Ubah minda korupsi, teladani integriti Khalifah Umar


Dr Ahmad Badruddin Abdullah 

UMAR Abdul Aziz (682-720) adalah antara khalifah yang memimpin kerajaan Islam Ummaiyyah dan beliau memerintah antara tahun 717 hingga 720.

Beliau sememangnya terkenal dengan sifatnya yang alim dan tidak mementingkan kekayaan, kemegahan serta memilih untuk hidup dalam kesederhanaan.

Khalifah Umar dikhabarkan sebagai seorang yang amat berhati-hati dengan urusan harta, terutama yang jika ia membabitkan harta rakyat.

Kisah Khalifah Umar yang menyediakan dua pelita di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri, adalah cerminan tahap integriti diri yang sangat tinggi.

Persoalannya, masih adakah sifat integriti seperti yang dipamerkan Khalifah Umar ini dalam diri kita semua.

Jika integriti masih kuat dalam minda dan sanubari, mengapakah isu berkaitan salah guna kuasa dan penyelewengan masih lagi banyak terpampang di dada akhbar? Mengapa pula tangkapan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin menunjukkan peningkatan?

Berdasarkan rekod, sejumlah 894 tangkapan dilakukan SPRM pada 2018, sebelum meningkat kepada 1,101 pada 2019. Ia merangkumi pelbagai kesalahan seperti menerima dan memberi rasuah, tuntutan palsu, salah guna kedudukan dan wang haram.

Namun lebih menyedihkan, melalui Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 2020, Malaysia memperoleh skor 51/100 dan disenarai pada tangga 57 daripada 180 negara, jatuh enam anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Persoalannya, di manakah silapnya? Adakah kerana nilai integriti kita sudah semakin dirobek oleh minda korupsi, emosi dan tingkah laku yang ‘menghalalkan’ salah laku?

Minda korupsi yang dicipta hanya untuk ‘menjustifikasikan’ perbuatan tidak beretika yang dilakukan seperti menyalahgunakan kuasa dan wang ringgit, atas pelbagai alasan.

Alasan diberi termasuklah kerana keadaan kecemasan, untuk kepentingan organisasi atau untuk tujuan membantu orang lain.

Malah, ada yang tegar mengatakan “orang lain buat, kenapa aku tak boleh buat” atau “bukan aku minta, tetapi dia yang nak bagi”. Lebih parah, apabila ada turut mengatakan “ini (duit rasuah) untuk servis kereta bukan untuk beli makanan”.

Adakah tingkah laku tidak beretika seperti salah guna kuasa dan wang ringgit boleh dipilih – sekejap boleh, sekejap tidak boleh – atas alasan atau justifikasi minda korupsi yang dicipta segelintir manusia.

Ingatlah! matlamat tidak menghalalkan cara. Lantaran itu, buanglah minda korupsi ini dalam pemikiran, kerana ia boleh merosakkan hati dan kewarasan akal dalam bertingkah laku dan membuat keputusan.

Individu yang mempunyai minda korupsi, akan meletakkan kuasa dan wang ringgit sebagai fokus utama yang perlu diraih dalam kehidupan tanpa mempedulikan aspek keberkatannya.

Lantas, ubahlah minda korupsi yang menguasai ini kepada minda beretika, supaya mudah melaksanakan perlakuan yang betul dan bermoral sesuai dengan norma masyarakat dan aspirasi negara.

Minda beretika adalah set kebolehan kognitif termasuk kesedaran, persepsi, pemikiran dan pertimbangan untuk bertindak secara konsisten dengan konsep etika, serta berusaha ke arah tingkah laku yang beretika.

Individu yang mempunyai minda beretika akan mempamerkan tingkah laku yang bermoral dalam kehidupan peribadi dan profesional, serta membuat keputusan berdasarkan nilai, etika dan peraturan.

Dalam konteks sebagai pemimpin, tingkah laku pemimpin memberi kesan yang sangat signifikan kepada pengikut dan kumpulan.

Pengikut cenderung mempelajari dan mengamalkan sesuatu tingkah laku sama ada beretika atau tidak melalui apa yang dilihat daripada seseorang pemimpin. Seorang pemimpin adalah sumber contoh teladan yang penting bagi pengikut.

Lantaran itu, pemimpin perlu sentiasa mempamerkan tingkah laku yang adil, berintegriti dan memberi panduan tentang tatacara bertingkah laku, supaya dapat diikuti dan dicontohi oleh pengikut.

Terdapat beberapa kriteria dalam menentukan tingkah laku pemimpin yang beretika:

Pertama, tingkah laku dirinya menjadi contoh teladan kepada orang lain dalam bertingkah laku.

Kedua, memaklumkan kepentingan tingkah laku beretika dan mengambil tindakan jika berlaku perlanggaran dalam bertingkah laku.

Ketiga, tingkah laku yang dilaksanakan dan keputusan beretika yang diambil dilakukan secara konsisten.

Keempat, menggabungkan dimensi etika dalam proses membuat keputusan, mengambil kira kesan daripada keputusan yang diambil dan sedaya upaya membuat keputusan yang adil.

Untuk mengubah minda korupsi kepada minda beretika, hakikatnya bukan sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.

Ini kerana, setiap daripada kita sememangnya sudah pun diciptakan Allah SWT dalam keadaan cenderung ke arah kebaikan.

Selain itu, jika kita mempunyai niat untuk berubah, mengutamakan prinsip etika dalam kehidupan, kesungguhan untuk meninggalkan perlakuan yang tidak beretika serta mempunyai persekitaran yang menyokong kepada perlakuan yang beretika, maka proses mengubah minda korupsi kepada beretika akan lebih mudah dilaksanakan.

Ringkasnya, semoga sifat dan keperibadian Khalifah Umar khususnya yang berkaitan dengan integriti, akan sentiasa mekar dalam minda dan sanubari kita.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 61,126 other subscribers
%d bloggers like this: