Takbir raya bawa Dizzy kepada Islam


Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

Muhammad Adam Muhibullah Abdullah (barisan depan kiri) aktif bernasyid sebagai vokalis kumpulan Soutul Solihin IDIP semasa persembahan di Pengkalan Chepa, Kelantan baru-baru ini.

SOSOK tubuhnya yang rendah dan wajah putih berseri membuat tiada siapa menyangka hatinya pernah mempunyai niat kurang baik semasa bersahabat dengan rakan-rakan sekolahnya yang beragama Islam.

Bekas pelatih mubaligh Kristian, Dizzy Reo Sidul atau nama Islamnya, Muhammad Adam Muhibullah Abdullah, 19, sanggup menghabiskan masa bersahabat dengan penganut Islam bagi mencari ‘kelemahan’ agama suci ini.

Tidak pernah terlintas akan terpikat dengan agama Islam, Muhammad Adam tidak gusar mendekati sahabatnya. Ia berikutan reputasinya sebagai pendebat sekolah memudahkan dia mematahkan hujah sesiapa sahaja yang cuba membangkitkan kehebatan Islam.

Tambahan lagi, rakan-rakannya seperti kebanyakan generasi muda Islam hari ini, walaupun berperangai baik tetapi kurang ilmu berkaitan Islam hingga menyebabkan mereka ‘takut’ dan mengenepikan hasrat berbicara isu itu apabila bersamanya.

“Saya anti-Islam, bagi saya Islam agama yang sia-sia, yang mengajar umatnya menyembah ‘kotak hitam’ dan ‘dinding’ serta menyusahkan orang lain apabila mereka membuat bising melaungkan azan dengan pembesar suara.

“Ramai orang Islam berperangai buruk dan tidak boleh diharap untuk membantu golongan mereka sendiri berbanding Kristian yang sanggup mencari orang susah sehingga ke dalam kampung jauh di pedalaman.

“Namun seorang sahabat saya yang sentiasa terpaksa mengalah apabila berdebat dengan saya mengenai Islam jugalah yang membawa saya mengucap kalimah syahadah di hadapan seorang ustaz,” katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Muhammad Adam yang lebih 11 tahun tidak pulang ke Sabah kini sedang mengikuti kursus Sijil Pengajian Islam semester satu di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Pengkalan Chepa, Kelantan dengan pembiayaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Anak muda berketurunan Kadazan-Dusun itu dibesarkan oleh datuk dan neneknya di Kampung Kaung, Kota Belud, Sabah. Setelah mereka meninggal dunia, dia kemudiannya dibawa ke Semenanjung dan tinggal dengan bapa dan ibu tirinya di Pulau Pinang sepanjang pengajian di sekolah rendah.

Apabila bapa tirinya mengalami masalah dalam perkahwinan, seorang saudara mengambilnya tinggal bersama di Klang, Selangor.

Namun beberapa tahun selepas itu, dia mula hidup berpindah randah dari sebuah rumah rakan ke rumah rakan yang lain yang simpati setelah berlaku selisih faham dengan warisnya itu.

Meskipun begitu, Muhammad Adam tidak pula melupakan kewajipannya sebagai seorang Kristian yang komited dengan agama dan sentiasa memastikan langkahnya ke gereja setiap hujung minggu tidak terganggu.

“Saya amat minat berdebat dan menjadi wakil sekolah. Tetapi jika cikgu terpaksa adakan latihan pada hari Ahad, saya akan ponteng kerana tidak mahu ketinggalan khutbah yang disampaikan di gereja.

“Saya sudah menghafal hampir separuh Bible dalam Bahasa Melayu dan sentiasa menyertai gerakan mubaligh masuk ke kampung Orang Asli khususnya di Perak apabila musim cuti sekolah sejak dari tingkatan dua,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai seorang pendebat yang cenderung kepada hujah dan bukti yang tepat, Muhammad Adam memberitahu, dia sebenarnya sudah lama nampak beberapa perkara yang tidak munasabah dalam agama asal yang dianutinya.

“Saya pelik kenapa Bible boleh dinukilkan dalam banyak bahasa seluruh dunia, sebutlah apa sahaja bahasa, Cina, Melayu, Inggeris semuanya ada. Pilih saja yang mana kita mahu, jadi bagaimana hendak memastikan tidak berlaku percanggahan dalam makna sebenar yang ingin disampaikan sementelah lagi perkara yang diwahyukan sejak ribuan tahun?

Bercerita mengenai saat dia memeluk Islam, Muhammad Adam memberitahu, detik manis itu bermula di kediaman rakannya, Mohd. Hafify Kamarudin yang merupakan salah seorang teman sekelasnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Unjur, Klang.

Pada tahun 2009, dia dipelawa tinggal di rumah Mohd. Hafify sepanjang bulan Ramadan dan turut sama berpuasa atas dasar menghormati tuan rumah sekeluarga.

Bagaimanapun, takbir raya pada pagi Syawal tahun itu telah merobek hati Muhammad Adam dan membuatkannya menjadi keluh kesah.

“Mohd. Hafify cuba menenangkan dan memberitahu keadaan itu mungkin berlaku kerana alunan takbir di Malaysia yang mendayu-layu. Lantas dia memperdengarkan rakaman takbir orang Arab di laman sosial Youtube tetapi ia membuatkan saya berasa lebih sedih seolah-olah Allah mahu memberitahu saya sesuatu.

“Perasaan ego saya runtuh dengan takbir raya yang saya dengar. Keesokannya, saya memberitahu Mohd. Hafify niat saya untuk menganut Islam. Walaupun dia agak terkejut pada mulanya tetapi dengan gembira membawa saya berjumpa seorang ustaz untuk mengucap syahadah pada pagi raya ketiga.

“Saya senyum meleret sepanjang perjalanan pulang semula ke rumah Mohd. Hafify pagi itu dan berasa sangat bertuah kerana Allah memberi saya hidayah-Nya,” katanya.

Pada Majlis Graduasi ke-21 IDIP baru-baru ini, Muhammad Adam diisytihar pelajar terbaik Sijil Asas Pengajian Islam dengan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.89 yang tertinggi di kalangan 40 rakan seangkatannya.

“Saya bersyukur dengan hidayah yang Allah beri tanpa paksaan sesiapa, saya mahu meneruskan pengajian sehingga ke peringkat lebih tinggi dan bercita-cita menjadi seorang pakar motivasi Islam,” katanya yang sudah menghafal kebanyakan surah dalam juzuk Amma.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,027 other followers

%d bloggers like this: