Malu Pendinding Diri


Mohd Shahrizal Nasir

SETIAP manusia yang waras pasti memiliki sifat malu. Lihat saja bagaimana manusia akan menutup fizikal dirinya dengan pakaian kerana wujudnya sifat malu dalam diri.

Sebab itu Islam mewajibkan umatnya untuk menutup aurat dengan sempurna ketika berada di depan khalayak kerana ia mencerminkan wujudnya sifat malu.

Hatta ketika bersendirian, Islam masih menitikberatkan soal malu kerana hakikatnya manusia tidak pernah bersendirian. Buktinya, selain manusia sentiasa dalam penglihatan Allah SWT, ada malaikat yang siap sedia mencatat setiap perbuatan yang dilakukan.

Sifat malu bukan saja membabitkan hubungan sesama manusia, malah rasa malu juga mesti ada antara diri dengan Allah SWT.

Sebagai hamba Allah SWT yang taat, kita perlu berasa malu sekiranya tidak dapat memenuhi ketetapan Allah SWT.

Kehidupan di dunia ini semuanya atas rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Maka bagi hamba Allah SWT yang berhasrat melakukan kemungkaran, mereka sepatutnya berasa malu kepada-Nya. Rasa malu akan menutup pintu nafsu manusia untuk melakukan maksiat.

Mana mungkin bagi seorang hamba Allah SWT yang taat akan sanggup melakukan kemungkaran dalam keadaan dia tahu bahawa setiap perlakuannya diketahui oleh-Nya. Jika seseorang hamba melakukan maksiat kemudian memohon pertolongan kepada Allah SWT untuk memakbulkan hajatnya, maka tidakkah sepatutnya si pelaku maksiat tersebut berasa malu atas tindakannya itu. Pada satu sudut dia ingkar terhadap ketentuan Allah SWT dan pada sudut yang lain dia memohon bantuan daripada Allah SWT.

Setiap Muslim perlu menginsafi dirinya bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT.

Tanamkan rasa malu untuk melakukan maksiat dan kemungkaran kerana hakikatnya kita adalah hamba Allah SWT yang sentiasa mengharapkan belas ihsan daripada-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul).

Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A’raf, ayat 56)

Sifat malu adalah sebahagian daripada iman seperti mana yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW. Justeru, sifat malu bukan satu perkara kecil kerana apabila menyentuh soal iman, ia perkara asas dalam agama.

Jika seseorang individu mengaku dirinya beriman kepada Allah SWT, maka sifat malu perlu ada dalam dirinya.

Ada dalam kalangan umat Islam yang tidak malu melakukan kemungkaran di depan khalayak ramai. Ada yang mendedahkan aurat, mengambil hak orang lain, membunuh insan yang tidak berdosa, menyebar fitnah dan aib peribadi orang lain, derhaka kepada kedua orang tua dan banyak lagi. Mereka tidak lagi melakukan dosa secara sembunyi, sebaliknya mempamerkan dosa yang dilakukan dengan tujuan untuk mendapat perhatian orang ramai.

Adakah mereka yang terbabit ini memiliki sifat malu? Adakah mereka memiliki iman kerana malu itu sebahagian daripada iman? Mereka bukan saja tidak berasa malu berdepan dengan sesama manusia, tetapi mereka juga tidak malu dengan Allah SWT. Ada antara pelaku dosa tersebut mengemukakan hujah bahawa tindakan yang mereka lakukan tidak salah, tidak mengganggu orang lain, tidak pun memaksa orang lain menyaksikannya dan macam-macam lagi alasan dangkal yang diberikan.

Semua ini membuktikan tidak ada lagi sifat malu dalam diri pelaku maksiat tersebut. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan orang yang menunjuk-nunjuk dosa kesalahan yang dilakukan untuk tatapan umum dikira sebagai golongan yang mencabar ketetapan Allah SWT. Sesungguhnya balasan daripada Allah SWT menanti golongan yang mengingkari ketetapan-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Surah asy-Syura, ayat 30)

Sifat malu adalah pendinding yang mesti dikekalkan dalam diri. Sesungguhnya sifat malu dapat menjaga diri daripada melakukan maksiat. Sebab itu sifat malu mempunyai perkaitan dengan iman. Jika tidak ada sifat malu nescaya dia akan sentiasa melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Perkara ini pernah disentuh oleh Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang bermaksud: “Apabila engkau tidak malu maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis ini membuktikan sifat malu benteng diri daripada melakukan kemungkaran. Sekiranya sifat malu tiada dalam diri, maka manusia akan sewenang-wenangnya melakukan apa saja yang diinginkan meskipun perbuatan tersebut dilarang oleh Allah SWT.

Selain sifat malu dapat mencegah diri seseorang daripada melakukan kemungkaran, malu juga boleh menerbitkan pelbagai kebaikan. Orang yang malu untuk membuka auratnya akan lebih peka dalam berpakaian. Begitu juga orang yang malu untuk bercakap bohong, pasti akan sentiasa bercakap benar. Maka benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Malu itu tidak datang kecuali dengan kebaikan.” (Muttafaq ‘alaih)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 54,450 other followers

%d bloggers like this: