Raih keberkatan Ramadan


Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Dalam satu pidato semasa menyambut kedatangan bulan suci Ramadan, Rasulullah SAW menyebut Ramadan sebagai bulan yang agung dan juga sebagai bulan yang penuh berkat. Kerana keagungan dan keberkatan yang menghiasi bulan Ramadan itu, maka bulan Ramadan selalu dinanti-nantikan kehadirannya oleh warga Muslim di seluruh pelosok dunia. 

Perkataan berkat itu membawa erti kebaikan dan kebajikan yang melimpah. Menurut seorang ulama tafsir terkenal Al-Asfihani, sesuatu yang disebut berkat apabila di dalamnya terkandung kebaikan dan kebajikan yang amat banyak.

Sebagai contohnya, air hujan disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan yang melimpah ruah kerana ia dapat menyuburkan tanah dan menumbuhkan berbagai-bagai tanaman yang amat berguna kepada umat manusia. 

Menurut Syeikh Rashid Redha, keberkatan terdiri daripada dua jenis; pertama ialah keberkatan yang bersifat fizikal seperti air hujan, rezeki, kesihatan jasmani dan berbagai-bagai lagi aneka kenikmatan yang memberikan kebahagiaan kepada manusia. Kedua ialah keberkatan yang tidak bersifat fizikal seperti turunnya wahyu, intuisi, ketenangan jiwa yang dapat memandu manusia ke arah kesempurnaan dan kesejahteraan yang abadi. Keberkatan jenis yang kedua inilah yang menghiasi serinya bulan Ramadan ini.  

Satu lagi kemuncak keberkatan yang menghiasi fadilat Ramadan ialah nuzul al-Quran. Al-Quran itu sendiri disebut Allah SWT sebagai kitab yang di dalamnya terkandung peringatan dan keberkatannya sebagaimana firman Allah taala yang bermaksud: “Dan al-Quran ini juga pengajarannya yang berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad); dengan keadaan yang demikian maka patutkah kamu mengingkarinya?”  (Surah al-Anbiya’, ayat 50)

Yang lebih istimewanya ialah malam yang al-Quran diturunkan disebut Allah sebagai malam yang diberkati, lailatin mubarakah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”  (Surah al-Dukhan, ayat 3)        

Bertitik tolak dari sini, Ramadan sungguh diberkati dan mengandungi berbagai-bagai keberkatan dan keistimewaan yang tidak terhingga banyaknya. Di dalam bulan ini, Allah banyak menurunkan rahmah, memberikan pengampunan dan menyediakan jaminan pembebasan manusia daripada api neraka. Tidak cukup dengan itu, Allah SWT juga menutup pintu neraka, membelenggu pergerakan syaitan dan membuka seluas-luasnya pintu syurga. 

Di samping itu, Allah melipat gandakan lagi ganjaran pahala segala ibadah dan amalan soleh sehingga ratusan dan ribuan kali ganda kecuali ibadat puasa yang hanya menjadi perhitungan rahsia di sisi Allah. Selanjutnya, Allah membuka pintu kemaafan dan keampunan seluas-luasnya sebagaimana maksud sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan keredaan Allah, maka Allah akan mengampuni seluruh dosanya seumpama dia baru lahir dari rahim ibunya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Berdasarkan keistimewaan dan keberkatan yang terhampar sepanjang bulan Ramadan, ia secara jelas mengisyaratkan betapa Allah menyeru umat Islam agar merebut ganjaran dan kelebihan yang disediakan Allah sepanjang bulan mulia itu, sudah pastinya dengan melakukan lebih banyak amalan soleh selain ibadat puasa itu sendiri seperti bersolat Tarawih, bertadarus al-Quran, beriktikaf, bersedekah, berdoa dan lain-lain lagi.

Ringkasnya, hadirnya Ramadan mengundang seribu satu kesempatan bagi orang yang beriman dan bertakwa untuk beramal ibadat di samping bertafakur dan bermuhasabah diri sendiri. Amalan muhasabah diri akan mencetuskan satu kesedaran dan keinsafan yang cukup bermakna untuk memperbetulkan kesilapan lalu dan sekali gus meningkatkan kualiti sesuatu amalan ibadat ke hadrat Allah.

Alangkah ruginya jika seseorang Muslim yang tidak mengisi amalan ibadat di sepanjang Ramadan dan tidak pula mengecapi fadilat Ramadan yang disediakan Allah bagi orang yang mengharapkan keredaan-Nya. Maka benarlah apa yang pernah disabdakan baginda Rasulullah yang bermaksud: “Betapa ramainya orang yang berpuasa sepanjang hari, namun mereka tidak mendapat apa-apa melainkan keperitan lapar dan dahaga; begitu juga betapa ramainya orang yang berjaga malam hari, namun mereka juga tidak mendapat apa-apa melainkan kepenatan berjaga malam.” (Hadis riwayat Ahmad & Hakim)        

Maka tidak hairanlah bulan Ramadan dianggap sebagai bulan latihan dan ujian daripada Allah. Inilah antara himpunan hikmah yang tersurat dan tersirat di sebalik pensyariatan ibadat puasa kepada umat Islam dan sekali gus mengangkat Ramadan sebagai bulan yang agung lagi penuh berkat. Ibadat puasa sebenarnya melatih dalam mengelola dan mengendalikan kehendak atau keinginan kita. Dengan berpuasa, kita dapat merasakan betapa kita melatih kehendak kita agar pada akhirnya kehendak kita selaras dengan kehendak Allah.

Ironisnya, dalam keadaan kita berlapar dan menahan dahaga pada siang hari yang panas lagi terik di bulan Ramadan, bukankah perkara yang paling enak dilakukan dalam keadaan yang sedemikian rupa ialah makan dan minum? Akan tetapi, hal sedemikian tidak berlaku sama sekali kerana kita menginsafi bahawa perbuatan itu menyalahi kehendak Allah. Justeru itu, ia menuntut kesabaran untuk menahan diri daripada makan dan minum sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT dalam ibadat puasa. 

Seterusnya, ibadat puasa juga melatih kita dalam persoalan ketaatan, kesabaran dan kesungguhan kita beramal ibadat kepada Allah. Bukankah kerana ketaatan kita yang tulus ikhlas kepada Allah SWT, kita pun tidak tergamak untuk melakukan larangan Allah semasa melaksanakan ibadat puasa seperti makan dan minum secara sembunyi dan jauh daripada pandangan orang ramai? Begitu juga, bukankah kerana kesabaran dan kesungguhan kita beramal kerana Allah SWT, kita bersedia menghadapi sebulan Ramadan dengan kelaparan, kehausan dan memelihara diri daripada perkara yang boleh membatalkan puasa, termasuk juga melalui malam-malamnya dengan mengurangkan jumlah jam tidur agar dapat lebih banyak masa yang khusus hanya untuk beribadat kepada Allah SWT?  

Hasil daripada latihan dan ujian yang dihamparkan Allah sepanjang Ramadan ini ialah tidak lain tidak bukan buah keimanan dan ketakwaan yang semakin hampir ke hadrat Allah. Takwa menurut definisi Imam Ali bin Abi Talib ialah takutkan kepada Allah semata-mata, beramal serta beristiqamah dengan segala perintah-Nya, reda dan merasa cukup dengan keadaan yang sedikit dan bersiap sedia menghadapi hari kematian.

Takwa inilah antara objektif utama di sebalik pensyariatan ibadat puasa sehingga wujud satu hubungan secara langsung antara takwa dan keberkatan yang mewarnai kehidupan seharian seseorang Muslim terutama dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah keberkatan yang disediakan Allah di dalam bulan ini hanya boleh diperoleh dengan iman dan takwa yang bertapak kukuh dalam jiwa sanubari seseorang Muslim.

Oleh sebab itulah, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): “Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan.”  (Surah al-A’raf, ayat 96) 

Maksud ayat suci tersebut menegaskan bahawa iman dan takwa merupakan pra syarat utama seseorang Muslim untuk meraih berbagai keberkatan dan kebajikan yang melimpah ruah yang dijanjikan Allah SWT. Oleh kerana itulah, Allah SWT memfardukan ibadat puasa kepada umat Islam dengan harapan mereka dapat menjana keimanan yang tulus dan memantapkan ketakwaan yang kudus dan sekali gus meraih pelbagai jenis keberkatan sepanjang Ramadan ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,027 other followers

%d bloggers like this: