Bersedia ke alam baqa


Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

SETIAP makhluk yang bernyawa di alam yang fana ini pasti akan menemui ajal yang ditentukan Allah di dalam catatan Loh Mahfuz-Nya. Begitu juga dengan manusia yang ditaklifkan amanah sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini pun tidak dapat lari daripada ketentuan Ilahi itu. Di mana dan bila-bila masa, ajal kematian pasti akan menjemput setiap insan tanpa diundang, walaupun dia cuba bersembunyi atau melarikan diri ke dalam benteng yang tinggi nan kukuh.

Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal) sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah daripada sisi Allah. Dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: ‘Ini adalah daripada (sesuatu nahas) yang ada padamu. ‘Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) daripada sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?'” (Surah al-Nisa’, ayat 78)

Sehubungan itu, maka amat wajar bagi setiap Muslim untuk merenungi diri, bermuhasabah dan seterusnya mempersiapkan diri dengan persediaan dan bekalan sebelum menghadapi kematian dan sebelum menuju ke alam baqa. Persiapan awal ini amat penting bagi setiap Muslim kerana peluang kehidupan di dunia ini yang dikurniakan Allah bagi setiap insan hanyalah sekali sahaja dan tiada lagi peluang kedua atau ke sekian kalinya apabila sahaja seseorang Muslim melangkah ke alam barzakh. Ditambah lagi, Allah banyak merakamkan kisah penyesalan orang kafir musyrik di alam barzakh dan di alam akhirat, namun penyesalan mereka itu tiada gunanya lagi kerana mereka sudah diberikan peringatan demi peringatan oleh nabi dan rasul serta pendakwah namun mereka tidak mendengar, memahami dan menghayatinya.

Perlu diinsafi bahwa antara ciri Muslim yang paling bijaksana dan bertakwa kepada Allah ialah Muslim yang sentiasa bermuhasabah diri dan membuat persiapan bagi menghadapi kematian. Sabda Rasulullah: “Orang yang paling bijaksana di kalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal salih sebelum menghadapi kematian. Manakala orang yang paling lemah ialah orang yang terikutkan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud)  

Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW ada memberikan panduan berguna kepada umatnya yang dikasihi melalui hadisnya sebagai satu pedoman kepada setiap Muslim untuk menbuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam baqa. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah pahala segala amalannya melainkan pahala tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian iaitu amalan sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang salih kepada kedua ibu bapanya.” (Hadis riwayat Muslim)  

Jelas daripada maksud hadis di atas bahawa terdapat tiga amalan utama yang seharusnya dilakukan oleh setiap Muslim semasa hayatnya di dunia sebagai bekalan amal yang bakal dibawa kelak sebelum menuju ke alam baqa. Amalan yang pertama ialah amalan sedekah jariah atau mendermakan seluruh atau sebahagian hartanya pada jalan Allah yang juga salah satu amalan kebajikan yang sangat dituntut oleh Islam kepada umatnya dalam kehidupan mereka. Ini kerana Islam ingin mendidik umatnya supaya menghiasi dirinya dengan sifat dermawan dan pemurah kepada sesama manusia yang menghuni alam ini terutama kepada fakir miskin dan orang kurang bernasib baik.

Perlu diinsafi menafkahkan harta pada jalan Allah tidak hanya terhad kepada membelanjakan hartanya di dalam jihad dan perjuangan menegakkan Islam, malahan ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma, sedekah jariah, perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat serta apa-apa sumbangan kebajikan untuk maslahah umum. Dalam hal ini, Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 215 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: ‘Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan, maka berikanlah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah) apa jua yang kamu buat daripada jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).'”

Seterusnya amalan kedua ialah menimba ilmu sama ada ilmu duniawi mahupun ukhrawi kerana Islam adalah al-Din yang mengimbangi keperluan dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya supaya menuntut ilmu sebanyak mungkin dan sebab itulah Allah mengangkat darjat orang yang berilmu berbanding orang yang tidak berilmu. Firman Allah maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11 ) 

Hanya dengan ilmu sahajalah seseorang Muslim dapat memantapkan imannya kepada Allah, mempertingkatkan amal salih kepada-Nya dan dapat mengikhlaskan niatnya hanya kepada Allah. Rasulullah pernah menyentuh tentang kelebihan ilmu melalui hadisnya yang bermaksud: “Tuntutlah ilmu kerana amalan menuntut ilmu akan menghampirkan dirimu kepada Allah, mengajarkan ilmu kepada orang lain adalah satu amalan sedekah. Sesungguhnya ilmu itu akan mengangkat seseorang ke darjat kemuliaan dan kebijaksaan. Ilmu itu juga akan menjadi perhiasan indah orang berilmu di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Al Rabie) 

Akhirnya, amalan ketiga yang pahalanya berterusan kepada si mati ialah doa anak yang salih kepadanya setelah dia meninggal. Alangkah beruntungnya orang tua yang mampu mendidik anak-anaknya sehingga menjadi anak yang salih dan taat kepada Allah. Dalam masa sama, anak juga diasuh supaya menjadi generasi harapan yang akan menyumbang bakti berguna kepada agama, bangsa dan negara tercinta. Inilah antara ciri anak salih yang terasuh dengan asuhan spiritual dan material di mana doanya nanti amat bernilai kepada kedua-dua orang tuanya.

Dalam erti kata lain, anak salih adalah harta pelaburan jangka panjang yang berharga kepada kedua-dua orang tua apabila mereka meninggal. Ibu bapa perlu mengajar anaknya supaya selalu berdoa dengan doa ini: “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra, ayat 24) 

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Orang yang mati dalam kuburnya adalah seperti seorang yang sedang kelemasan meminta pertolongan. Dia sedang menunggu hingga sampai kepadanya rahmat sesuatu doa daripada anaknya, saudaranya ataupun sahabat handainya.” (Hadis riwayat al-Dailami) 

Apabila rahmat doa itu sampai kepadanya, alangkah suka dan gembiranya dia kerana limpahan rahmat tersebut lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Sebenarnya pahala amalan doa dan istighfar daripada orang yang masih hidup di dunia akan sampai kepada orang mati menurut pendapat jumhur ulama.

Demikianlah tiga amalan utama yang sewajarnya termasuk dalam senarai amalan wajib setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Inilah persediaan yang sewajibnya dilakukan oleh setiap Muslim sebelum ajal maut menjemputnya. Kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sedangkan kehidupan di akhirat kelak adalah yang berkekalan. Bersiap sedialah dengan bekalan amalan salih dan iman yang tulus kepada Allah sebelum penyesalan yang tiada penghujungnya mengiringinya pada kemudian hari.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,027 other followers

%d bloggers like this: