Kesedaran ibu bapa mulakan usaha bina masyarakat utuh
Oleh Dr Syamimi Saadon
KETIKA kita mengidamkan masyarakat hidup aman damai serta menghormati antara satu sama lain, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi keinginan itu.
Namun, satu faktor utama yang penting untuk kita ambil perhatian adalah keadaan sesebuah keluarga dalam masyarakat berkenaan.
Kita perlu melihat semula unit kecil bernama keluarga ini kerana yang membentuk masyarakat itu ialah himpunan watak daripada keluarga itu sendiri. Kita perlu sedar bahawa sebagaimana acuan keluarga begitulah bentuk masyarakat.
Justeru, langkah awal dan penting dalam membina masyarakat idaman semua, ia perlu bermula daripada anggota keluarga sama ada bapa, ibu dan anak-anak dengan setiap satunya mempunyai peranan masing-masing.
Sebuah hadis Rasulullah SAW diriwayatkan daripada Aisyah RA, Baginda bersabda yang bermaksud; “Sebaik-baik antara kamu adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.”
Hadis ini meletakkan satu kayu ukur bagaimana menjadi seorang manusia yang terbaik iaitu dengan menjadi orang paling baik dengan ahli keluarga. Mengapa ? Kerana di sinilah kita jujur dengan diri sendiri. Kita boleh mengubah karakter dan peribadi apabila berada di khalayak awam atau ketika bersama dengan rakan-rakan. Namun apabila bersama dengan ahli keluarga, itulah warna sebenar diri kita. Itulah sebab kenapa sangat penting untuk memerhatikan diri sendiri apabila berinteraksi dengan ahli keluarga.
Jika terlihat sifat buruk ada pada diri seperti cepat marah, bahasa yang kasar, tidak ringan tulang dan sebagainya, maka sedarlah kita belum menjadi manusia yang terbaik. Justeru, susunlah proses membentuk diri dengan sifat yang baik.
Maka, untuk membina sebuah keluarga yang utuh, ia perlu bermula dengan memperbaiki diri kita sendiri. Baik yang bagaimana? Pastinya seperti yang dianjurkan dalam al-Quran. Bagaimana ingin tahu contohnya? Kita lihatlah kisah hidup Baginda, Nabi Muhammad SAW kerana Aisyah RA pernah berkata, “Akhlaknya (Nabi SAW) ialah al-Quran.” (HR Bukhari).
Meskipun usaha memperbaiki diri sendiri perlu dimainkan oleh semua anggota keluarga, namun ibu bapa mempunyai pemberat yang berbeza. Mereka adalah contoh dan pemimpin kepada keluarga dan guru pertama buat anak.
Apa yang dilakukan oleh ibu bapa, itulah yang akan diikuti dan dipelajari oleh mereka di rumah. Meskipun ia hal yang kecil seperti menyusun selipar di rak kasut atau membasuh pinggan selepas makan, ia menjadi pelajaran buat anak. Perkara ini akan tertanam dalam peribadi anak hingga menjadi jati diri mereka.
Ibu bapa mempunyai peranan yang sangat besar untuk memberikan pendidikan dan teladan baik serta betul supaya anak-anak dapat membina keperibadian utuh.
Maka, ibu bapa mesti ada rasa bertanggungjawab yang berterusan menambah baik diri mereka. Usaha ini boleh dilakukan dengan mengikuti kelas atau kuliah pengajian, membaca buku dan berbincang dengan mendalam antara kedua-duanya.
Di belakang ibu bapa, tertanggung satu beban yang besar dalam mendidik anak-anak. Hal ini disebabkan anak itu nanti akan mengisi ruang dalam masyarakat. Jika utuh keluarganya, maka utuhlah masyarakatnya.
Usaha membina masyarakat yang utuh perlu menjadi tanggungjawab buat semua. Ia pastinya akan memakan masa, tetapi itu tidak penting untuk kita risaukan.
Paling utama adalah kesedaran yang ada pada setiap ibu bapa untuk memulakan usaha membina masyarakat utuh ini, iaitu ia bermula dengan keluarga mereka sendiri. Tanpa kesedaran ini, masyarakat utuh akan kekal menjadi mimpi.
Selain itu, sistem sokongan buat ibu bapa dan keluarga yang memerlukan juga perlu digiatkan, terutama aspek ekonomi dan sosial. Kedua-dua ini memberikan kesan langsung kepada proses membina keluarga yang utuh.
Ibu bapa pastinya tidak dapat memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak jika kewangannya hanya sekadar mampu mengisi perut mereka sahaja. Sama juga jika tekanan sosial terus mendesak, akan memberikan kesan kepada keupayaan mental mereka. Akhirnya keputusan yang salah akan memberikan kesan buruk kepada keluarga itu.
Menuju masyarakat yang utuh memerlukan kebersamaan sejagat daripada kita semua. Maka, bantulah apa yang mampu kita berikan. Mohonlah bantuan, jika kita memerlukan.