Hindari Pintu Zina
Siri Kelima
Islam merupakan agama langit yang menggariskan ajaran yang menyeluruh dan lengkap. Setiap gerak laku manusia telah diletakkan garis panduan dan adab tertentu agar manusia tidak meraba-raba mencari formula yang terbaik untuk diikuti. Setiap kesalahan dan penyelewengan yang berlaku bukanlah disebabkan kesilapan wahyu sebaliknya akibat daripada kedegilan umat manusia yang lebih suka mengikut hasutan nafsu. Kesempatan kali ini akan dijelaskan serba sedikit mengenai pintu zina yang kelima yang kurang diambil perhatian sewajarnya oleh umat Islam sendiri samada disebabkan kejahilan tentangnya atau sengaja mahu membukanya yang menyebabkan banyak berlakunya kes zina, pelacuran, perkosa dan sebagainya.
5. Adab bermusafir
Tidak halal bagi seseorang perempuan yang beriman kepada Allah dan hari akhirat jika hendak pergi musafir sejauh perjalanan sehari dan semalan melainkan jika bersama seorang mahramnya. ( Riwayat imam Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dari Sh Abu Hurairah )
Atas beberapa alasan maka adab bermusafir kurang dijaga menyebabkan berlakunya kes yang kurang sihat yang mencemarkan maruah. Perjalanan yang jauh biasanya menghadapi pelbagai risiko dalam perjalanan termasuk gangguan seksual terutama dalam kenderaan awam. Oleh itu dari awal lagi Islam telah menggariskan adabnya yang bertujuan menjaga maslahat dan kepentingan pelbagai pihak. Betapa malangnya adab ini dilanggar sesuka hati atas alasan kebebasan dan kemodenan. Umat Islam mengenepikan adab yang diajar oleh agamanya sendiri menyebabkan mereka mengeluh bila sudah menerima padahnya di mana penyesalan yang tidak bermakna lagi apabila maruah sudah rosak dan tercemar. Siapa yang mahu disalahkan jika diri sendiri yang menempahnya. Kepentingan dalam menjaga adab yang digariskan oleh agama hanya mampu dilihat dan dirasai oleh umat Islam yang benar-benar beriman serta patuh kepada seluruh ajaran Islam bukan sebaliknya. Bagi umat Islam yang memandang ringan tentang dosa pahala serta tidak begitu yakin tentang hari akhirat maka kebanyakan mereka menganggap agama adalah suatu yang mengongkong kebebasan bergerak dan bertindak tanpa merasai bahawa agama itu merupakan suatu peraturan yang bertujuan menjaga kebaikan kita di dunia dan akhirat. Jarang manusia boleh menjadi umat yang baik tanpa sebarang peraturan yang mengawal tindak tanduknya.Oleh itu patuhilah ajaran agama agar kita tidak menjadi umat yang menangis kerana menyesal di dunia dan akhirat. Bersambung…..
Petikan :1. Al-Quran al-Karim
2. Buletin UPKN, Muharram-Sofar 1424, Bil. 01