Wukuf di Arafah lambang Perhimpunan kebersamaan


Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

SETIAP tahun umat Islam yang mengerjakan haji akan berhimpun pada satu masa di satu tempat yang sama iaitu di Padang Arafah pada 9 Zulhijah.

Namun, pada 2020 umat Islam di seluruh dunia terhalang daripada mengerjakan haji berikutan penularan wabak Covid-19. Malah, bagi musim haji tahun 1442 Hijrah juga, suasana pandemik masih menyelubungi dunia, khususnya di Arab Saudi.

Oleh itu, sekali lagi umat Islam yang sudah diterima untuk menunaikan haji terpaksa bersabar kerana kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan warganegara tempatan dan penduduk negara lain yang sudah berada di negara itu sahaja boleh menunaikan haji pada tahun ini.

Haji adalah rukun Islam yang kelima dan kewajipannya berdasarkan kepada kemampuan seseorang individu termasuklah kemampuan kewangan, keselamatan dan kesihatan.

Allah SWT berfirman: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.” (Surah Ali Imran, ayat 97)

Manakala, Rasulullah SAW pula bersabda apabila ditanya: “Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda: Ada bekalan dan kenderaan.” (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berada di Padang Arafah (wukuf) walaupun sedetik adalah satu daripada rukun haji. Bahkan, ia rukun haji terpenting. Sabda Rasulullah SAW: “Haji itu adalah Arafah.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Di samping itu, banyak hadis Nabi SAW yang menjelaskan mengenai kelebihan Arafah sama ada berkaitan dengan waktu dan juga tempat iaitu Padang Arafah.

Antaranya ialah hadis Rasulullah SAW: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Manakala, berkaitan dengan tempat, kita boleh melihat kelebihan Arafah daripada pemilihannya sebagai tempat ibadah, malah menjadi rukun paling penting dalam ibadah haji sebagaimana dinyatakan.

Pada hari Arafah juga Allah SWT menyediakan banyak kelebihan. Disunatkan berpuasa pada hari Arafah. Malah, diberi ganjaran pahala yang sangat besar kepada orang yang berpuasa pada hari Arafah. Rasulullah SAW bersabda: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” (Riwayat Muslim)

Puasa ini disunatkan kepada mereka yang tidak menunaikan haji sebagai tanda kebersamaan seluruh umat Islam dengan jemaah haji di Tanah Haram. Kita juga digalakkan memperbanyak doa kerana doa Arafah diperkenankan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Riwayat Tirmizi)

Hari Arafah juga diiktiraf sebagai hari raya bagi umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum.” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan An-Nasa’ei)

Ia sebagai bukti pernyataan Allah SWT dalam firman-Nya: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (Surah al-Hajj, ayat 28)

Di Padang Arafah juga Rasulullah SAW memperakukan kesempurnaan agama Islam melalui khutbah semasa haji Wada’ (perpisahan). Kemudian Allah SWT menurunkan ayat mengenai kesempurnaan Islam. Firman-Nya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka boleh ia memakannya) kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Maidah, ayat 3)

Islam agama perpaduan. Perhimpunan jemaah haji di Padang Arafah adalah simbol perpaduan umat Islam. Ketika di Arafah, umat Islam tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit berada di tempat sama tanpa mengira perbezaan.

Islam menyatukan seluruh umat Islam di atas asas yang satu iaitu semua umat Islam adalah bersaudara. Allah SWT berfirman: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Orang beriman adalah sama taraf di sisi Allah SWT. Manakala, orang yang terbaik daripada kalangan manusia ialah yang paling bertakwa. Allah SWT berfirman: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Dengan perhimpunan umat Islam di Padang Arafah ini terbukti penyatuan yang dinyatakan Allah SWT. Perhimpunan dan kebersamaan umat Islam secara global membuktikan perpaduan umat.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, sesungguhnya Tuhanmu adalah satu dan bapamu adalah satu. Ingatlah, tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang bukan Arab; juga tidak ada kelebihan bagi orang berkulit hitam atas orang berkulit merah, kecuali dengan taqwa.” (Riwayat Ahmad)

Inilah bukti keberkesanan penyatuan yang dimulakan Rasulullah SAW selepas berhijrah. Di Madinah, baginda mempersaudarakan golongan Ansar dengan Muhajirin. Kali ini kita tetap bersama dengan jemaah haji di Padang Arafah walaupun jumlahnya agak kecil.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 50,841 other followers

%d bloggers like this: