Kegemilangan Islam tercipta melalui Hijrah


Mohd Ajib Ismail

AL-MUBARAKFURI membuat catatan bahawa Nabi Muhammad SAW keluar dari rumah baginda menuju ke rumah Abu Bakar al-Siddiq RA bagi memulakan hijrah ke Madinah pada waktu malam, 27 Safar tahun ke-14 kenabian. Ibn Hisyam menjelaskan apabila Nabi SAW diwahyukan supaya keluar dari rumah bagi memulakan hijrah, maka baginda menyuruh Ali bin Abu Talib menggantikan tempat tidur baginda dengan menyelimutkan diri menggunakan baju selendang Nabi Muhammad SAW yang selalu digunakan ketika tidur bagi mengelirukan musyrikin Quraisy yang mengepung kediaman dan merancang membunuh baginda.

Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah bukan suatu kebetulan dan tanpa berfikir, tetapi dengan perancangan teratur dan langkah tersusun bagi menjamin matlamatnya tercapai. Nabi Muhammad SAW memberikan tunjuk ajar kepada umat baginda agar membuat perancangan secukupnya dengan langkah tepat dalam pelaksanaan tugasan.

Allah SWT menjelaskan keutamaan hijrah dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” surah An-Nisa’ ayat 100

Kedatangan Tahun Baru Hijrah pada setiap tahun harus menjadi medan untuk memperbaharui niat, azam dan matlamat dalam kehidupan. Detik ini perlu menjadi peringatan kepada kita untuk sentiasa memperbaiki diri menjadi Muslim yang taat kepada perintah Allah SWT dan menjadi manusia yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr, ayat 18)

Permulaan Tahun Baru Hijrah adalah detik yang bermakna bagi memperingati peristiwa besar hijrah Rasulullah SAW dari Tanah Haram Makkah Mukarramah ke Kota Madinah Munawwarah. Penghijrahan dengan segala pengorbanan jiwa, harta dan tanah air tercinta menjadi titik tolak perubahan dan pemangkin  penyebaran syiar Islam ke serata alam. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan kesinambungan perjuangan dan pengorbanan baginda dan sahabat dengan memberikan sumbangan dan khidmat bakti kepada ummah dalam apa jua kemampuan yang ada. Sesungguhnya, syiar Islam tertegak di atas kesediaan umatnya untuk berkorban menyumbang khidmat bakti dalam melaksanakan tugasan dakwah. Perpindahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah bukanlah semata-mata untuk lari daripada tekanan Quraisy dan musyrikin Makkah, tetapi juga mencari tempat baharu supaya Islam dapat berkembang terus menerus secepat mungkin.

Peristiwa hijrah mengajar gerakan dakwah memerlukan dokongan pelbagai pihak yang mempunyai pengaruh dan kekuatan termasuk politik dan kewangan seperti dimiliki Abu Talib, Saidatina Khadijah, Abu Bakar al-Siddiq dan Othman bin Affan. Nabi Muhammad SAW menggunakan segala potensi yang ada untuk memulakan hijrah baginda melalui peranan Ali bin Abu Talib, Abu Bakar al-Siddiq dan anak buahnya, gua untuk berlindung, dan pemandu jalan ke Madinah, iaitu Abdullah bin ‘Uraiqit walaupun bukan Islam. Kelebihan yang ada digunakan untuk memainkan peranan yang sesuai mengikut potensi masing-masing. Kepentingan hijrah sebagai strategi dakwah akhirnya berjaya membangunkan negara Islam pertama di Madinah. Oleh itu, formula untuk membina negara  dengan memanfaatkan segala sumber dan kelebihan yang ada wajar dijadikan teladan.

Peristiwa hijrah juga mengajar sifat keperihatinan dan kepedulian masyarakat tanpa mengira latar belakang dan keturunan. Islam menganjurkan kepada setiap Muslim agar selalu peduli dengan nasib Muslim yang lain. Kepedulian tersebut diwujudkan dengan rasa simpati dan senasib sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perumpamaan kaum Mukmin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakitnya dengan berjaga malam dan demam.” (HR Ahmad No: 17654)

Di dalam peristiwa hijrah, golongan Ansar di Madinah menunjukkan sifat yang baik dengan mengutamakan saudara mereka daripada golongan Muhajirin lebih daripada diri mereka sendiri dengan memberikan bantuan tanpa sebarang hajat dan muslihat. Hal ini digambarkan melalui firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

Sepanjang negara berdepan musibah wabak Covid-19, seluruh rakyat Malaysia berjaya menunjukkan keperihatinan dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan dan memerlukan tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama. Sifat santun dan perihatin ini dapat menjadi sarana dakwah berkesan dalam menarik minat golongan bukan Islam kepada Islam.

Sifat dan akhlak mulia melalui pergaulan mesra dan ceria, ucapan yang baik dan sopan santun, mengambil berat terhadap kesulitan dan meringankan kesusahannya mengikut kemampuan kita adalah contoh pekerti terpuji yang boleh kita amalkan dalam kehidupan bermasyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Ansar ketika menerima kedatangan Muhajirin dari Makkah.

Kegemilangan Islam tercipta selepas berlakunya hijrah Rasulullah SAW yang mengeluarkan masyarakat daripada tekanan kepada kebebasan, kemiskinan kepada kekayaan dan sengsara kepada kedamaian. Justeru, detik Tahun Baru Hijrah boleh menjadi pemangkin untuk kita kembali mencari peluang, kekuatan dan keyakinan bagi meneroka perubahan kepada yang lebih baik setelah menempuhi pelbagai ujian yang melanda kehidupan.

Kejayaan hijrah ke Madinah, dari sudut sebab musababnya adalah hasil usaha kerja tersusun mantap yang dilakukan sekian lama. Ia bukan suatu kebetulan tanpa perancangan dan strategi diatur. Hijrah menjadi sangat penting dan sungguh besar ertinya kerana ia menentukan Islam dan umatnya terus hidup berkembang dengan jayanya. Atas kepentingan peristiwa hijrah, maka ia diabadikan ingatannya dengan dijadikan tahun pertama bagi kalendar Islam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,027 other followers

%d bloggers like this: