Jauhilah Pintu Zina
Siti Aisyah r.a berkata : Tidak! Demi Allah! Tidak pernah Rasulullah s.a.w menyentuhkan tangannya dengan tangan seorang perempuan lain. Baginda hanya melakukan bai’ah ( janji setia) dengan mereka (perempuan) dengan percakapan ( Riwayat imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi )
Ada ulama’ yang mengatakan bahawa : Tersentuh kulit babi boleh disamak sedangkan menyentuh kulit perempuan halal kahwin tidak boleh hilang dosanya dengan samak.
Jika memandang dengan mata pun boleh menaikkan ghairah nafsu apatah lagi dengan bersentuhan dengan mereka yang halal kahwin. Akibat tidak menghirau larangan agama telah menyebabkan berleluasanya masalah zina. Nafsu seumpama api ketika kecil ia sudah boleh membakar dan apabila marak menjulang maka ia akan membinasakan manusia. Jika api ada umpan yang boleh memarakkannya begitulah juga nafsu di mana apabila ada umpan yang terhidang maka ia akan membakarnya.
Sebab itulah antara hikmah batal wudhu’ apabila bersentuh dengan kulit mereka yang halal kahwin tanpa berlapik adalah bagi menyedarkan umat Islam agar menjaga tindakan mereka untuk tidak menyentuh mereka yang halal kahwin kerana ia boleh merangsang nafsu yang seterusnya boleh membuka luas pintu zina.
Petikan :1. Al-Quran al-Karim
2. Buletin UPKN, Muharram-Sofar 1424, Bil. 01