Usah jadi ejen sebar fitnah


Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Jangan jadi ejen penyebar fitnah akhir zaman memperlihatkan manusia akan diselubungi dengan pelbagai fitnah. Jika diperhalusi, perkataan fitnah dalam bahasa Arab merujuk kepada ujian, kufur, pembunuhan, kebakaran dan lain-lain. Ini berdasarkan penggunaan bangsa Arab terhadap perkataan ini mengikut pandangan yang dikemukakan oleh Ibn Athir.

Masyarakat Melayu merumuskan fitnah merujuk kepada tuduhan yang diadakan bertujuan untuk memburuk-burukkan seseorang atau memporak-perandakan masyarakat. Situasi ini sering kali berlaku apabila adanya pihak yang tidak sependapat dengannya dalam sesuatu perkara.

Islam menegah perbuatan fitnah ini bagi menjaga keharmonian masyarakat khususnya sesama Islam. Nabi SAW mengecam perbuatan fitnah ini sekeras-kerasnya sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:  “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (Hadis Riwayat al-Bukhari No. hadis 6056)

Fitnah berdasarkan pandangan Imam Nawawi dalam mensyarah hadis ini adalah pemindahan maklumat daripada percakapan manusia atau orang ramai kepada seseorang yang lain dengan tujuan untuk merosakkan hubungan di antara mereka.

Al-Imam al-Ghazali pula menjelaskan dalam Ihya’nya bahawa sifat fitnah merujuk kepada pemindahan kenyataan seseorang kepada orang lain seperti mana dia berkata ‘si fulan berkata dan mengata kepada kamu itu dan ini.’ 

Pada hari ini, fitnah berleluasa dengan cara yang lebih mudah berbanding pada masa lampau. Hal ini kerana perkembangan teknologi yang rancak menjadikan amalan fitnah ini semakin mudah tersebar hanya dengan jari jemari yang rancak menulis di laman sosial Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter dan lain-lain.

Pada hari ini mereka yang menyebarkan fitnah ini mempunyai niat dan berkehendak kepada sesuatu yang bernilai seperti meraih sesuatu jawatan penting, dominasi perniagaan, politik, kedengkian terhadap kejayaan seseorang dan lain-lain.

Dalam satu hadis  yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW  bersabda maksudnya:  “Cukuplah seseorang dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa sahaja yang didengarinya.” (Hadis Riwayat  Muslim hadis  no. 4482)

Situasi ini apabila diteliti mempunyai kaitan yang rapat dengan soal hati yang tidak dipagari dengan iman yang teguh. Dalam perkara ini, syaitan akan memainkan peranan besar bagi memastikan manusia khususnya orang-orang beriman saling bertelagah antara satu sama lain.

Dalam al-Quran, Allah SWT menempelak mereka yang menyebarkan berita tanpa usul periksa. Allah berfirman maksudnya:  “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang Mukminin dan Mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri dan (mengapa tidak) berkata: ‘Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.'” (Surah al-Nur ayat 11-12)

Balasan bagi orang yang membuat fitnah

Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Nur berkaitan balasan bagi orang yang suka membuat fitnah maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Nur ayat 19)

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini, mengatakan ayat ini membawa makna orang-orang yang mendengar berita buruk kemudian menyampaikan dan menyebarkan berita tersebut.

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Samurah Bin Jundub RA, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Berkata Malaikat yang mengiringi Rasulullah SAW: ‘Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia.'” (Hadis Riwayat  Ibn Hibban hadis no. 655)

Nabi SAW  juga bersabda maksudnya:  “Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat  Muslim hadis no 2670)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menyebut golongan pelampau yang disebut di dalam hadis itu ialah golongan melampaui batas dalam pengucapan mereka. 

Doa mengelakkan diri daripada fitnah

Terdapat beberapa doa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW seperti riwayat daripada Anas RA yang bermaksud: “Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.” (Hadis Riwayat  Imam Ahmad, hadis no 12107)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Ibn Abbas RA maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perbuatan kebaikan, meninggalkan kemungkaran, kasihkan orang miskin dan Engkau ampunkan dosaku, Engkau rahmatiku dan Engkau terima taubatku. Jika Engkau menghendaki dengan hamba-hamba-Mu fitnah, maka matikanlah aku tanpa sebarang fitnah.” (Hadis Riwayat  al-Tirmizi, Hadis no 3233)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Abi Burdah bin Abdillah, daripada bapanya maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya kami jadikan Kamu sebagai benteng pada leher-leher mereka dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, hadis no 1537)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Ibn Abbas RA  maksudnya: “Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah yang Maha Agung lagi Maha Lemah Lembut. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik Arasy yang Agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik langit dan pemilik bumi dan Tuhan pemilik Arasy yang mulia. (Hadis Riwayat  al-Bukhari, hadis no 6345)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Anas RA  maksudnya: “Ya Allah! Engkaulah kekuatanku dan Engkaulah penolongku dan dengan-Mu aku berperang.” (Hadis Riwayat  al-Tirmizi, hadis no 3584)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Sa’ad bin Abi Waqqas RA  maksudnya: “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada kalangan orang-orang yang zalim. (Hadis Riwayat al-Hakim, al-Mustadrak, hadis no 1864)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Abu Bakrah RA  maksudnya: “Ya Allah, dengan rahmat-Mu aku berharap. Janganlah Engkau biarkan urusanku pada diriku sendiri walau sekelip mata dan perbaikilah seluruh urusanku. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya selain Engkau.” (Hadis Riwayat Abu Daud, hadis no 5090)

Justeru itu, untuk mengelakkan diri daripada fitnah, maka jangan kita mulakan dengan memfitnah walaupun dengan sekecil-kecil perkara. Fitnah akan tersebar tanpa disedari, akhirnya merebak mencetuskan api membakar diri. 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,027 other followers

%d bloggers like this: