Hayati sejarah penulisan al-Quran
Oleh Hasliza Hassan
NASKHAH kitab al-Quran yang ada pada hari ini lengkap dengan titik dan tanda baris serta wakaf yang mudah untuk kita membacanya, melalui lima fasa bermula dengan penulisan wahyu Allah SWT oleh sahabat RA pada zaman Rasulullah SAW.
Walaupun ketika hayat Baginda, al-Quran dipelajari menerusi hafazan dengan cara sahabat bertalaqi (belajar dalam bentuk pertemuan dengan guru) bersama Rasulullah SAW, Baginda akan meminta sahabat yang dipertanggungjawabkan untuk menulis wahyu Allah SWT itu secepat mungkin.
Dalam kalangan sahabat, terdapat enam penulis al-Quran yang paling popular, iaitu Abdullah ibnu Saad, Uthman ibnu Affan, Ali ibnu Abi Talib, Ubai ibnu Kaab, Zaid ibnu Thabit dan Muawiyah ibnu Abi Sufyan.
Sebenarnya Rasulullah SAW mempunyai 44 penulis tetapi enam tokoh itu menjadi penulis tetap wahyu, manakala sahabat yang lain ada ditugaskan menulis surat rasmi.
Ketika itu penulisan dibuat pada kulit atau ar-riqa’; tulang unta dan kambing yang sudah disamak (al-aktaf); pelepah tamar (al-usyuk); ketulan batu (al-likhaf) dan potongan kayu (al-aktab).
Fasa pertama ialah tulisan ayat al-Quran tanpa baris seperti yang disampaikan oleh Jibril kepada Rasulullah SAW dan kemudian dibacakan kepada sahabat. Justeru, ulama bersepakat al-Quran sudah ditulis kesemuanya semasa hayat Rasulullah SAW.
Menurut Pensyarah Jabatan Bahasa Asing Jabatan Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Abd Rauf Hassan, ketika itu al-Quran tidak dikumpulkan sebaliknya tulisan ayat suci itu berada dalam simpanan Baginda, isteri serta sahabat.
Ramai huffaz mati
Pada zaman khalifah pertama, Saidina Abu Bakar RA, ramai orang Islam yang keluar daripada Islam sehingga beliau memerangi golongan itu supaya kembali kepada ajaran Islam hingga tercetus peperangan al-Yamamah pada tahun 12 hijrah (pendapat kebanyakan kitab sirah).
Pertempuran besar itu menyebabkan kematian 500 penghafaz al-Quran (dan pendapat paling banyak mengatakan 700 huffaz yang jug apanglima perang meninggal dunia), menyebabkan timbul kebimbangan kepada Saidina Umar al-Khattab RA.
“Atas dasar itu, Umar berjumpa Abu Bakar dan mencadangkan al-Quran ditulis kerana bimbang akan hilang apabila ramai huffaz meninggal dunia dalam peperangan.
“Bagaimanapun, Abu Bakar tidak setuju kerana Rasulullah tidak pernah menyuruh ditulis semula al-Quran.
“Abu Bakar berkata, menulis semula al-Quran lebih berat berbanding jika beliau disuruh mengalihkan bukit tetapi selepas berfikir panjang, khalifah pertama itu bersetuju dan melantik Zaid bersama beberapa jawatankuasa lain,” katanya.
Abd Rauf berkata, proses penyalinan al-Quran bermula pada tahun 12 hijrah (mengambil tarikh peperangan al-Yamamah) dan memakan masa dalam 15 bulan.
Pada tahun 13 Hijrah, Abu Bakar wafat diganti oleh Umar sebagai khalifah kedua.
PELBAGAI usaha dirancang untuk memudahkan umat Islam mendekati dan menghayati al-Quran. – Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Hasil enam salinan
Umar menggunakan mushaf yang sama hingga beliau wafat tahun 23 Hijrah dan diganti Uthman. Mushaf al-Quran itu berpindah kepada anak khalifah kedua terbabit, Hafsah yang juga isteri Rasulullah SAW.
“Sebenarnya, selepas selesai proses penyalinan itu timbul pula persoalan apakah nama hendak diletakkan.
“Ada sahabat memberi nama as-Sifru dan ada juga menamakannya al-Mushaf. Abu Bakar memilih nama Mushaf untuk al-Quran yang disalin Zaid itu.
“Pada zaman Uthman, Islam mula berkembang lebih luas lagi termasuk Syam. Selain disampaikan secara hafazan, hanya satu sahaja mushaf al-Quran. Oleh itu, cara baca orang Syam dan Iraq tidak sama,” katanya.
Justeru katanya, sahabat Huzaifah bin al-Yamani yang melalui pengalaman mendengar perbezaan cara bacaan itu ketika melalui Syam dan Iraq dalam perjalanan membuka Azerbaijan serta Khurasan menemui Uthman.
Berikutan itu, Uthman menubuhkan jawatankuasa diketuai Zaid bersama tiga sahabat lain, iaitu Abdullah ibnu Zubair, Said al-As dan Abdul Rahman al-Harith yang ditugaskan menyalin enam mushaf al-Quran mengikut salinan yang diambil daripada Hafsah.
Tujuannya untuk menyeragamkan cara bacaan mengikut bunyi orang Quraisy kerana al-Quran diturunkan di Makkah kepada orang Quraisy. Lima mushaf itu kemudian diedarkan ke lima tempat, iaitu Makkah, Madinah, Syam, Kufah dan Basrah bersama individu yang boleh mengajar.
Tambah titik, baris, wakaf
Pada peringkat pertama itu, ayat al-Quran yang ditulis masih tidak mempunyai titik dan baris.
Peringkat kedua penulisan al-Quran memperlihatkan pakar bahasa dan penyusun nahu Arab, Abu Aswad al-Duali meletakkan titik (nuktatul i’rab) sebagai menandakan baris.
Titik di atas huruf bermaksud baris atas, bawah huruf (baris bawah) dan selepas huruf (baris depan).
Ini diikuti fasa ketiga apabila Nasir ibnu Asim, iaitu anak murid kepada Abu Aswad dan Yahya ibnu Ya’mur juga meletakkan titik pada huruf (nuktatul i’jam) seperti yang kita ketahui hari ini, huruf nun satu titik di atas, ba satu titik di bawah dan seterusnya.
Pada peringkat keempat, Khalid ibnu Ahmad meletakkan tanda bacaan seperti tanda panjang mad, iaitu ‘alif’ kecil, ‘wau’ kecil, ‘ya’ terbalik, tasydid, hamzah dan sod.
Tanda wakaf datang kemudian apabila ulama terkenal Al-Sajawandi meletakkan tanda di tempat yang sesuai untuk berhenti. Itulah fasa terakhir hingga terhasil al-Quran yang dapat dibaca dan dihafaz oleh kita hari ini.
Abd Rauf berkata, menelusuri sejarah penulisan al-Quran, beliau melihat jasa besar mereka dalam bidang bahasa Arab membantu hingga menjadikan al-Quran yang kita lihat hari ini berdasarkan ayat al-Quran yang ditulis pada zaman Rasulullah SAW.
Cuma, katanya, al-Quran sekarang ditulis dengan khat lebih cantik berbanding dahulu yang hurufnya terpisah. Biarpun berbeza tetapi bacaan tetap sama, malah tidak ada satu pun yang diubah.
RESAM Uthmani memudahkan bacaan dalam pelbagai qiraat. – Foto hiasan
Jaminan Allah
Sesungguhnya Allah SWT menjamin al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang daripada pemberi peringatan (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.” (Al-Shu’ara’: 192-195)
Menurut Abd Rauf, resam Uthmani yang mengambil sempena nama ketiga, Uthman atas jasa beliau mengikut sunah Rasulullah, cuma yang membezakan ia tidak bertitik dan berbaris. Mudah untuk memahami maknanya yang berlainan tetapi tidak terkeluar daripada maksud sebenar.
Beliau berkata, resam Uthmani juga memudahkan bacaan dalam qiraat pelbagai, iaitu 10 jenis qiraat dan dipersetujui 12,000 sahabat yang memperakui itulah al-Quran yang mereka baca dengan Rasulullah SAW.
Katanya, umat Islam perlu memahami susah-payah sahabat, usaha tabiin meletakkan titik dan baris selain tanda panjang serta sod hamzah wasal sehingga al-Quran sampai kepada kita dalam bentuknya sekarang.
Justeru, sempena sambutan Nuzul al-Quran dan sinonimnya Ramadan dengan kitab menjadi mukjizat Rasulullah SAW itu, pada zaman sekarang tidak sepatutnya ada mengatakan tidak pandai membaca al-Quran.
“Zaman sekarang tidak ada masalah dan tidak ada alasan untuk tidak membaca al-Quran. Banyak usaha dilakukan di sekolah, pihak masjid dan surau, kuliah di televisyen termasuk media massa. Malah, sekarang boleh baca gunakan telefon pintar, iPad serta komputer.
“Kita juga boleh dengar bacaan daripada qari terkenal. Jika tidak baca juga, saya rasa teruk sangat dan agak malang kerana al-Quran di keliling kita. Oleh itu, harapan saya pada Ramadan ini jangan tinggalkan al-Quran,” katanya.
FAKTA NOMBOR
- 12 Hijrah – proses penyalinan al-Quran
- 4 – sahabat menyalin al-Quran
- 5 – fasa penghasilan al-Quran
- 12,000 sahabat memperakui itu al-Quran dibaca dengan Rasulullah SAW.