Teladani keperibadian, pengorbanan isteri Nabi
Oleh Hasliza Hassan
LELAKI dan wanita mempunyai kedudukan sama untuk mendapatkan pahala apabila beriman, taat dan rajin melakukan amal soleh.
Setiap amal perbuatan Rasulullah SAW menjadi sunnah kepada umat Islam tanpa mengira lelaki atau wanita dan kanak-kanak, belia atau orang tua.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, berkata sunnah bermaksud setiap perbuatan, perkataan dan perakuan serta apa-apa sahaja disabitkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Oleh itu, sesiapa yang mengikut sunnah diberi pahala, selain menterjemahkan bukti cinta kepada Baginda.
“Wanita dan lelaki daripada sudut kehambaan tidak ada bezanya. Oleh itu, wanita yang mencontohi amal perbuatan Nabi SAW, bermakna mereka mengamalkan sunnah Baginda.
“Pada masa sama, ada nasihat dan pesanan Rasulullah SAW kepada wanita yang disampaikan menerusi akhlak Baginda dengan golongan berkenaan,” katanya.
Beliau memetik hadis diriwayatkan Imam Tirmizi mengenai wanita Ansar, Ummu Imarah al-Anshariyah RA yang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Saya melihat semua diperuntukkan bagi lelaki. Saya tidak menemukan wanita disebut sedikit pun (dalam al-Quran).”
Maka, firman Allah SWT turun: “Sesungguhnya lelaki dan wanita Muslim; lelaki dan wanita mukmin; lelaki dan wanita tetap dalam ketaatan; lelaki dan wanita benar; lelaki dan wanita sabar; lelaki dan wanita khusyuk; lelaki dan wanita bersedekah; lelaki dan wanita berpuasa; lelaki dan wanita memelihara kehormatan; lelaki dan wanita banyak menyebut (nama) Allah; Allah menyediakan keampunan dan pahala yang besar kepada mereka.” (Al-Ahzab: 35)

Nik Salida berkata, sebenarnya untuk menjalani kehidupan di atas landasan agama dan beriman dengan sunnah Rasulullah SAW menjadi perkara mudah kepada wanita, iaitu dengan mengambil iktibar keperibadian isteri Baginda.
Saidatina Khadijah RA yang digelar sebagai Ummul Mukminin, Thahirah, penghulu wanita dan penghulu syurga bukan disebabkan berasal golongan bangsawan, sebaliknya sifat kesempurnaan dalam melakukan sesuatu perkara.
“Khadijah bukan melakukan sesuatu dengan baik semata-mata, bahkan komited dan sempurna. Beliau mendermakan semua harta tanpa risau ia akan habis, malah ketika hampir menghembuskan nafas terakhir, masih memikirkan apa boleh diberi untuk Islam.
“Khadijah berkata, andai tulang rusuknya boleh dibuat pedang untuk berperang, maka ambillah. Oleh itu, wanita yang ingin mengikut sunnah, belajarlah daripada isteri Rasulullah SAW,” katanya.
Begitu juga Saidatina Aishah RA ialah isteri Rasulullah SAW paling muda dan cantik juga terdedah kepada fitnah tetapi sentiasa sabar dan kuat menghadapi dugaan serta berserah kepada Allah SWT.
Oleh itu katanya, keperibadian isteri Rasulullah SAW sudah tersimpul banyak panduan dan pengajaran yang boleh diambil iktibar oleh wanita hari ini.

Beliau berkata, wanita bertuah kerana banyak sunnah Rasulullah SAW yang wajar dicontohi lelaki yang memberi keuntungan kepada wanita dan kanak-kanak.
Ini kerana Rasulullah SAW bersabda: Orang mukmin paling sempurna imannya adalah orang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik kepada isterinya. (HR Tirmidzi)
“Sahabat pernah bertanya kepada Aishah mengenai akhlak Rasulullah SAW dengan keluarganya dan Aishah menceritakan, ketika berada di rumah Baginda selalu membantu urusan rumahtangga.
“Rasulullah SAW sudah menunjukkan contoh serta memberi tips bagaimana bersikap dan menjalin hubungan dengan isteri atau ahli keluarga yang perlu diteladani lelaki dalam memenuhi tuntutan mengikut sunnah Baginda,” katanya.BERITA BERKAITAN