Tutuplah Pintu Zina
Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia bertemu bersendirian di suatu tempat dengan seorang wanita yang tiada sertanya mahram daripadanya kerana sesungguhnya yang ketiganya tentu syaitan. ( Riwayat imam Ahmad dari Sh Jabir r.a )
Janganlah seseorang lelaki bertemu sendirian dengan seorang wanita yang tidak halal baginya kerana bahawasanya yang ketiganya tentu syaitan kecuali jika dengan mahramnya. ( Riwayat imam Ahmad dari Sh Amir bin Rabie’ah r.a )
Islam mengajar bagaimana jika bertemu dengan tunangan pun mesti ditemani mahram apatah lagi selain mereka daripada yang halal kahwin. Akibat terbukanya amalan pergaulan bebas tanpa sempadan agama atas alasan kemodenan telah menyebabkan pintu zina ini semakin luas terbuka. Akhirnya ramai gadis yang tertipu dan dijadikan pelacur begitu juga cara ini dilakukan oleh pendakwah Kristian atas alasan mahu peluk Islam untuk bertemu dengan gadis Islam yang terpedaya dan seterusnya dijebakkan ke lembah zina. Jika berhubung melalui telefon dengan mendengar suara atau internet telah pun merangsangkan nafsu apatah lagi bila bertemu muka tanpa ditemani oleh mahram.Mulanya bertemu di tempat terbuka disusuli dengan tempat tertutup yang mendedahkan lagi kepada penzinaan. Oleh itu janganlah terlalu membuka pintu zina atas apa alasan sekali pun. Cinta sebelum kahwin yang tidak dibatasi dengan garisan syarak lebih banyak membawa mudharat daripada manfaat. Cinta sebelum kahwin lebih banyak dikawal oleh nafsu berbanding cinta selepas kahwin yang dihujani rahmat wahyu. Jangan cuba melampaui batas agama yang menyebabkan kesesalan yang tidak berkesudahan. Nafsu seumpama harimau dalam zoo yang nampak jinak tetapi jika dilepas ia akan membaham sesiapa sahaja. Begitulah nafsu apabila dikawal dengan baik maka ia terjaga tetapi jika dilepaskan maka akan membawa kerosakan diri.
Petikan :1. Al-Quran al-Karim
2. Buletin UPKN, Muharram-Sofar 1424, Bil. 01