‘Semakin saya cuba jauhkan diri, semakin dekat Islam dengan saya’


Redzuan Muharam

Hulu Selangor: “Saya memeluk Islam kerana Allah,” kata mualaf, Nur Elisha Zulaikha Impang.

Nur Elisha Zulaikha, 25, yang menetap di Batang Kali, di sini menarik perhatian di TikTok baru-baru ini kerana berkongsi kisah penghijrahannya dan hubungan baik dengan ibunya, Dapun Anak Sanum, 64, selepas memeluk Islam.

Menceritakan kisahnya, bekas pramugari berasal dari Serian, Kuching, Sarawak itu berkata, keinginan memeluk Islam sudah lama dipendam namun impian itu hanya termakbul pada 30 Disember 2020.

Katanya, hidayah datang kepadanya dalam pelbagai bentuk malah hatinya pernah terjentik mendalami Islam ketika terpilih menjadi salah seorang anak kapal yang bertugas bagi penerbangan ke Jeddah, Arab Saudi empat tahun lalu cuma belum bersungguh pada waktu itu.

“Niat untuk memeluk Islam sudah lama ada, cuma hati kata tak mungkin kerana saya anak tunggal dalam keluarga.

“Jadi, keinginan itu terbantut dulu kerana memikirkan bagaimana dengan orang tua dan siapa akan menjaga mereka jika masuk Islam.

“Lagipun, mummy (gelaran untuk emak) dan daddy (Impang Anak Tinggie, 55) pernah melarang saya memeluk Islam kerana mahu saya mewarisi agama terdahulu ,”katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nur Elisha Zulaikha, semakin dia menjauhkan diri daripada Islam, lebih dekat ia dengannya.

Buktinya, dia bukan hanya dapat ramai rakan Muslim malah ditakdirkan berkenalan dan bertemu jodoh dengan suaminya, Iskandar Zulkarnain Shafin, 29.

“Saya bertemu dengan suami di sebuah pusat karaoke dan tidak tahu dia penyanyi sehingga diberitahu rakan.

“Sejak itu, kami mula berkawan dan pada satu hari, dia luahkan hasratnya untuk menghalalkan saya dengan ikatan perkahwinan.

“Suami nampak bersungguh kerana tidak lama selepas berkenalan, dia bawa saya ke rumah keluarganya dan Alhamdulillah, mentua menerima saya.

“Penerimaan baik itu membuatkan saya nekad berterus terang dengan keluarga mengenai hasrat memeluk Islam dengan alasan berkahwin walaupun niat sebenarnya adalah kerana Allah serta ingin berubah ke arah lebih baik,” katanya.

Nur Elisha Zulaikha bersyukur kerana dapat yakinkan ibu bapanya hingga mereka menerima keputusannya untuk memeluk Islam.

“Saya beritahu mummy walaupun sudah memeluk Islam, saya tetap anaknya dan tiada beza melainkan anutan agama.

“Saya cakap elok-elok juga dengan daddy dan Alhamdulillah, mereka berdua jadi lembut hati.

“Cuma, mummy dan daddy tidak dapat temankan saya ke Pejabat Agama Islam Hulu Selangor untuk memeluk Islam kerana berada di Sarawak berikutan sekatan pergerakan susulan pandemik Covid-19,” katanya yang menamatkan perkhidmatan sebagai pramugari tahun lalu.

Detik paling membuatkannya tersentuh adalah ketika bapanya mengingatkan untuk terus mencari ilmu agama sebelum masuk ke bilik pejabat agama dan selepas mengucapkan dua kalimah syahadah.

“Selesai mengucap dua kalimah, saya menangis teresak-esak namun dalaman sangat tenang seperti orang baru lahir ke dunia.

“Apabila keluar daripada pejabat agama, saya disambut rakan dan gembira sangat apabila menerima senaskhah al-Quran ibarat dapat anugerah cemerlang.

“Syukur kepada Allah kerana memberikan hidayah-Nya kepada saya pada usia muda dan mempermudahkan urusan. Ini kerana saya tidak dapat bayangkan bagaimana jika pergi dijemput Ilahi sebelum sempat memeluk Islam,” katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Nur Elisha Zulaikha tidak menyangka videonya meraih tontonan ramai dan berterima kasih kepada semua yang mendoakannya.

“Diharap saya terus istiqamah dan semoga kisah penghijrahan saya kongsikan bermanfaat termasuk untuk mualaf baru di luar sana yang sedang berjuang melembutkan hati keluarga.

“Semoga Allah mudahkan semuanya dan selain suami, keluarga serta rakan, saya juga mengikuti kelas bimbingan mualaf bagi menambah ilmu pengetahuan,” katanya.

tamat

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 59,727 other followers
%d bloggers like this: