3 Kaedah mendepani maklumat tular di media sosial


Oleh Dr Muhd Imran Abd Razak dan Dr Nurul Kamalia Yusuf

Ketika negara berdepan ujian besar pandemik COVID-19, sebahagian masyarakat tidak bertanggungjawab juga rancak mencipta berita dan mesej palsu yang ditularkan saban hari melalui media sosial.

Tambah parah, kelompok masyarakat terpengaruh dengan doktrin tertentu seperti teori konspirasi, antivaksin, bumi datar dan sebagainya juga turut giat menyebarkan maklumat dan video dakyah mereka melalui medium sama.

Lambakan maklumat di media sosial memerlukan kebijaksanaan warga maya untuk menapisnya. Ilmu bermanfaat dan berita sahih perlu diasingkan daripada doktrin serta informasi yang boleh memudaratkan manusia sebelum diterima atau disebarkan.

Atas keprihatinan itu, tiga kaedah selamat wajar diberikan perhatian ketika berinteraksi dengan sebarang maklumat yang disebarkan melalui medium media sosial.

Pertama, kenal pasti sumber asal maklumat. Mengenal pasti sumber asal maklumat langkah terpenting bagi penentuan tindakan selanjutnya. Pastikan maklumat yang kita terima adalah daripada sumber sahih dan mempunyai nilai autoriti.

Jika kita tidak dapat memastikan sumbernya, elakkan daripada mempercayai atau menyebarkannya kepada orang lain sebagai langkah berhati-hati.

Jadikan pesan Rasulullah SAW sebagai peringatan: “Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa menyelidikinya)”. (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua, fahami maksud dan konteks sesuatu maklumat. Jika sumber asal maklumat sudah dikenal pasti dan disahkan, menjadi tanggungjawab kita pula untuk memahami dengan baik maksud sesuatu maklumat yang diterima jika ingin dipercayai atau disebarkan kepada orang lain.

Jika kita tidak berhati-hati, dibimbangi kesalahan memahami maksud dan konteks maklumat berkaitan boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri dan orang lain yang menerima sebaran maklumat daripada kita.

Allah SWT ada mengingatkan: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. (Surah al-Isra’: 36).

Ketiga, analisis maklumat diterima. Masyarakat juga wajib mempunyai daya analisis terhadap semua maklumat diterima khususnya yang datang melalui media sosial.

Paling mudah, lakukanlah rujukan silang terhadap sumber berautoriti lain sebelum hendak menentukan sesuatu pendirian. Elakkan daripada terus mempercayai sesuatu maklumat yang datang melalui satu sumber sahaja.

Sebagai contoh, baru-baru ini tular satu mesej berkaitan mimpi seorang wanita Turki berjumpa Rasulullah SAW yang menceritakan mengenai penawar bagi virus COVID-19.

Kisah seperti ini wajib dipastikan sumber asalnya terlebih dahulu sebelum dipercayai atau disebarkan.

Begitu juga kisah-kisah tular kematian disebabkan penerimaan vaksin tertentu. Wajar bagi setiap anggota masyarakat memahami konteks sebenar setiap kejadian dan membuat rujukan silang terhadap sumber berautoriti sebelum membuat kesimpulan sendiri yang tersasar daripada kebenaran.

Tuntasnya, ‘tabayyun’ dengan mengetahui status sumber, memahami maksud, konteks serta membuat analisis terhadap sesuatu maklumat adalah kaedah terbaik untuk menentukan sama ada maklumat itu mempunyai nilai kebaikan ataupun keburukan.

Jika membawa kebaikan, silakanlah berkongsi untuk kebaikan kita bersama. Sebaliknya jika ia membawa keburukan, elakkan sebarang perkongsian untuk mengelakkan kemudaratan terhadap diri kita bersama.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal dengannya dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun dan barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.” (Hadis Riwayat Muslim).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 50,841 other followers

%d bloggers like this: