Waktu tepat tegur anak
Saya ada tiga anak dan mereka semua sukar mendengar teguran dan arahan. Mohon nasihat atau tip daripada ustaz bagaimana sepatutnya cara menegur anak supaya mereka mentaati arahan dan nasihat?
Mariam, Gombak
Ibu bapa perlu memilih waktu tepat untuk mengarah sesuatu kepada anak. Perkara itu sangat memberi kesan kepada tindak balas anak.
Memilih waktu yang baik dan tepat memudahkan ibu bapa menanamkan nilai pendidikan buat anak.
Jika dilakukan tepat pada waktunya, anak dianggap bersedia menerima arahan. Ketika itu, ibu bapa mengarah dan anak siap sedia menerima arahan berkenaan.
Rasulullah adalah teladan paling unggul dalam mencari waktu dan tempat mengarahkan pandangan anak dalam rangka memperbaiki serta membentuk sikapnya.
Baginda menetapkan tiga waktu utama untuk mengarah anak, iaitu:
l Ketika membawa anak bersiar-siar atau makan angin.
Perkara itu merujuk kepada hadis riwayat Imam at-Tirmizi daripada Ibnu Abbas, beliau berkata: “Suatu ketika aku sedang berada di belakang Rasulullah dan baginda berkata: “Wahai anakku, aku akan mengajar kepadamu kata-kata yang bermanfaat bagimu. Ingatlah Allah, maka Allah akan melindungimu. Ingatlah Allah, maka Allah kelak ada di pihakmu. Apabila kamu hendak meminta sesuatu, mintalah pada Allah. Apabila kamu hendak meminta pertolongan, mintalah pertolongan itu kepada Allah. Ketahuilah walaupun seluruh umat ini bersatu untuk memberikan manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu melakukannya melainkan apa yang Allah telah tetapkan untukmu. Walaupun seluruh umat ini bersatu untuk membahayakanmu, mereka tidak akan mampu melakukannya melainkan sesuatu yang Allah telah tetapkan untukmu. Pena telah terangkat dan tulisan telah mengering. Tiada ketetapan selain ketetapan dari-Nya.
Ungkapan itu dibuat ketika dalam perjalanan yang mana kedua-duanya berjalan bersama. Ada mengatakan ketika berjalan kaki dan ada juga mengatakan ketika menaiki kenderaan iaitu baghal atau keldai.
Rasulullah tidak memberikan arahan di satu tempat khusus, tetapi hendaklah di tempat yang memiliki udara yang segar.
Pada keadaan itu, kebiasaannya anak bersiap sedia menerima arahan atau nasihat. Rasulullah juga membahagikan rahsia dengan beberapa anak dalam satu perjalanan dan meminta mereka menjaganya.
Keadaan itu dilakukan kerana baginda memahami keadaan yang ada membuatkan anak itu mampu menjaganya dengan baik.
Diriwayatkan Imam Muslim daripada Abdullah bin Ja’far, beliau berkata: “Pada suatu kesempatan, Rasulullah menaikkan aku di belakang baginda (dalam keadaan membonceng) kemudian baginda memberikan rahsia yang tidak pernah aku ungkapkan kepada sesiapa pun. Sesungguhnya Rasulullah suka aku menyimpannya demi suatu tujuan tertentu.”
l Ketika makan.
Pada waktu itu, anak melakukan perkara yang baik dan kurang baik. Apabila ibu bapa tidak duduk bersama anak pada waktu makan dan memperbaiki kesalahannya, anak itu tetap melakukan kebiasaan buruk kerana tiada siapa yang memperbaikinya.
Ibu bapa kehilangan masa yang sangat berharga untuk mendidik anak-anak sekiranya tidak menemani mereka pada waktu makan.
Rasulullah kadang-kadang makan bersama anak-anak. Ketika makan, Rasulullah memerhatikan beberapa kesalahan yang dilakukan.
Ketika itu juga baginda akan menegur anak itu supaya memperbaiki kesalahannya. Diriwayatkan Imam Abu Dawud daripada Umar bin Abu Salamah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Mari dekat wahai anakku! Sebutlah nama Allah, makan dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang dekat denganmu.”
Berdasarkan hadis itu, ucapan baginda: “Mari dekat, wahai anakku!” itu Nabi mengajak anak-anak untuk makan bersamanya.
Ketika makan bersama itu, Rasulullah mengarahkan anak mempamerkan adab makan yang betul.
l Ketika anak sakit.
Diriwayatkan Imam al-Bukhari daripada Anas, beliau berkata: “Seorang anak Yahudi membantu Rasulullah.
Pada satu ketika, anak itu sakit. Rasulullah mengunjunginya. Baginda duduk selaras dengan kepala anak yang berbaring itu dan berkata kepadanya, “Masuk Islamlah!” Si anak menoleh kepada ayahnya yang ketika itu bersamanya.
Si ayah lalu berkata kepadanya, “Patuhilah nasihat itu, wahai Abu Qasim. Anak itu pun masuk Islam. Rasulullah keluar seraya berkata, “Segala puji bagi Allah yang menyelamatkannya daripada seksa api neraka.”
Daripada hadis itu, anak Yahudi berkenaan sudah lama membantu Rasulullah, namun baginda tidak mengajaknya masuk Islam. Rasulullah memilih waktu yang tepat untuk mengajaknya iaitu ketika dia sakit.