Ramadan ibarat madrasah rohani


Mohamad  Nordin  bin Ibrahim

Ramadan al Mubarak sudah  tiba.  Kehadiran bulan  ini  sangat  di nanti-nantikan  oleh  hamba Allah yang  beriman.  Pastinya  Ramadan kali ini disambut  dengan  penuh  kesyukuran  dan  keinsafan kerana  tahun  ini  adalah  tahun kedua  menyambut  Ramadan  dalam  suasana norma  baharu  ekoran Covid-19 yang  belum reda. 

Ramadan  sangat  istimewa kerana  mampu membentuk  peribadi  Muslim  yang  bertakwa  iaitu suatu  sifat  yang paling  mulia  di sisi  Allah SWT.

Hal  ini  di tegaskan  dalam  firman-Nya  bermaksud: “Wahai  orang-orang yang  beriman,  diwajibkan ke  atas  kamu  berpuasa  sebagaimana diwajibkan  ke  atas orang yang  terdahulu daripada  kamu, mudah-mudahan  kamu  bertakwa.” (Surah al Baqarah: 183)

Takwa  itu  sendiri  adalah  tunjang  kepada  ajaran Islam.  Hanya  orang yang  bertakwa  akan  tunduk dan  patuh  kepada  perintah  Allah dan  Rasul-Nya. 

Firman  Allah SWT yang  bermaksud : “Sesungguhnya orang yang paling  mulia  di sisi  Allah  ialah  orang yang paling  bertakwa  (kepada-Nya). Hanya  sifat takwa  dapat  membezakan  darjat  antara  hamba-hamba-Nya,  sebagaimana  amanat  Baginda  Nabi SAW di  dalam khutbah Haji  Wida’  iaitu: “Ketahuilah,  tiada  kelebihan  kepada  seseorang berbangsa  Arab  ke  atas seorang  bukan  Arab,  bukan  Arab  ke  atas  orang Arab,  tiada  juga  bagi orang yang  berkulit  merah  ke  atas  orang  berkulit hitam, orang  berkulit  hitam  ke atas  orang  berkulit merah  kecuali  dengan  takwa.”

Berpuasa  di  bulan  Ramadan  adalah  ibadah yang  sangat istimewa  kerana Allah SWT  telah memberi  jaminan  dan  pengharapan  supaya menjadi orang  bertakwa. 

Begitu  juga  penurunan  kitab  suci  al-Quran Al-Karim  sebagai   petunjuk  (huda)  kepada  orang-orang yang bertakwa. 

Bulan  Ramadan juga  adalah  seumpama madrasah  tempat  mendidik  manusia  dari  segi rohani  dan  jasmani.  Selain  berpuasa  di  siang hari,  kita  dituntut  menghiasi  malam-malam  di  bulan  Ramadan dengan  qiyam  seumpama solat Tarawih,  Witir,  doa,  zikir,  tadarus  al-Quran dan lain-  lain. 

Selain  itu,  Baginda  Nabi SAW  memperbanyak  bersedekah, iktikaf dan  membuat  amal  kebajikan. 

Amatlah  rugi  sekiranya  Ramadan yang  kita lalui  tanpa  dapat  meningkatkan  darjat ketakwaan  dalam  diri.  Setiap  orang Islam  perlu meletakkan  cita-cita  untuk  menjadi  seorang Muslim  yang  lebih  baik  selepas  sebulan ditarbiyyah  dalam  madrasah Ramadan.  Fadilat dan  kelebihan  takwa  yang  sedia  menanti  untuk diraih  sangat banyak.

Antara yang  disebut dalam  al-Quran  ialah  sebarang  kesulitan  dan  masalah  akan  diberi  jalan  penyelesaian  oleh Allah SWT.  Pintu-pintu  rezeki  akan diperluaskan.  Segala  urusan  pekerjaan  akan dipermudahkan.  Dengan  rahmat  dan  kasih sayang-Nya  jua, Allah SWT  akan  menghapuskan dosa  yang  telah  dilakukan  dan  memberi ganjaran  yang  besar. 

Ayuh bina  ketakwaan  sepanjang  Ramadan  dengan  melipat ganda  amal  ibadah. Paling  utama  ialah  ibadah  hubungan  diri  kita  dengan Allah SWT  seperti  solat,  membaca  al- quran,  iktikaf,  doa,  zikir,  istighfar  dan lain-lain. Di  samping  itu tunaikan  zakat,  infaq  dan  sedekah  yang  dapat  membantu  sesama  manusia. 

Untuk  mencapai  takwa  dalam  ibadah memerlukan  istiqamah.  Setiap  masa  bermuhasabah  diri  seolah-olah  Ramadan  kali  ini  adalah  Ramadan  terakhir  bagi  diri  kita.  Ini masanya  untuk  meningkatkan  ketakwaan melalui  ibadah  yang  berkualiti.  Kalau  selama ini  masih  ada  perasaan  malas dan  suka bertangguh  untuk  solat,  maka  ini  masanya untuk  mengubah  kepada  yang  lebih  baik.

Ramadan  mendidik  kita  untuk  menghiasi  diri dengan  sifat-sifat  mahmudah.  Ini  masanya menjadi  hamba  yang  pemurah,   penyabar,  berkasih  sayang, bantu-membantu  dan  bersangka  baik  sesama  insan. 

Mari  kita  menjalani  ibadah  puasa  dengan penuh  keimanan  dan  kesempurnaan supaya  beroleh  darjat  takwa  di  sisi  Allah SWT. 

Garap peluang  keemasan ini  supaya  mati  kita  nanti sebagai  seorang  Muslim  yang  diredai  iaitu seperti  di tegaskan Allah SWT  dalam firman-Nya  yang  bermaksud :  “Wahai  orang-orang yang  beriman,  bertakwalah  kamu  kepada Allah  dengan  sebenar-benarnya dan  janganlah  kamu mati  melainkan  di  dalam  keadaan  menjadi orang-orang Islam.”  (Surah Ali Imran: 102)

Maha suci  Allah yang telah  menjadikan Ramadan dan  ibadah  puasa  pada  tahun  ini.  Semoga  bulan  berkat memandu kita menjadi orang yang bertakwa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 58,201 other followers
%d bloggers like this: