Sifat marah beri laluan iblis kuasai manusia
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
MANUSIA dikurniakan pelbagai nafsu termasuk marah tetapi tidak boleh dilayan atau dibiarkan berleluasa, sebaliknya ditundukkan dengan sifat sabar kerana kemarahan antara senjata yang boleh menggugat keimanan.
Islam sebagai agama indah, amat menegah umatnya daripada melayani sifat marah, apa lagi berkelakuan baran keterlaluan.
Nabi Muhammad SAW banyak kali mengingatkan umat Baginda mengenai kejinya nafsu marah yang tidak terkawal kerana ia antara pintu digunakan syaitan dan iblis dalam menguasai manusia.
Rasululah SAW bersabda: Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah. (HR Bukhari)
Saat manusia marah, syaitan memasuki salur darah individu menyebabkan berlaku hilang pertimbangan akal fikiran, manakala wajah mulai merah dengan degupan jantung berlari kencang.
Tindakan itu mendorong manusia bertindak di luar kotak fikiran yang waras hingga boleh mengancam nyawa orang sekelilingnya termasuk diri sendiri.

Penasihat Darussyifa’ Semenyih, Ab Razak Mahadi, berkata disebabkan itu, kadangkala apabila seseorang sudah reda kemarahannya, dia akan menyesali tindakan dilakukan kerana akal dan fikirannya dikawal syaitan sewaktu marah, malah boleh hilang pertimbangan.
“Ada dalam kalangan individu tengah marah, tidak sedar perbuatan dilakukan kerana ketika itu syaitan menguasai akal fikirannya.
“Banyak kes yang kami temui, ada suami sampai tidak sedar menceraikan isteri hanya kerana marah meskipun puncanya kadangkala kerana kesilapan kecil,” katanya kepada BH di sini.
Ab Razak berkata, setiap umat Muslim perlu sedar, kegagalan mengawal kemarahan bererti tewas dengan tipu muslihat syaitan yang dilaknat Allah SWT.
Menjauhi sifat marah antara nasihat Rasulullah SAW. Ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah: “Berikanlah aku nasihat.” Baginda bersabda: “Jangan marah.” Maka orang itu mengulangi permintaannya tadi beberapa kali tetapi Baginda tetap menjawab: “Jangan marah.” (HR Bukhari)
Dalam hadis lain, diriwayatkan pada satu ketika ada dua orang saling mencela di sisi Rasulullah SAW. Salah seorang mencela lawannya dengan penuh kemarahan sehingga berubah wajahnya.
Maka, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku akan ajarkan satu kalimah yang jika diucapkan, akan hilang apa yang ada padanya, iaitu sekiranya dia mengucapkan: ‘Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.’ (HR Bukhari dan Muslim)
Ab Razak berkata, Islam hanya membenarkan marah terhadap perkara berkaitan agama seperti Islam diperlekehkan atau perkara membabitkan soal haram-halal serta suruhan dan larangan dalam agama yang dipermainkan.
“Lebih daripada itu, nafsu amarah perlu dikawal. Kita perlu mencontohi Saidina Ali RA yang sedang berperang dan bersedia memenggal kepala musuhnya tetapi tiba-tiba musuh itu meludah ke wajahnya.
“Ekoran tindakan itu, Ali seterusnya tidak memenggal kepala musuh, sebaliknya menurunkan pedangnya.
“Musuh yang kehairanan bertanya pada Ali yang menjawab, Aku takut membunuhmu bukan kerana Allah SWT sebaliknya kerana marahkan kamu meludah mukaku,” katanya.
Ab Razak berkata, pengaruh persekitaran nafsu marah dalam dunia akhir zaman ini, amat mudah menggoda jiwa umat Islam tetapi mereka perlu muhasabah dan mencontohi Rasulullah SAW.
“Marah perlu dikawal secara holistik yang boleh dilakukan dengan doa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Malah kita juga disaran memastikan hanya makan daripada sumber halal,” katanya.
Firman Allah SWT: “Dan jika engkau dihasut sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-A’raf: 200)
“Ulama terkenal dahulu seperti Sheikh Abdul Qadir Jailani RA, sangat menjaga makanannya. Begitu juga Imam Shafie RA sangat teliti dengan makanannya kerana ia turut mempengaruhi tingkah-laku,” katanya.
Mengulas mengenai sikap segelintir individu mengaku mudah naik angin dan mendakwa ‘lahir daripada keturunan panas baran’, Ab Razak menasihati individu itu supaya segera bermuhasabah diri dan berusaha bersungguh-sungguh mendekati diri kepada Allah SWT.
“Tanamkan dalam diri nilai kasih sayang dan menghargai hak orang lain. Sedarlah kalau kita suka marah dan tidak hiraukan perasaan itu, bermakna kita suka berkawan dengan syaitan. Tanya diri kita sendiri, apakah kita suka berkawan dengan syaitan,” katanya.
Berhubung saranan Rasulullah SAW mengendurkan perasaan sedang marah, Ab Razak berkata, individu perlu mengubah keadaan fizikal mereka yang kalau waktu sedang marah dalam keadaan berdiri, dianjurkan untuk duduk.
“Namun kalau tidak hilang juga marah, maka hendaklah berbaring. Paling elok, tinggalkan tempat itu dan berwuduk.
“Selain berfungsi sebagai penghapus dosa kecil, wuduk juga boleh menghilangkan perasaan marah yang menjadi antara punca berlakunya dosa lain,” katanya.
Ab Razak berkata, berdiam sewaktu marah juga antara saranan boleh dilakukan kerana dikhuatiri individu itu boleh mengeluarkan kata-kata kesat dan mencetuskan provokasi.
Katanya, diam bukan tanda lemah kerana Rasulullah SAW bersabda: Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergaduh, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah. (HR Tirmizi)
“Orang Islam perlu ingat, ganjaran besar pahala menanti individu yang boleh dan berupaya mengawal perasaan marah kerana ia bukanlah usaha mudah. Tanpa kekuatan dalaman manusia akan tewas dengan ‘senjata’ syaitan,” katanya.
INFO
Tips kendur marah
* Ubah kedudukan fizikal contohnya sekiranya ketika marah dalam keadaan berdiri, tukar kepada kedudukan duduk.
* Mengambil wuduk dapat menyejukkan hati yang menggelodak.
* Berdiam diri daripada berlawan cakap dengan orang yang kita sedang marah.
* Berdoa kepada Allah SWT
* Pastikan setiap sumber makanan kita adalah halal.