Kita ibarat dipisah oleh Dinding cermin
SEJAUH mana seseorang itu berada, ia tetap kembali ke tempat asal. Bagai sireh pulang ke ganggang, itulah peribahasa Melayu yang mengingatkan diri mengenai usul kejadian dan destinasi asal kembalinya nanti.
Diceritakan bahawa seorang penuntut bertanya kepada gurunya satu soalan: “Wahai guru, bandar apakah penduduknya semakin bertambah dan tiada berkurang?”. Maka, gurunya menjawab: “Bandar itu dinamakan akhirat. Semua manusia menuju ke sana. Jumlahnya bertambah sehingga tiba hari kebangkitan”.
Sesungguhnya kehidupan ini dilingkungi oleh dua alam yang terpisah pada pandangan zahir, tetapi tetap berkait pada ikatan batin.
Ia umpama seorang lelaki yang berada di balik tingkap cermin, menikmati secangkir kopi merenung ke hadapan dengan pandangan membelah dinding lutsinar, mengingati keagungan Sang Penguasa. Ia menikmati kehidupan dunia yang terhidang di depan mata serta mengamati keindahan alam sekelilingnya.
Namun, dinding cermin itu menjadi pemisah antara dunia luar dan dalam; dan pemisah itulah merupakan pembahagi antara alam dunia dan alam akhirat.
Bagi seorang yang berakal dan berilmu, dinding cermin ini sentiasa mengingatkan mengenai kekerdilannya, dan ia bersikap positif maju ke hadapan dengan bekalan yang dimiliknya.
Firman Allah:
وَٱبۡتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡيَاۖ وَأَحۡسِن كَمَآ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِي ٱلۡأَرۡضِۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.
(al-Qasas: 77)
Justeru, dakilah gunung ke puncak setinggi manapun, namun beringatlah bahawa sampai tikanya ia tetap jua menuruni gunung itu. Jadi, sama ada menuju ke puncak gunung atau menuruni ke lurah bawah, pastikan bekalan sentiasa mencukupi kerana persediaan itulah penyelamat kita.
DR USTAZ AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI