Selawat, qasidah tanda cinta Rasulullah s.a.w


Oleh Latifah Arifin

 

PUJI-PUJIAN kepada Nabi Muhammad SAW melalui alunan selawat dan qasidah antara kaedah untuk menzahirkan kecintaan kepada Baginda.

Bagaimanapun, terdapat sebahagian masyarakat yang menyifatkan amalan itu menyimpang daripada ajaran Islam, malah lebih parah apabila mengaitkannya sebagai perbuatan mensyirikkan Allah SWT.

Ada juga yang turut menuduh puji-pujian kepada Rasulullah SAW sebagai bertentangan dengan Islam kerana ia menyamai amalan orang Nasrani yang menganggap Nabi Isa AS sebagai anak Allah SWT.

Antara sandaran utama golongan itu ialah hadis yang diriwayatkan Anas ibnu Malik RA: Janganlah kamu melampau-lampau memujiku seperti Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibnu Maryam.

Tanggapan itu sebenarnya memperlihatkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam khususnya golongan cetek ilmu hadis, sekali gus menjadikannya alasan untuk menolak dan melarang amalan memuji Baginda.

Hakikatnya, majlis selawat dan qasidah sering menjadi pengisian utama dalam majlis memperingati Rasulullah SAW termasuk dalam Rabiulawal bagi meraikan kelahiran Baginda.

Pendakwah, Habib Nael Ben Taher, berkata hadis larangan memuji seperti Nasrani itu tidak boleh dijadikan dalil untuk melarang untuk umat Islam mengungkapkan puji-pujian kepada Rasulullah SAW.

“Kita semua mengetahui sifat Nabi SAW yang sangat mulia termasuk Baginda sangat tawaduk dan rendah hati.

“Hadis itu bukanlah bermaksud sebagai larangan memuji Nabi Muhammad SAW, sebaliknya mengajarkan kita betapa agungnya sifat dan keperibadian Baginda,” katanya.

Beliau berkata, mengangkat Rasulullah SAW dengan puji-pujian kepada Baginda tidak wajar dipertikaikan kerana perkara ini disebut Allah SWT dalam al-Quran.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya engkau (Nabi Muhammad SAW) mempunyai akhlak sangat agung.” (Al-Qalam: 4)

“Menurut ulama, setinggi mana pujian kita terhadap Rasulullah SAW, ia tidak akan boleh menandingi pujian Allah SWT terhadap Baginda,” katanya.

Justeru, adalah tidak benar menyamakan amalan puji-pujian terhadap Baginda Rasulullah SAW dengan amalan Nasrani.

“Mengenai bandingan dengan tanggapan Nasrani terhadap Nabi Isa AS, kita perlu memahami setinggi mana kita mengagungkan Nabi Muhammad SAW, ia bukan bermakna menganggap Baginda sebagai tuhan seperti iktikad orang Nasrani.

Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah, sesungguhnya aku tidak takut kalian akan terjatuh syirik setelah pemergianku, tetapi apa aku takuti adalah dibukakan kemewahan dunia kepada kalian, maka kalian akan berebut seperti orang terdahulu, lalu kalian akan hancur seperti kaum terdahulu. (HR Bukhari dan Muslim)

“Hadis ini isyarat daripada Rasulullah SAW bahawa setinggi mana umat manusia mengetahui kelebihan dan mukjizat Nabi SAW, mereka tetap mengetahui kedudukan Baginda sebagai Rasul dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

Habib Nael turut menjawab tuduhan yang menyifatkan gelaran Nabi Muhammad SAW dengan ‘sayidina’ sebagai salah dan melampau.

“Terdapat banyak riwayat hadis yang Nabi Muhammad SAW sendiri menyebut diri Baginda sebagai ‘Sayyid.’

Rasulullah SAW bersabda: Aku ialah ketua anak Adam kelak di hari kiamat dan akulah pertama akan keluar dari kuburku dan akulah yang pertama akan memberi syafaat. (HR Muslim)

Baginda turut bersabda: Aku ketua bagi seluruh alam, (HR Baihaqi)

“Justeru, ulama membolehkan kita menyebut nama Nabi Muhammad SAW sebagai Sayidina sebagai penghormatan kepada Baginda, malah disebabkan Baginda sendiri menyebutnya,” katanya.

Tanggapan negatif terhadap Rasulullah SAW dan tindakan memperlekehkan amalan seperti berselawat bagi mengingati serta mendekatkan diri kita kepada Baginda seharusnya tidak berlaku dalam masyarakat.

Sikap sedemikian bukan sahaja akan memecahbelahkan masyarakat Islam, bahkan menjauhkan kita semua daripada rahmat Allah SWT.

Apatah lagi, segala kemuliaan dianugerahkan kepada Rasulullah SAW semuanya adalah hak mutlak Allah SWT.

Justeru, sebagai umat Islam beriman kepada Allah SWT dan memahami pentingnya untuk mengikuti segala ajaran Rasulullah SAW, kita perlu sentiasa melafazkan kecintaan kepada Baginda dalam segenap aspek apatah lagi dalam meraih syafaat akhirat kelak.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 61,126 other subscribers
%d bloggers like this: