Cari cahaya Islam di Pondok


NUR Amalina Ong Abdullah (kiri), 42, memeluk Islam dengan bantuan rakannya. Gambar kanan, Nur Adam Mufid Chew Abdullah memeluk Islam dengan belajar, di Pondok Lubuk Stol. – Foto Hazira Ahmad Zaidi

 

TUMPAT: “Walaupun diceraikan suami selepas mengambil keputusan memeluk Islam, saya tidak menyesali tindakan itu kerana ketenangan yang diperoleh luar biasa,” kata Nur Amalina Ong Abdullah, 42.

Nur Amalina atau nama asalnya Ong Po Swan berkata, beliau sudah memendam impian untuk memeluk Islam sejak 10 tahun lalu.

Akhirnya tanggal 26 Februari lalu, beliau dengan ditemani rakan baik pergi ke Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk melafazkan dua kalimah syahadat.

Justeru, katanya, beliau bersyukur dan teruja kerana kali pertama menjalani ibadah puasa serta menyambut Aidilfitri tahun ini bersama rakan Muslim lain.

“Lebih menggembirakan, dua abang saya turut memeluk Islam sejak beberapa tahun lalu dan masing-masing sudah mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hati mereka.

“Empat anak yang tinggal bersama saya selepas berpisah dengan bekas suami sejak Mac lalu, juga merayakan Aidilfitri walaupun kami berlainan agama,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menceritakan peringkat awal tertarik kepada Islam, Nur Amalina berkata, ketika berada dalam Tahun Satu hingga Tahun Enam di sekolah rendah, beliau sanggup ponteng kelas Pendidikan Moral semata-mata untuk mengikuti subjek Pendidikan Islam.

“Dalam kelas Pendidikan Islam, ustaz banyak mengajar mengenai kisah nabi dan ini secara tidak langsung membuatkan minat saya untuk lebih mengenali Islam semakin memuncak.

“Apabila tinggal di asrama ketika berada dalam Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima, saya selalu mengikut kawan yang menunaikan solat berjemaah di surau sekolah tetapi hanya berada di bahagian belakang dan memerhatikan gerak-geri mereka,” katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, pada peringkat awal memeluk Islam, ibunya tidak bersetuju kerana bimbang tiada orang akan menjaga beliau berikutan Nur Amalina adalah anak perempuan tunggal.

“Namun, saya cuba membuat ibu faham dan memberitahu akan menjaganya sampai bila-bila walaupun kami berlainan agama. Alhamdulillah, ibu dan ayah kini dapat menerima kenyataan yang saya sudah beragama Islam.

“Bagi memantapkan lagi pengetahuan dalam Islam, saya mengikuti kelas agama di Masjid Muhammadi seminggu sekali, selain mendapat tunjuk ajar daripada rakan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mualaf, Adam Mufid Chew Abdullah, 27, turut mengaku jiwanya berasa sangat tenang selepas memeluk Islam lebih empat tahun lalu.

Adam Mufid atau nama asal Chew Wei Ming berkata, beliau menyambut setiap Aidilfitri di Pondok Lubok Setol, Rantau Panjang, bersama tenaga pengajar serta penghuni yang tidak pulang berhari raya dan mereka akan bergotong-royong memasak.

Katanya, suatu ketika sebelum memeluk Islam, beliau bermimpi melihat sebuah masjid yang tersergam indah, lalu berusaha mencari jawapan sehingga sanggup ke Pondok Lubok Setol untuk berjumpa ustaz selepas melakukan carian dalam Internet dan bertanya kepada rakan lain.

“Selepas dua minggu tinggal dan belajar mengenai Islam di pondok itu, saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam tanpa pengetahuan ibu.

“Hampir setahun saya merahsiakan perkara ini daripada ibu sehinggalah menerima sepucuk surat pertukaran kad pengenalan baharu yang diposkan ke rumah.

“Ketika itu, saya sedang belajar di pondok dan ibu menghubungi bertanya mengenai surat berkenaan. Saya terpaksa berterus terang sudah memeluk Islam. Pada awalnya, ibu sukar menerima tetapi lama-kelamaan, beliau terbuka hati,” katanya yang tinggal di Temerloh, Pahang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,027 other followers

%d bloggers like this: