Tradisi ilmu bersemuka


GURU, pensyarah atau sesiapa sahaja yang bergelar pendidik merupakan individu penting yang mengajar dan menyampaikan ilmu yang benar kepada masyarakat.

Dalam sirah Nabi Muhammad SAW, Malaikat Jibril menjadi guru kepada baginda melalui beberapa peristiwa penting dan bersejarah. Di antaranya penurunan wahyu pertama di Gua Hira’ pada malam 17 Ramadan.

Nabi Muhammad SAW yang dilahirkan sebagai buta huruf atau ummi, diperintahkan untuk membaca ayat al-Quran. Lalu Malaikat Jibril mengajarkan kepada baginda dengan ayat 1 hingga 5 surah al-‘Alaq.

Peristiwa ini dirakamkan dalam sebuah hadis sahih al-Bukhari diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah RA yang bermaksud “Sewaktu Baginda di dalam Gua Hira’ maka datang kepadanya Malaikat, lalu ia berkata: “Iqra’! (Bacalah)”. Berkata junjungan: “Ma ana biqari’ (Tiada aku pandai membaca)”. Bercerita junjungan: “Kemudian Jibril mengambil (menarik) akan daku maka dipeluknya kuat-kuat hingga terasa kepadaku kesungguhannya, kemudian dilepaskan aku, lalu ia berkata: “Iqra’! (Bacalah)”. Maka aku berkata: Ma ana biqari’ (Tiada aku pandai membaca), kemudian diambilnya aku lalu dipeluknya ketat-ketat kali yang kedua hingga terasa kepada aku kepayahan. Kemudian itu dilepaskan aku dan dia berkata: “Iqra’! (Bacalah)”. Maka berkata aku: “Ma ana biqari’ (Tiada aku pandai membaca)”. Setelah itu mengambil ia akan daku buat kali yang ketiganya lalu dipeluknya sungguh-sungguh sehingga terasa aku eratnya, kemudian dilepaskannya aku, maka ia berkata: Bacalah dengan nama Rabb engkau yang menjadikan, yang menjadikan manusia daripada darah, bacalah demi Rabb engkau yang mulia. (Surah Al-Alaq, ayat 1-3).

Dalam peristiwa lain, Malaikat Jibril diutus kepada Nabi SAW untuk mengajar makna Islam dan iman.

Peristiwa ini sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis riwayat Muslim yang bermaksud: “Sedang kami duduk di dalam majlis bersama Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di dalam majlis itu seorang lelaki yang berpakaian serba putih, berambut terlalu hitam, tiada kesan bahawa ia seorang musafir, dan tiada antara kami yang mengenalinya, lalu dia duduk bersama Rasulullah SAW dan ditemukan kedua-dua lututnya dengan kedua-dua lutut Rasulullah SAW, serta diletakkan kedua-dua tapak tangannya ke atas kedua-dua paha Rasulullah SAW, lalu ia berkata: Ya Muhammad, khabarkan kepadaku tentang Islam? Rasulullah SAW bersabda: Islam itu ialah kamu bersaksi (bersyahadah) bahawa tiada ilah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu adalah Rasul Allah dan hendaklah kamu mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah jika kamu mampu mengerjakannya. Lelaki itu berkata: Benar katamu.”

Seseorang guru, pensyarah atau pengajar haruslah berperanan sebagai mursyid, yang mendidik dalam menyampaikan kebenaran.

Mereka bukan sekadar perlu menyampaikan maklumat yang betul, tetapi juga ilmu yang benar. Kedudukan pendidik adalah mulia di sisi Allah kerana mereka mendidik dan mengajar manusia menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Firman Allah SWT bermaksud: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku daripada orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Surah Fussilat, ayat 33).

Rasulullah SAW sebaik-baik contoh dan ikutan bagi golongan pendidik sepanjang zaman. Peranan Rasulullah SAW sebagai guru, pendidik, dan murabbi yang mendidik dan memimpin umatnya ke arah kebaikan.

Firman Allah SWT bermaksud: “(Nikmat berkiblatkan Kaabah Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat), dan mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah ayat 151)

Pengumuman Menteri Kanan Pendidikan berkenaan pembukaan semula sekolah selepas hampir empat bulan tempoh negara mendepani wabak Covid-19 yang melanda dunia adalah khabar yang dinantikan.

Walaupun kalangan pendidik dan pelajar sudah berusaha yang terbaik menyesuaikan diri dalam suasana pembelajaran normal baharu secara dalam talian, kajian mendapati pengajaran dan pembelajaran murid secara bersemuka adalah lebih berkesan.

Justeru keputusan pembukaan kembali sekolah dibuat berteraskan asas yang kukuh dengan mengambil kira kepentingan guru, murid dan ibu bapa bagi memastikan usaha untuk melahirkan generasi masa hadapan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dapat dicapai.

Semoga warga pendidik dan pelajar kembali bersemangat meneruskan sesi persekolahan berbekalkan nasihat Imam Al-Shafie, syarat menuntut ilmu seperti kecerdikan, keterujaan dan keazaman, kegigihan, kemampuan, bimbingan golongan pendidik serta masa yang berpanjangan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,027 other followers

%d bloggers like this: