Contoh 3 Sahabat R.A menghadapi bencana


UMAR al-Khattab

Zaman Saidina Umar menjadi khalifah, Allah uji dengan dua bencana besar; kemarau dan wabak. Kedua-duanya memberi impak besar kepada kehidupan seharian rakyat. Kemarau secara khusus telah membuatkan bekalan makanan terjejas.
Satu ketika Saidina Umar diberikan roti yang dimasak bersama lemak kambing, beliau mengajak seorang Arab Badwi yang ada ketika itu untuk makan bersama. Beliau melihat Badwi makan bersungguh-sungguh. Apabila Saidina Umar menegur, beliau berkata sejak kemarau melanda, beliau tak pernah makan apa-apa lemak, minyak bahkan banyak ketika tak pernah makan.

Mendengarkan hal itu, Saidina Umar terus bersumpah tidak akan menyentuh sebarang daging mahupun lemak sehinggalah dia berjaya membantu rakyatnya. Pernah satu ketika khadamnya membelikan kepada beliau sedikit lemak dan susu di pasar. Sampai sahaja ke rumah, Saidina Umar terus mengarahkan untuk disedekah kepada orang lain:

“Macam mana aku nak faham apa yang rakyat rasa, jika aku tak rasa apa yang mereka rasa!?”

Saidina Umar mengajar kita contoh empati yang perlu ada pada pemimpin. Mungkin kedudukan sebagai seorang pemimpin agak selesa kerana pendapatan mereka terjamin. Tetapi sebahagian besar rakyat bergantung kepada aktiviti ekonomi yang sedang terjejas teruk sekarang.

Bukanlah salah untuk pemimpin memiliki pendapatan tertentu yang sesuai dengan beban tugasannya. Tapi kalau pemimpin rasa dulu apa yang rakyat rasa, mungkin mereka akan lebih cermat dalam memperkenalkan apa-apa polisi. Itulah empati. Letak kaki kita dalam kasut orang lain untuk memahami apa yang orang lain rasa.

Abu Ubaidah Al-Jarrah

Abu Ubaidah adalah jeneral yang dilantik Saidina Umar menggantikan Khalid al-Walid. Selepas pembukaan Syam, tinggalan tanah Rom itu dilanda wabak Amwas yang meragut nyawa ribuan manusia termasuk tentera Islam. Salah seorang yang terkena jangkitan adalah Abu Ubaidah sendiri. Sebelum meninggal, beliau sempat meninggalkan pesanan:

“Wahai sekalian manusia. Sesungguhnya wabak ini adalah rahmat untuk kalian, doa Nabi kalian, kematian orang-orang Soleh sebelum kalian. Sesungguhnya Abu Ubaidah memohon agar Allah memberikan bahagian daripada wabak ini untuknya…”

Belum sempat beliau menghabiskan ucapan, virus tersebut menyerang dalam tubuhnya. Beliau terus menghembuskan nafas terakhir. Abu Ubaidah mendidik kita untuk redha akan setiap ketentuan. Terkena jangkitan bukanlah bererti Allah murka. Ramai para Sahabat mati kerana wabak. Bahkan Nabi bersabda, orang mati terkena wabak beroleh pahala syahid.

Semua kita akan mati. Wabak hanya asbab. Jangan terlalu paranoid sehingga hilang punca hidup. Kepada yang sudah pergi kerana wabak, moga Allah himpunkan mereka bersama syuhada wabak seperti Abu Ubaidah, Muaz bin Jabal, Dhirar al-Azwar, Syurahbil dan orang-orang soleh yang lain.

Amru al-As

Selepas Abu Ubaidah meninggal, jawatan Gabenor Syam diambil alih oleh Muaz bin Jabal. Namun usia beliau tidak panjang. Beliau meninggal tidak berapa lama selepas itu. Jawatan tersebut diambil alih pula oleh Amru bin al-As. Sebaik dilantik, beliau terus berucap:

“Wahai sekalian manusia. Wabak ini merebak umpama api. Maka asingkanlah diri masing-masing, sama ada ke puncak-puncak bukit atau ke dasar-dasar lembah.”

Dr Bazzar Rayyan dari Universiti Islam Gaza menyatakan, selepas arahan Amru itu, kes turun dengan mendadak. Dapatlah difahami bahawa umat Islam mentaati arahan Amru untuk lockdown. Ini termasuklah mengosongkan masjid-masjid.

Ia juga telah menjadi garis panduan umat Islam terkemudian. Apabila berlaku wabak sejak itu hingga ke hari ini, umat Islam mengamalkan kuarantin, dan lockdown termasuklah di Masjidil Haram.

Ia memberi petunjuk bahawa Islam mendepani zaman dalam menangani wabak. Dalam buku Di Bawah Naungan al-Kahfi, saya nyatakan fakta sejarah di mana Islam telah membina pusat kuarantin pertama pada zaman Umawiyah. Ar-Razi (925M) menjadi orang pertama menulis mengenai mikrobiologi sebelum dikembangkan oleh Ibn Sina (1037M) Sedangkan Bapa Mikrobiologi Barat hanya muncul pada abad ke-19M.

Tiga Sahabat di atas adalah tokoh di zaman Saidina Umar. Apakah kita mampu mencontohi mereka? Dalam dunia Arab, terkenal satu kata-kata:

“Jika orang bertanya kalian di manakah keadilan di negara Islam? Maka jawablah Umar telah pun mati!”

ALANG IBN SHUKRIMUN

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 44,033 other followers

%d bloggers like this: