5 Kerosakan zina


Oleh Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

PERBUATAN zina pada akhir-akhir ini semakin berleluasa sehingga manusia daripada pelbagai peringkat umur seperti remaja, dewasa, orang tua terjebak dengan perkara buruk ini. Gambaran ini menunjukkan saat hampirnya berlaku kiamat adalah semakin dekat dan kedudukan manusia semakin lalai daripada mengingati Allah SWT. Perbuatan zina pada hari ini sudah dianggap perkara yang biasa dan sifat malu untuk menghindarinya adalah terlalu nipis.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isra’, 17:32)

Ibn Kathir dalam Tafsir-nya menjelaskan Allah SWT melarang para hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepadanya. Dalam hadis daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sesungguhnya Allah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (H.R Muslim Sahih Muslim No. Hadis: 2657)

Jelaslah maksud ‘jangan mendekati’ dalam al-Quran menunjukkan semua saranan yang membawa kepada zina seperti pandangan mata, sentuhan dan berkhalwat adalah haram dan perlu dijauhi. Situasi ini dapat mendorong manusia daripada terjebak dengan keadaan yang lebih buruk kelak.

Perkataan ‘fahisyah’ iaitu keji dalam ayat tersebut juga merujuk kepada kategori perbuatan termasuk liwat dan terkait dengan homoseksual. Firman Allah SWT maksudnya: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.'” (Surah al-A`raf, 7:80-81)

Ibnu Kathir juga menyebut perbuatan keji ini tidak pernah menjadi adat dan kebiasaan yang dilakukan oleh manusia, bahkan tidak pernah terlintas dalam akal mereka sehingga kaum Sadom melakukannya dan Allah SWT melaknat mereka.

Ulama bersepakat secara ijmak bahawa perbuatan homoseksual seperti kaum Lut itu ialah maksiat dan dosa besar, tetapi mereka berbeza pendapat adakah hukumannya sama seperti zina atau bukan. Walaubagaimanapun, sebahagian ulama berpendapat dosanya lebih keji daripada zina kerana merosakkan fitrah manusia.

Perbuatan zina yang berlaku pada hari ini terjadi dalam keadaan terang-terangan sehingga manusia lain dapat melihat perbuatan tersebut. Nabi SAW bersabda daripada Anas bin Malik r.a, dia berkata: “Sungguh aku akan mengkhabarkan kepada kamu di mana kamu tidak akan mendengar daripada seorang pun sesudahku nanti. Ketahuilah, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: ‘Di antara tanda-tanda hari kiamat adalah berkurangnya ilmu dan merebaknya kejahilan, zina dilakukan secara terang-terangan dan jumlah wanita yang semakin banyak sedangkan jumlah lelaki semakin sedikit sehingga 50 orang wanita seorang lelaki.'” (H.R al-Bukhari, al-Ilm No. Hadis: 81)

Dalam riwayat lain, baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Tersebarnya zina.” (Hadis Riwayat at-Tirmizdi, al-Fitan, Hadis no: 2301)

Syeikh al-Maraghi berkata: Sesungguhnya zina itu nyata keburukannya bahkan mengandungi pelbagai
kerosakan. Antaranya:

• Perbuatan zina menyebabkan keturunan menjadi porak-peranda. Apabila seseorang lelaki berasa ragu-ragu mengenai anak yang dilahirkan, maka lelaki tersebut tidak akan mendidiknya, bahkan seterusnya tidak mahu mengurusnya. Hal itu akan menyebabkan keturunan manusia menjadi sia-sia dan dunia akan hancur.

• Perzinaan akan membuka pintu huru-hara dan kegoncangan sesama manusia. Terdapat peristiwa pembunuhan yang berlaku berpunca daripada zina. Apabila berlaku peristiwa pembunuhan melibatkan seseorang bayi atau wanita, maka perlu mengatakan: “Periksalah dahulu latar belakang perempuan yang terlibat!”

• Wanita yang sudah terkenal dan masyhur sebagai pelacur akan dipandang kotor oleh setiap lelaki yang waras sehingga tidak akan berlaku kemesraan antara perempuan seperti itu dengan suaminya. Oleh itu, ketenteraman dan keserasian yang dijadikan Allah SWT sebagai kasih dan sayang antara sesama manusia tidak akan tercapai.

• Tujuan kaum perempuan dicipta bukan sekadar pemuas nafsu syahwat lelaki semata-mata. Bahkan, mereka dijadikan sebagai pelengkap kepada kaum lelaki dalam mengatur urusan rumah tangga dan mempersiapkan tugas seperti makanan, minuman dan pakaian. Kaum perempuan juga menjadi penjaga dan pengurus anak-anak dan sekali gus menjadi pembantu suami. Tugas ini tidak akan dilaksanakan dengan sempurna kecuali apabila wanita itu menjadi rakan (pasangan) yang khusus bagi seorang lelaki sahaja bukan untuk lelaki yang lain.

• Perzinaan adalah suatu yang sangat keji kerana penyebab kepada nasab (keturunan) menjadi kacau-bilau yang akhirnya menyebabkan berlakunya pembunuhan.

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Jika dilihat kepada semua agama Samawi, semuanya bersepakat tentang pengharaman zina dan menentangnya dengan keras. Islam melarang keras perzinaan kerana perbuatan itu akan merosakkan keturunan keluarga, berlakunya kes pembuangan bayi, menjatuhkan nama baik kaum kerabat, memecah-belahkan hubungan silaturahim, tersebarnya penyakit yang kronik, nafsu bermaharajalela dan merendahkan moral seseorang insan. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (267-268)

Syed Qutb berkata: “Perlakuan zina mengandungi aspek pembunuhan dari pelbagai sudut. Zina adalah perbuatan membunuh sejak dari awal lagi kerana zina itu menumpahkan benih hayat pada bukan tempatnya yang sebenar. Kemudian diikuti pula dengan keinginan mahu menghindarkan diri daripada kesan-kesannya dengan membunuh janin sama ada sebelum atau selepas berupa bentuk dan sama ada sebelum dilahirkan atau selepas dilahirkan. Sekiranya janin itu dibiarkan hidup sekalipun, kebiasanya kehidupan bayi itu berada dalam kegelapan atau kehinaan. (Fi Zilal al-Quran (10/189)

Oleh itu, menjadi kewajiban setiap manusia khususnya umat Islam untuk memahami tentang punca yang membawa kepada berlakunya zina agar kehidupan kita di akhir zaman ini dapat dihindarkan daripada perbuatan tersebut seterusnya mendapat lindungan dan rahmat Allah SWT.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 42,874 other followers

%d bloggers like this: