Bahaya Buka Pintu Zina
Siri Pertama
Masalah sosial terutama zina dalam negara semakin meningkat dan serius di celah-celah tekanan umara’ terhadap pelaksanaan hukuman Islam dan pengajian agama. Sikap tidak bertanggungjawab umara’ dalam memastikan pintu ke arah penzinaan agar ditutup telah menambahkan lagi bahana yang sedia melanda ini. Apabila umara’ tidak berusaha menutup pintu zina itu telah menyebabkan rakyat jelata tidak mampu menahan nafsu mereka untuk mengintai di sebalik pintu zina yang terbuka dan ramai di kalangan mereka terus memasuki pintu itu untuk melakukan perzinaan. Di sini suka di jelaskan serba sedikit tentang beberapa pintu zina yang sentiasa dibuka dan hanya mereka yang benar-benar menjaganya sahaja yang dapat menjauhi daripada berlakunya zina. 1. Bahaya pandang memandang Dan katakanlah Wahai Muhammad! kepada orang-orang perempuan yang beriman : Hendaklah mereka memejamkan setengah daripada pandangan mata mereka….. ( surah an-Nur ayat 31 ) Sh. Buraidah RA berkata : Bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada Sayyidina Ali : Wahai Ali! Janganlah kamu ikutkan satu pandangan yang kedua kerana sesungguhnya hanya pandangan yang pertama sahaja ( terpandang) dan tidak bagi kamu pandangan yang kedua. ( Riwayat imam Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan al-Hakim ) Kita dapat melihat bagaimana jenayah orang yang celik matanya tetapi buta mata hati atau tertutup mata hari akibat terlalu banyak maksiat yang dilakukan lebih banyak berlaku berbanding orang buta matanya. Mata merupakan panahan yang merbahaya bila tidak dijaga. Dari pandangan mata turun ke hati yang merangsang nafsu sehingga berlakunya tegur sapa melalui mulut yang kebanyakannya berakhir dengan dosa kemaluan iaitu zina. Ingatlah bahawa nafsu ada pada setiap diri manusia di mana ia tidak pernah tua walau pun usia tuan nafsu itu sendiri semakin lanjut. Mata antara perkara yang boleh merangsangkan nafsu apabila digunakan untuk melihat perkara yang disukainya. Oleh itu jagalah mata kita agar sentiasa menjauhi perkara maksiat. Mencegah lebih baik daripada berubat. Bersambung….. –
Petikan :
1. Al-Quran al-Karim
2. Buletin UPKN, Muharram-Sofar 1424, Bil. 01