Berhati Pada Pintu Zina
Siri Ketujuh / Akhir
Setelah menerangkan beberapa pintu zina yang mesti ditutup rapat agar kita tidak terkena dengan percikan api zina yang merbahaya dan boleh membakar kita di dunia apatah lagi di akhirat maka kali ini diterangkan pintu zina ketujuh untuk kita semua berwaspada dengannya. Mulut mudah mengatakan bahawa betapa mudahnya mahu lari daripada zina sedangkan tindakan kita sentiasa terdedah untuk menghampiri mana-mana pintu zina. Takutlah Allah sentiasa agar kita tidak menyesal dan menderita akibat bergelumang dengan dosa. Mencegah jauh lebih baik daripada berubat.
7. Larangan menunjukkan perhiasan
Firman Allah dalam ayat 31 surah an-Nur yang bermaksud : Dan janganlah mereka menghentakkan kaki-kaki mereka agar diketahui barang apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka.
Kita lihat bagaimana hebatnya perancangan musuh Islam dalam turut menghancurkan muda mudi yang mengaku beragama Islam tetapi cara hidup dan berpakaian menyimpang jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Semakin ketat pakaian semakin hebat untuk dipakai sehingga bukan sahaja perhiasan yang ditonjolkan malah bentuk badan turut didedah. Diri rasa megah apabila tubuh badan dapat perhatian ramai sehingga lupa batasan agama. Tidak kurang yang bersolek agak melampaui batas apabila keluar dari rumah. Tidak cukup dengan gincu yang berwarna warni ditambah dengan minyak wangi yang semerbak baunya sehingga bukan mata orang ramai sahaja yang tertarik melihat tayangan percuma malah hidung turut tumpang tertarik sama. Mengapa manusia suka mencari cara bagaimana mahu menarik perhatian manusia lain agar terpesona dengan perhiasan diri sehingga lupa akibat buruk di dunia lagi apatah lagi bila di negeri akhirat ketika dihitung di hadapan Allah Rabbul ‘Izzati. Insaflah kita sebelum terlambat selagi pintu taubat masih terbuka luas. Selesai…..
Petikan :1. Al-Quran al-Karim
2. Buletin UPKN, Muharram-Sofar 1424, Bil. 01