sama ada di bahagian hadapan, belakang, di sebelah kiri atau di sebelah kanan dengan sekira-kira dinamakan bahagian kepala.

Tidak sah wudhu sekiranya disapu ke atas rambut yang disanggul yang mana apabila diuraikan sanggul itu akan terkeluar daripada kepala. Tidak disyaratkan bahawa menyapu itu dengan digerakkan tangan bahkan memadai dengan meletakkan tangan yang basah ke atas kepala tanpa digerakkan.

  1. Membasuh dua kaki sehingga dua buku lali.

Dua buku lali juga wajib dibasuh kerana ianya termasuk anggota wudhu’.

Wajib membasuh barang yang ada di atas dua kaki dari bulu dan sebagainya sepertimana juga hukumnya pada membasuh anggota tangan.

Perhatian :

Wajib menghilangkan segala benda yang mencegah sampai air kepada kulit seperti minyak , sisik ikan, getah, dakwat yang tebal yang tidak kelihatan warna kulit, duri atau sebagainya. Adapun kuping kudis atau selupat kulit tidak wajib dihilangkan walaupun mudah pada menghilangkannya.

Hukum ini berlaku pada semua anggota wudhu’.

  1. Tertib

Yang dimaksudkan dengan tertib di sini ialah melakukan peraturan mengambil wudhu’ mengikut susunan sebagaimana yang disebut di atas tadi satu persatu melainkan niat kerana niat hendaklah disertakan dengan awal membasuh satu bahagian daripada muka.

Sekiranya seseorang membenar akan empat orang lain membasuh akan anggota wudhu’nya dengan serentak dengan izinnya maka terangkat akan mukanya sahaja.

Adapun jika menyelam seseorang yang berhadas kecil di dalam air dengan berniat wudhu’ maka sahlah wudhu’nya kerana hasil tertib dengan hanya berapa lahzoh yang sedikit sahaja.

SUNAT-SUNAT WUDHU’

Sunat-sunat wudhu’ itu banyak sekali di antaranya ialah :-

  1. Membaca :

 أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ  

  1. Membaca :

 بِسْمِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Bacaan-bacaan ini hendaklah pada permulaannya, jika terlupa baca pada permulaannya bolehlah dibaca pada pertengahannya.

  1. Membasuh dua tangan hingga pergelangan tangan.
  1. Berkumur-kumur.

Hasil berkumur dengan memasukkan air ke dalam mulut, dan yang akmalnya diedarkan air di mulut dan dibuangkannya.

  1. Menghisap air ke hidung.

Hasil menghisap air ke hidung dengan memasukkan air ke dalam hidung. Dan sebaik-baiknya ialah dengan dihisapkan air ke hidung dan dihembus keluar.

  1. Menyapu sekalian kepala.
  1. Menyapu dua telinga luar dan dalam.
  1. Menyeliti janggut, misai dan jambang (dua tali tudung)
  1. Menyeliti jari-jari tangan dan kaki.

Sekiranya tidak sampai air ke celah-celah jari tanpa diseliti maka ketika itu wajib diseliti.

  1. Mendahului tangan kanan dan kaki kanan ke atas yang kiri bahkan makruh mendahulukan yang kiri ke atas yang kanan dan kiri serentak. Adapun dua telinga tidak mengapa disapukan serentak.
  1. Basuh dan sapu ke atas anggota-anggota tersebut sebanyak tiga kali. Dan makruh melebihi tiga kali.
  1. Muwalah (موالاة) Yakni berturut-turut basuh atau sapu di antara satu anggota dengan anggota yang lain.
  1. Mengadap Kiblat.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDHU’

1. Keluar sesuatu daripada salah satu kemaluan (Qubul, dubur) . Adapun keluar sesuatu daripada kemaluan orang mati tidak batal wudhu’nya dan begitu juga khunsa yang mempunyai dua alat kelamin yang mana salah satu dari kedua alat itu keluar sesuatu. Melainkan keluar kedua-duanya sekali. Tidak membatalkan wudhu dengan keluar mani.

2. Tidur dengan tidak tetap papan punggungnya. Adapun tidur dengan tetap papan punggungnya tidak batal wudhu seperti tidur dengan duduk bersila. Tidur berdiri atau melentang atau berguling batal wudhu’.

3. Bersentuh kulit lelaki dengan kulit perempuan yang sah nikah yang mana sudah sampai had syahwat pada ‘uruf (pada kebiasaan orang ramai).

Bersentuh kulit lelaki atau perempuan dengan khunsa tidak batal wudhu’ begitu juga tidak batal wudhu bersentuh sesama khunsa. Bersentuh dengan rambut, gigi atau kuku tidak batal wudhu’.

4. Menyentuh kemaluan anak adam dengan tapak tangan atau perut anak jari.

Bagi lelaki batang zakarnya yang disentuh batal wudhunya, adapun tempat tumbuh bulu yang di sekelilingnya dan dua biji batu itu tidak batal wudhu dengan menyentuhnya.

Kemaluan perempuan yang dimaksudkan ialah dua bibir yang bertangkup dan kawasan sekitarnya.

Dan batal wudhu dengan menyentuh halaqah dubur anak adam.

MAKRUH SEMASA BERWUDHU’

  1. Mengurangkan basuh dan sapu dari tiga kali.
  2. Melebihkan basuh dan sapunya dari tiga kali.
  3. Mendahulukan basuh atau sapu ke atas pihak kiri dari pihak kanan.
  4. Serentak pada membasuh kanan dan kiri.
  5. Mengambil air sembahyang di dalam air yang tidak berlari seperti di dalam takungan air yang tetap di situ.
  6. Meminta tolong orang lain menjirus ke atas anggota wudhu’.
  7. Membasuh di dalam batin mata.
  8. Membelakangkan kiblat semasa berwudhu’.
  9. Bercakap semasa mengambil wudhu’.

AMALAN-AMALAN SUNAT SEBELUM SEMBAHYANG.

Bagi orang lelaki disunatkan azan (bang) dan iqamah sebelum sembahyang dan bagi orang perempuan di sunatkan iqamah sahaja.

Walau bagaimanapun harus juga bagi orang perempuan melakukan azan (bang) sekiranya tidak dihadiri oleh orang lelaki.

Azan hendaklah dinyaringkan supaya dapat didengari oleh orang ramai yang berada di sekitarnya.

SEMBAHYANG MEMPUNYAI 13 RUKUN

1. Niat

Niat di dalam sembahyang fardhu hendaklah mengandungi qasad , ta’arud , ta’yin , yakni kehendak sembahyang fardhu maghrib atau sebagainya.

Niat di dalam sembahyang sunat yang mempunyai waktu atau sebab hendaklah mengandungi qasad dan ta’yin. Dan bagi sembahyang sunat mutlak yakni sembahyang tidak mempunyai waktu dan sebab memadai dengan niat yang mengandungi qasad sahaja.

Niat hendaklah terkandung di dalam lafaz – Allahu Akbar semasa Takbiratul ihram . Jangan terdahulu niat daripada harf alif pada Allah dan jangan terkemudian daripada harf ra’ pada Akbar- (Ar-ramli)

Bagi sembahyang qasar hendaklah ditambah bersama qasad , ta’arud dan ta’yin itu akan qasar , begitu juga bagi sembahyang jemaah hendaklah ditambah niat imam bagi imam dan makmun bagi makmun bersama qasad, ta’arud, ta’yin itu, kerana syarat sah jemaah ialah berjemaah pada awal sembahyang iaitu pada takbiratul Ihram.

2. TAKBIRATUL IHRAM.

Lafaz takbirnya ialah – Allahu akbar.

Kalau tidak berkuasa menyebut lafaz – Allahu akbar – hendaklah diterjemahkan kepada apa bahasa yang ia mengerti.

Sunat diangkatkan kedua tangan semasa berkata Allahuakbar. Angkat itu hendaklah bersetentangan dengan dua bahunya dan dua tapak tangannya dihadapkan ke kiblat kemudian diturunkan kedua belah tangan dengan memegang tangan kanan akan pergelangan tangan kiri dan diletakkan kedua-duanya di paras pusat.

Dua tangan yang diangkat itu berserta dengan menyebut lafaz Allahu akbar.

3. Qiam (berdiri betul)

Maksud Qiam di sini ialah dengan membetulkan tulang belakang bagi yang berkuasa, oleh itu di dalam melakukan Qiam jangan condong ke mana-mana arah dengan tidak meluruskan tulang belakang. Sekiranya condong tidaklah dinamakan qiam dan batal sembahyang.

4. Membaca Fatihah

Wajib membaca fatihah bagi imam, orang yang sembahyang seorang diri dan makmum muafiq yakni makmum yang sempat membaca Fatihah di dalam qiam Imam.

Rasulullah SAW bersabda :

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Yang bermaksud : Tidak sah sembahyang bagi mereka yang tidak membaca Fatihah . (Bukhari, Muslim)

Bagi mereka yang tidak tahu membaca fatihah , hendaklah membaca mana-mana ayat sebanyak fatihah atau membaca mana-mana zikir sekadar huruf Fatihah iaitu sebanyak 156 huruf, kalau tidak tau membaca mana-mana ayat-ayat atau zikir hendaklah diam kadar membaca ayat fatihah (yang dianggarkan lebih kurang  20 saat).

Bacaan fatihah hendaklah berturut-turut dan tidak boleh diselang dengan mana-mana ayat atau zikir ataupun semata-mata diam melainkan bagi menyebut amin imam.

Bacaan hendaklah dengan betul sebutannya, tidak bertukar baris tashdid atau sebagainya.

5. Rukuk

Rasulullah SAW bersabda :

ثم اركع حتى تطمئن راكعا

Yang Bermaksud : Kemudian hendaklah engkau rukuk sehingga Tama’ninah dalam di dalam rukuk, (muttafaq ‘alaih).

Sunat berzikir semasa rukuk iaitu :

 سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ   

Sebanyak 3 kali.

Sekurang-kurang rukuk hendaklah sampai dua tapak tangan akan kedua kepada lututnya dan yang afdhalnya ialah dengan ratakan belakang dan tengkuk seolah-olah sekeping papan, menegakkan betis dan memegang dua tangan akan dua lutut serta direnggangkan sedikit di antara jari dengan menghalakan belakang tangan ke kiblat.

Semasa turun kepada rukuk sunat ditakbirkan dengan lafaz Allahu Akbar serta angkat kedua belah tangan sebagaimana di dalam Takbiratul ihram.

6. I’tidal

Rasulullah SAW bersabda :

 ثم ارفع حتى تعتدل قائما

Yang bermaksud : Kemudian hendaklah engkau bangkit sehingga berdiri tegak (Muttafaq ‘alaih)

Disunatkan semasa bangkit dari rukuk dengan mengangkat dua tangan sehingga berbetulan dua telinga seperti mana Takbiratul ihram sambil mengucap :

 سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَه

dan apabila berdiri tegak pula mengucap

 رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ .

Bagi sembahyang subuh sunat diqunut semasa i’tidal di dalam rakaat yang kedua sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

قال كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا رفع رأسه من الركوع في صلاة الصبح في الركعة الثانية رفع يديه فيدعو بهذا الدعاء

Yang bermaksud : Berkata Abu Hurairah RA adalah Rasulullah SAW manakala mengangkat kepalanya daripada rukuk pada sembahyang subuh di rakaat yang kedua baginda mengangkat kedua tangannya dan berdoa dengan doa ini :

اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيْمَنْ هَدَيْتَ ، وَعَاْفِنِي فِيْمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنِيْ فِيْمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَبَارِكْ لِي فِيْمَا أَعْطَيْتَ ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ ، فَإِنَّكَ تَقْضِيْ وَلاَ يُقْضَىعَلَيْكَ ، إِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ , تَبَارَكْتَ رَبَّناَ وَتعَالَيْتَ .

Sunat selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW diakhir  Qunut dan begitu juga selawat dan salam ke atas keluarga Rasulullah dan para sahabat baginda.

Sunat menadahkan tangan semasa membaca Qunut dan tidak perlu sapu muka manakala selepas Qunut.

7. Sujud dua kali tiap-tiap rakaat.

Rasulullah  SAW bersabda :

 ثم اسجد حتى تطمئن ساجدا

Yang bermaksud  : kemudian hendaklah engkau sujud sehinggalah Tama’ninah di dalam sujud (muttafaq ‘alaih)

Kesempurnaan sujud ialah dengan ditakbirkan bagi turun kepada sujud dengan tidak mengangkat dua tangannya . Dan dihantarkan kedua lutut kemudia dua tapak tangan kemudia dahi dan hidung, sebagaiman yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sunat dibaca :

 سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلأَعْلَى

tiga kali.

Semasa sujud hendaklah diletakan dua tapak tangan dengan berbetulan dua bahu dan menganjurkan anak-anak jari ke kiblat serta merapatkan di antara anak-anak jari.

Bagi lelaki hendaklah direnggangkan kedua-dua siku dari lambung dan perut dari kedua pehanya pada rukuk dan sujud. Bagi perempuan hendaklah dirapatkan segala yang tersebut.

Diceraikan antara dua kaki kadar sejengkal dengan menyentuh hujung anak jari ke lantai bagi lelaki, bagi perempuan hendaklah dirapatkan sedikit antara kakinya.

Wajib diberatkan kepala dengan sekira-kira jika ditaruh kapas di bawahnya nescaya kepiklan kapas itu.

8. Duduk diantara dua sujud.

Rasulullah SAW bersabda :

 ثم ارفع حتى تطمئن جالسا

 

Yang bermaksud : Kemudian hendaklah engkau bangkit sehingga engkau Tama’ninah di dalam duduk.

 

Kesempurnaan duduk di antara dua sujud ialah menakala bangkit dari sujud hendaklah mengucap Allahu Akbar beserta dengan angkat kepala dan hendaklah duduk Iftirash iaitu duduk atas tapak kaki kiri dan letakkan hujung jari kaki kanan ke lantai. Meletak dua tapak tangan ke atas kedua lutut serta mengunjurkan jari-jari ke kiblat.

Di dalam duduk antara dua sujud sunat dibaca doa yang dibaca oleh Rasulullah SAW :

رَبِّ اغْفِرْلِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِيْ

 

Janganlah dipanjangkan I’tidal dan duduk antara dua sujud kerana keduanya rukun pendek. Jikalau dipanjangkan i’tidal dan duduk antara dua sujud dengan sekira-kira sama panjang dengan membaca fatihah bagi i’tidal dan Tahiyat bagi duduk antara dua sujud dengan diketahui akan haramnya maka batallah sembahyangnya.

9. Tasyahhud (Tahiyat Akhir)

Iaitu membaca Tasyahhud akhir, Tasyahhud yang dipilih oleh As-Syafie daripada hadis Ibnu Abbas RA ialah :

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللهِ ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكاَتُهُ . السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله.

(Riwayat Muslim)

10. Duduk bagi Tasyahhud Akhir

Kesempurnaan duduk bagi Tasyahhud akhir ialah duduk Tawaruk iaitu duduk di atas papan punggung manakala kaki kiri dihulurkan ke sebelah kanan dan diletakkan di bawah betis kanan.

Tangan kanan diletakkan di atas lutut kanan dengan mengenggamkan semua jari kecuali telunjuk hendaklah diluruskan, merapatkan ibu jari lebih ke bawah dari jari telunjuk. Dan mengangkatkan jari telunjuk dengan diluruskan ke kiblat di waktu menyebut kalimah “Illa Allah” di dalam tasyahhud.

Tapak tangan kiri diletakkan di atas lutus kiri dengan menganjurkan jari-jari ke kiblat dengan disamakan paras jari dengan lutut dan merapatkan di antara jari-jari.

11. Solawat atas Nabi Muhammad SAW di dalam tasyahhud akhir.

Para sahabat telah berjumpa dengan Rasulullah SAW bertanya tentang cara selawat ke atas Rasulullah SAW. di dalam sembahyang sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim -

أمرنا الله أن نصلي عليك فكيف نصلي عليك قال : قولوا اللهم صل على محمد وعلى آل محمد

Yang bermaksud : Kami diperintah oleh Allah supaya menselawatkan ke atas engkau (di dalam sembahyang) dan bagaimana cara kami menselawatkan ke atas engkau – Rasulullah SAW bersabda , katakan oleh kamu :

اللهم صل على محمد وعلى آل محمد

12. Salam

Yang paling afdhal di dalam sebutan salam ialah Assamualaikum warahmatullah.

Apabila selesai menyebut warahmatullah sunat dipalingkan muka ke kanan dengan sekira-kira pipi kanan dapat dilihat oleh orang yang di belakang di samping meniat salam kepada Malaikat, Manusia dan Jin yang mukmin.

Dan sunat menceraikan di antara dua salam yakni yang pertama ke kanan dengan salam yang kedua ke kiri atas kadar perceraian yang pendek.

Kemudian memberi salam yang kedua iaitu Assalamualaikum warahmatullah dan apabila selesai menyebut warahmatullah sunat dipalingkan muka ke kiri dengan sekira-kira pipi kiri dapat dilihat oleh orang yang dibelakang di samping meniatkan salam kepada para Malaikat, Manusia dan Jin yang mukmin.

13. Tertib

Hendaklah dilakukan peraturan sembahyang sebagaiman tertib rukun tersebut, di atas.

Kecuali niat wajib disertakan di dalam Takbiratul ihram dan Takbiratul Ihram itu pula dilakukan semasa Qiam dan disertakan pembaca Fatihah semasa Qiam itu.

Begitu juga membaca tasyahhud akhir di dalam duduk bagi tasyahhud akhir dan salam juga semasa duduk di dalam tasyahhud Akhir.

Selain daripada yang tersebut adalah menurut tertib.

SUJUD SAHWI

Sujud Sahwi ialah dua sujud yang dilakukan selepas membaca tasyahhud dan sebelum salam.

Kaifiat dan cara sujud sahwi adalah sama seperti sujud-sujud lain tentang perbuatan sunat dan wajibnya dan sunat dibaca dibaca semasa sujud ialah :

سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو

Di antara perkara-perkara yang menyebabkan sunat sujud sahwi ialah :

  1. Meninggalkan sunat Ab’adh iaitu duduk bagi tasyahhud awal, membaca tasyahhud awal, membaca selawat atas Nabi di dalam tasyahhud awal, membaca selawat atas keluarganya dalam tasyahhud akhir, membaca Qunut, berdiri bagi Qunut, membaca selawat atas Nabi dalam Qunut dan membaca selawat atas keluarganya di dalam Qunut.
  1. Mengerjakan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang dengan sengaja dan tidak membatalkannya dengan terlupa. Di antaranya memanjangkan rukun pendek, berkata-kata yang sedikit yang tidak melebihi enam perkataan, makan , minum yang sedikit pada ‘uruf , dan melebihi rakaat.
  1. Memindahkan Qauli (bacaan) dari tempatnya sama ada Qauli itu rukun , sunat Ab’adh atau sunat Hai’ah.
  1. Syak pada bilangan rakaat.
  1. Syak pada bacaan sunat Ab’adh.

PERKARA-PERKARA YANG MAKRUH DI DALAM SEMBAHYANG

Di antara perkara-perkara yang makruh dilakukan dalam sembahyang ialah :

  1. Berpaling dengan muka dari kiblat. Adapun berpaling dengan dada dari kiblat batal sembahyang.
  1. Mendongakkan dengan muka ke langit.
  1. Berludah di dalam sembahyang di hadapan atau di kanannya. Sementara berludah ke kiri atau bawah tapak kaki tidak makruh sekiranya sembahyang bukan di dalam masjid. Adapun di dalam masjid , haram berludah walau di pihak mana sekalipun. Begitu juga haram berludah di dalam masjid walaupun di luar sembahyang. Sekiranya berlaku sesuatu yang memerlukan kepada berludah di dalam sembahyang di masjid hendaklah berludah di kain ataupun disediakan bekas ludah di sebelah kiri.
  1. Tidak menutup kepala dan bahu di dalam sembahyang.
  1. Terganggu di waktu sembahyang kerana hendak membuang najis sama ada kecil atau besar ataupun kerana hendak membuang angin (kentut).
  1. Sembahyang di hadapan makanan atau minuman yang teringin kepadanya.
  1. Sembahyang di tengah jalan.
  1. Sembahyang di kubur selain dari kubur Nabi, Rasulullah atau syuhada’.
  1. Menyingkapkan (mengangkatkan) rambut dan kain kerana hendak turun sujud.
  1. Meletakan tangan ke atas mulut tanpa sesuatu hajat.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SEMBAHYANG.

  1. Berkata-kata dengan sengaja walaupun satu huruf yang boleh memberi faham akan maksudnya begitu juga berdehem, ketawa, menangis, mengerang, berhembus dengan mulut atau dengan hidung, batuk, bersin, tetapi jika terpaksa ke atasnya dan sedikit pada ‘uruf tidak batal sembahyang.

          Begitu juga  yakni tidak batal sembahyang seseorang yang terlanjur lidahnya pada berkata-kata yang sedikit pada ‘uruf.

  1. Melakukan gerakan 3 kali berturut-turut dengan anggota besar seperti tangan, kaki, kepala atau tubuh sama ada sengaja atau tidak

Melakukan gerakan dengan anggota kecil seperti mengerakkan jari-jari, bibir, lidah, kelopak mata, kemaluan 3 kali atau lebih tidak batal sembahyang selagi tidak qasad bermain-main dengannya, sekiranya diqasadkan bermain-main dengannya, batal sembahyang.

Batal sembahyang dengan mengerakkan sekalian tubuh atau kebanyakkan tubuh atau melompat.

Dimaafkan perbuatan yang banyak di dalam sembahyang شدة الخوف (diwaktu bersangatan takut) kerana peperangan dan sembahyang sunat di dalam musafir khususnya, atas kenderaan yang bergerak.

  1. Berhadas besar atau berhadas kecil atau keluar angin dari dubur.
  1. Terkena Najis yang tidak dimaafkan

Adapun najis yang dimaafkan tidak mengapa seperti sedikit darah, nanah, air kudis, air bisul, darah tuma, darah kutu dan seumpamanya.

Jika sekiranya jatuh najis yang tidak dimaafkan ke atas seseorang yang sedang sembahyang lalu dengan segera dibuangkan najis itu sebelum lagi berlaku masa Tama’ninah, tidak batal sembahyang.

  1. Terbuka aurat

Terbuka aurat ini sama ada disengajakan atau tersalah atau dibuka oleh binatang oleh kanak-kanak yang belum mumayyiz.

Sekiranya dibuka oleh angin dan ditutup segera yakni sebelum Tama’ninah tidak batal sembahyang selama tidak berulang-ulang dan berturut-turut.

  1. Mengubah niat atau digantungkan niat dengan sesuatu, seperti niatnya akan berhenti sembahyang kalau turun hujan atau seumpamanya.

Tidak batal sembahyang seseorang yang menukar niat sembahyang fardhu kepada niat sembahyang sunat mutlak kerana ingin berjemaah sembahyang fardhu.

  1. Berpaling dari kiblat dengan dada.

Jika berpaling dari kiblat dengan mukanya tidak batal sembahyang tetapi makruh sebagaimana yang telah dinyatakan dahulu.

Batal juga sembahyangnya sekiranya dipalingkan oleh orang lain.

Adapun jika berpaling dengan jahil atau terlupa dan segera kembali mengadap kiblat tidak batal sembahyangnya.

  1. Makan, minum atau menelan air liur yang bercampur dengan makanan atau minuman.

Makan, minum dengan lupa dan sedikit pada ‘uruf tidak batal sembahyang.

  1. Memanjangkan rukun yang pendek iaitu i’tidal dan duduk antara dua sujud dengan sekira-kira sama pada bacaan Fatihah bagi I’tidal dan sama lama pada bacaan tahiyat bagi duduk antara dua sujud.
  1. Terkemudian makmum daripada imamnya dengan dua rukun dengan ketiadaan uzur. Atau terdahulu makmum dari imam dengan dua rukun. Adapun terdahulu dengan satu rukun hukumnya haram tetapi sembahyangnya tidak batal.
  1. Murtad , wal’iazubillah
  1. Niat membatalkan sembahyang.  

 

والله أعلم بالصواب وإليه المرجع والمآب

About these ads
Comments
3 Responses to “Panduan Kesempurnaan Sembahyang”
  1. ISMAIL AHMAD berkata:

    Salam ,

    Ada pihak muaalaf tanya saya , bacaan Iftitar .

    Ada yang baca ………..HANIFAM MUSLIMAW , ada yang baca …………….HANIFA MUSLIMAN , yang mana bacaan yang betul ?

    Bacaan Tahiyat akhir , ………….. ada yang baca ………. Fil alaminna innaka hamidum majid ,
    ada yang baca ……………… FIL ALAMIN , INNAKA HAMIDUN MAJID , yang mana bacaan yang betul ?

    Wassalam .

  2. mazri berkata:

    A’kum.. saya ada 1 soalan. adakah wajib atau sunat sahaja niat semasa takbir ratul ihram. yankni seperti yang dinyatakan seperti di atas. adakah batal solat saya sekiranya saya berniat terlebih dahulu dan barulah takbir ratul ihram.. adakah perlu serentak?

  3. THOHA berkata:

    AKU CINTA PADA ALLAH

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 13,055 other followers

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 13,055 other followers

%d bloggers like this: