Bertabarruk dengan peluh dan kulit Nabi SAW


Mari kita menyambung perbahasan tentang tabarruk yang melibatkan sanjungan dan layanan istimewa terhadap seseorang tokoh atas dasar agama. Penjelasan dalam isu ini perlu untuk mengelakkan tohmahan bahawa amalan itu melampaui batas, berbentuk sembahan atau pendewaan. Minggu ini kita melihat bagaimana para sahabat mengamalkan bertabarruk dengan peluh dan bersentuhan dengan kulit Nabi SAW.

Daripada Thumamah, daripada Anas r.a meriwayatkan, bahawa Ummu Sulaim pernah membentang sehelai tikar daripada kulit untuk Nabi SAW. Maka baginda tidur (qailulah) di atas tikar itu. Anas r.a berkata: Ketika Nabi SAW tidur, Ummu Sulaim mengambil sebahagian daripada peluh dan rambut Baginda SAW, lalu mengumpulnya di dalam sebuah botol kaca. Kemudian Ummu Sulaim mencampurkannya pula dengan minyak wangi yang lain, sedangkan Nabi SAW masih tidur. Thumamah berkata: Semasa Anas ibn Malik hampir wafat, dia mewasiatkan kepada saya supaya mencampurkan sedikit wangian tersebut dengan hanutnya (wangian untuk orang mati agar tidak cepat rosak). Dia berkata, “Maka wangian itu pun dicampurkan ke dalam hanutnya. (riwayat Bukhari dalam Bab Al-Isti’zan)

Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan: Rasulullah SAW pernah datang kepada kami, lalu tidur sebentar (qailulah) di tempat kami. Baginda SAW berpeluh (semasa tidur). Bondaku datang membawa sebuah botol kaca lalu meraut peluh Rasulullah SAW masuk ke dalamnya. Rasulullah SAW pun terjaga lalu bersabda, “Wahai Ummu Sulaim! Apakah yang engkau lakukan?” Dia menjawab: “Peluh ini akan kami campurkan dengan minyak wangi kami, dan ia merupakan minyak wangi yang paling harum!”

Daripada riwayat-riwayat di atas dan riwayat-riwayat lain yang seumpamanya, dapat diambil kesimpulan bahawa Nabi SAW mengetahui apa yang dilakukan oleh Ummu Sulaim dan baginda SAW membenarkannya.

Tidak ada pertentangan di antara apa yang dikatakan oleh Ummu Sulaim bahawa ia mengumpulkan peluh Nabi SAW sebagai campuran minyak wanginya dengan katanya bahawa dia mengumpulkannya untuk mengambil berkat.

Bahkan, diandaikan bahawa dia melakukannya untuk kedua-dua tujuan tersebut sekaligus. (Ibn Hajar, Fath al-Bari 11:2)

Bertabarruk dengan menyentuh kulit nabi

Riwayat daripada Abdur Rahman ibn Abu Laila daripada bapanya, beliau berkata: “Adalah Usaid ibn Hudair r.a merupakan seorang lelaki yang sering ketawa dan tampan. Ketika beliau berada di hadapan Rasulullah SAW, dia terus bercerita dengan suatu kaum dan membuatkan mereka tertawa. Melihat keadaannya, lantas Rasulullah SAW mencucuknya dengan jari lalu mengenai pusatnya. Maka Usaid r.a pun berkata: “Tuan telah menyakitiku.” Baginda bersabda: “Balaslah”.

Kata Usaid:, “Wahai Rasulullah! Tuan memakai baju, sedangkan aku tidak.”

Maka Rasulullah SAW mengangkat bajunya. Tiba-tiba Usaid memeluk badan Baginda SAW dan mencium bahagian bawah perutnya sambil berkata: “Demi Allah Wahai Rasulullah! Inilah yang aku inginkan selama ini.”

Al-Hakim menyatakan bahawa hadis tersebut adalah sahih isnadnya tetapi tidak diketengahkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Namun, al-Zahabi menyetujui dan mensahihkan hadis tersebut. (Diriwayatkan juga oleh Ibnu Asakir, Abu Dawud dan Al-Tabrani)

Ibnu Ishaq meriwayatkan daripada Hibban ibn Wasi’ daripada beberapa orang sheikh dari kaumnya bahawa Rasulullah SAW meluruskan barisan para sahabatnya pada hari Peperangan Badar. Pada tangan baginda terdapat sebatang kayu yang digunakan untuk meluruskan barisan tentera.

Maka baginda lalu di hadapan Sawad ibn Ghaziyyah, rakan Bani ‘Adi ibn Najjar yang ketika itu berada di luar barisan.

Lalu Rasulullah SAW menusuknya dengan kayu tersebut seraya bersabda: “Luruskan barisanmu, wahai Sawad!”

Dia berkata: “Wahai Rasulullah! Engkau telah menyakitiku! Bukankah engkau diutuskan oleh Allah untuk membawa kebenaran dan menegakkan keadilan? Tetapi engkau telah menyakitiku!”

Maka Rasulullah SAW membuka bajunya, lalu bersabda: “Balaslah!” Lalu Sawad memeluk Nabi SAW dan mencium perutnya.

Rasulullah SAW bertanya, “Apakah yang mendorong kamu melakukan begini, wahai Sawad?”

Dia menjawab: “Wahai Rasulullah! Telah tiba apa yang engkau lihat (peperangan). Aku ingin saat-saat terakhir denganmu, kulitku menyentuh kulitmu.”

Maka Rasulullah SAW mendoakan kebaikan baginya. (Ibnu Kathir, Bidayah wa Al-Nihayah, 4: 217)

Cerita tentang Zahir r.a

Rasulullah SAW bersabda: “Zahir adalah orang pedalaman yang kita sukai dan kita adalah orang kota yang dia sukai.”

Zahir adalah orang yang dikasihi oleh Rasulullah SAW. Pada suatu hari, Rasulullah SAW berjalan ke pasar. Baginda menemui Zahir sedang berdiri. Nabi SAW pun datang dari belakangnya dan memeluknya sambil tangannya berada di dada Zahir. Zahir merasa bahawa yang memeluknya adalah Nabi Muhammad SAW.

Dia berkata: “Lalu aku menggesel-gesel belakangku pada dada Nabi SAW, kerana mengharapkan keberkatannya.”

Dalam riwayat Imam Tirmizi, dalam al-Syama’il, disebutkan: “Nabi SAW memeluk Zahir dari belakangnya dan Zahir tidak dapat melihat orang yang memeluknya. Zahir berkata: “Lepaskanlah aku. Siapakah ini?” Maka Zahir pun menoleh, barulah dia tahu bahawa yang memeluknya adalah Nabi Muhammad SAW.

Setelah mengetahuinya, dia tidak mempedulikan apa yang terjadi dengan belakangnya yang dilekatkan ke dada Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW bersabda: “Siapakah yang akan membeli hamba sahaya ini?” Zahir berkata: “Wahai Rasulullah! Kalau begitu, engkau mendapati aku ini tidak laris.” Nabi Muhammad SAW bersabda: “Di sisi Allah, hargamu terlalu mahal.”.

Begitulah sekelumit gambaran kehidupan para Sahabat dengan kekasih mereka Rasulullah SAW. Selain mengambil hukum tentang soal tabarruk, gambaran ini juga menunjukkan betapa akrab dan mesranya Nabi SAW dengan para sahabat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 43,140 other followers

%d bloggers like this: