Selamatkan Remaja daripada terus rosak


Oleh ZUARIDA MOHYIN

Sebahagian tetamu pada pelancaran program ‘Remaja Iman Negara Aman’ di Rumah Perlindungan Baitul Fiqh, di USJ Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

HASIL kajian melibatkan 2,800 responden berusia dari 15 hingga 25 tahun yang dijalankan pada 2010 dengan portal YouthSays.com menunjukkan 60 peratus remaja Malaysia hilang dara menjelang umur 18 tahun.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 24 peratus daripada mereka mengaku pernah mengadakan hubungan seks dengan lima kekasih.

Hasil kajian rambang ini mungkin membawa pelbagai spekulasi atau penerimaan masyarakat kita. Berkemungkinan kerana ia tidak dijelaskan golongan responden yang terlibat, apakah agama mereka dan latar belakang mereka.

Mahu atau tidak, kita kenalah menerima realiti penemuan ini. Kita kena terima hakikat remaja hari ini mengetahui tentang seks lebih awal, seawal 10 atau 11 tahun.

Malah majoriti mereka memperoleh maklumat daripada teman-teman sebaya atau menerusi kecanggihan informasi dan teknologi komunikasi (ICT).

Boleh dikatakan amat sedikit jumlahnya yang mendapat maklumat ini melalui pertanyaan yang diajukan kepada ibu bapa atau guru mereka.

Demikian antara ucapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim pada pelancaran program Remaja Iman Negara Aman (RINA) dan kursus Al-Ma’thurat di Subang Jaya, Selangor, Sabtu lalu.

Teks ucapannya dibaca oleh Yang Dipertua, Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh, Juhaidi Yean Abdullah.

Program yang turut dimeriahkan dengan kehadiran ibu bapa, para pelajar institusi pengajian tinggi awam dan para sukarelawan ini dimulai dengan alunan zikir al-Ma’thurat yang diketuai oleh Normala Mohammad Shari.

Mashitah berkata, jika dilihat daripada perspektif gejala sosial membabitkan remaja hari ini terutama kes remaja hamil dan pembuangan bayi, masyarakat dan pihak berkuasa harus memberi respons serius terhadap hasil kajian ini.

Apatah lagi, katanya, apabila mendapati 74 peratus remaja yang mengadakan hubungan seks memberitahu mereka tidak mengamalkan sebarang perlindungan.

“Malah, 83 peratus berkata mereka tidak mengalami apa-apa kesan negatif daripada tindakan mereka.

“Separuh daripadanya pula merasa ‘bahagia’ ekoran pengalaman seks tersebut,” kata belaiau.

Lantaran itu, apakah pendekatan paling berkesan menangani bencana sosial ini?

Berdasarkan bilangan kes yang tidak reda tahun demi tahun, ia seolah-olah memberi gambaran pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan serta kempen media massa setakat ini adalah tidak berhasil. Adakah tenaga, masa dan wang ringgit yang dicurahkan selama ini sia-sia?

Perlu konsisten

Menjawab persoalan itu, Juhaidi menjelaskan, tugas membanteras gejala sosial ini mestilah konsisten dan berterusan.

Katanya lagi, ia bukan tanggungjawab dan peranan satu pihak sahaja tetapi semua anggota masyarakat iaitu kerajaan, masyarakat, keluarga, sekolah, NGO, badan sukarela perlu menggembleng usaha selagi masalah ini wujud.

“Bagaimana kita membanteras masalah pelacuran, dadah dan gangster maka hal yang sama juga diperluaskan kepada masalah kebejatan sosial remaja khasnya remaja Islam,” tegasnya.

Program RINA kata Juhaidi, berasaskan kepada modul yang dilaksanakan di Rumah Perlindungan Baitul Fiqh atau kini berstatus Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh.

Katanya, dalam mendidik anak-anak yang menetap di situ, pihaknya memberi fokus kepada tiga perkara penting.

Pertama adalah memantapkan pendidikan agama; kedua, pembinaan karakter untuk jati diri menerusi sesi motivasi, ceramah dan sebagainya.

Fokus ketiga pula adalah memberi kemantapan diri melalui bidang kemahiran.

“Oleh itu, ketiga-tiga asas kepada modul inilah yang kita terap kepada setiap penghuni.

“Ini kerana para penghuni yang tinggal di sini bukannya dalam tempoh masa yang pendek

“Sebab itulah kita adakan jadual yang kemas supaya ketiga-tiga asas di atas ini dapat digembleng agar apabila tiba masanya mereka meninggalkan rumah ini mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih cerah,” tambahnya.

Menurut Juhaidi, konsep Baitul Fiqh adalah memberi peluang kedua kepada para remaja ini dan membuka ruang bertaubat untuk mereka.

“Jadi, anggota masyarakat jangan terus menghukum mereka tanpa usul periksa, secara tidak langsung ini membuktikan kita belum mencapai tahap sebagai muslimin serta memberi jaring bantuan.

“Kita sebenarnya tidak boleh menyalahkan golongan ini 100 peratus jika kita sendiri tidak bersedia memberi sokongan dan bantuan itu.

“Dan inilah yang tidak ada dalam masyarakat kita,” kata Juhaidi lagi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 58,201 other followers
%d bloggers like this: