27 tahun pendam hasrat sebelum peluk Islam


Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Selepas 27 tahun memendam impian, seorang wanita daripada suku kaum Dusun yang berasal dari Sabah bersyukur kerana impiannya untuk memeluk Islam menjadi kenyataan.

Nur Ayunina Abdullah, 38, berkata, perasaannya bercampur baur antara gembira dan sedih kerana dapat berpuasa bersama umat Islam lain sebaik memeluk Islam pada 17 Jun 2020 selepas melafazkan dua kalimah syahadah di Hidayah Centre Kota Kinabalu.

Katanya, dia memendam hasrat untuk memeluk Islam sejak berusia 11 tahun apabila sering melihat rakan yang beragama Islam menunaikan solat dan mengaji al-Quran.

“Pada waktu itu saya masih kecil dan tidak mengerti apa-apa, namun menyimpan impian untuk memeluk Islam dan pada masa saya, belajar banyak perkara mengenai Islam termasuk halal dan haram.

“Saya cuba untuk meluahkan hasrat memeluk Islam kepada keluarga namun bimbang mereka tidak bersetuju. Oleh itu, saya hanya memendam rasa untuk memeluk Islam,” katanya ditemui di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) Pengkalan Chepa di sini, baru-baru ini.

Anak kedua daripada lima beradik ini berkata, pada 2007, dia diuji dengan masalah kesihatan apabila mengalami kemurungan terlampau sehingga mengasingkan diri daripada ahli keluarga dan banyak berkurung di dalam bilik.

“Pada waktu itu, saya bagaikan hilang pedoman hidup dan sepanjang mengalami kemurungan, saya banyak mendengar ceramah melalui YouTube kerana ia membuatkan jiwa saya lebih tenang.

“Bertitik tolak daripada itu, saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam,” katanya.

Katanya, sebelum dia memeluk Islam, adik perempuannya terlebih dahulu memeluk Islam selepas mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Bagi memantapkan lagi tahap pengetahuan dalam bidang agama, pada Oktober tahun lalu, saya datang ke sini (IDIP) untuk mendalami serta mempelajari lebih mendalam mengenai Islam malah tenaga pengajar di sini banyak membantu.

“Jiwa saya berasa tenang selepas memeluk Islam dan di sini, saya mula belajar mengaji al-Quran dan berpuasa bersama rakan-rakan lain yang juga saudara baru,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 58,201 other followers
%d bloggers like this: