Pamer akhlak baik cara Adam Corrie berdakwah


MEMPAMERKAN akhlak baik terhadap semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa adalah satu kaedah dakwah yang digunakan pelakon dan juru tari, Adam Corrie Lee Abdullah, 47, untuk menarik mereka yang bukan Islam kembali kepada agama sebenar.

Sejak kembali kepada Islam pada 2007, Adam bertekad untuk berdakwah dan mengajak kenalan atau bukan kenalan untuk kembali kepada ajaran sebenar.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan apabila seorang lelaki India yang tidak dikenalinya memeluk Islam selepas tertarik dengan cara Adam melayan sekumpulan rakan lelaki itu dengan baik walaupun tidak mengenali mereka.

“Saya mendapat tahu Kumar (kini Umar) apabila guru saya, Ustaz Rosdi bercerita mengenai mekanik motosikalnya kembali kepada Islam atas dua sebab utama iaitu kerana yakin Islam agama sebenar serta mahu mengenali Allah dan kedua, disebabkan akhlak yang ditunjukkan saya terhadap rakan beliau,” katanya.

Lebih menarik katanya, pada peringkat awal pengislaman Umar, beliau terpaksa bersolat secara sembunyi, bimbang diketahui isterinya. Tetapi, kira-kira sebulan selepas itu, isterinya terjaga dari tidur kerana terdengar azan dibisikkan di telinganya.

Guna media sosial

“Isteri Umar mengakui sudah lama tahu suaminya memeluk Islam kerana pernah ternampak suaminya curi-curi solat. Satu hari, isterinya terjaga kerana mendengar alunan bunyi yang tidak pernah didengarinya. Beliau meminta suaminya membacakan apa yang didengarinya.

“Apabila Umar iqamah, membaca al Fatihah dan zikir, isterinya menyatakan bukan itu yang didengarinya. Akhirnya beliau cuba azan, barulah isterinya mengiakan dan itulah alunan yang didengarinya. Akhirnya beliau turut memeluk Islam. Hebatnya, hidayah Allah,” katanya.

Berpegang kepada prinsip, mengajak orang ramai ke jalan Allah bukan hanya dengan cara berdepan, Adam dan isteri, Fazima Mohamed Fuad, 37, bergandingan menyebarkan dakwah menerusi media sosial termasuk Facebook dan Instagram.

“Dakwah bukan terhad dengan berdepan. Kita guna bahasa mudah saja dalam media sosial mengajak orang berbuat baik. Alhamdulillah, dengan cara ini ramai yang bukan Islam tertarik dan menghubungi saya untuk mengetahui lanjut mengenai Islam dan akhirnya memeluk Islam,” katanya yang turut berniaga pakaian bermesej di Menara Mara.

Mengimbas kembali kenangan manisnya kembali kepada Islam, Adam yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Port Dickson berkata sejak kecil beliau sering bergaul dengan rakan berbangsa Melayu dan tidak kekok dengan budaya Melayu kerana membesar di Kem Sunggala, Port Dickson berikutan mendiang bapanya, Lee Kang Hai, seorang tentera.

Malah, seawal usia 10 tahun, beliau yang berasal dari Taiping, Perak mula belajar berpuasa kerana tidak mahu makan minum di depan rakan beragama Islam dan tabiat itu diteruskan hingga pulang ke rumah.

“Saya sudah lama mencari sesuatu kerana saya rasakan jiwa terlalu kosong dan tidak tenang. Rakan ketika senang dan berduit memang ramai, tetapi rakan ketika susah tiada. Saya rasa kecewa kerana tiada rakan sebenar yang boleh bersama menangis dan bersedih terutama apabila jiwa saya rasa terlalu kosong,” katanya.

Berdoa minta petunjuk

Satu malam pada tahun 2007, katanya, beliau tidur lewat dan bertekad dan berdoa kepada Tuhan supaya menemukannya dengan petunjuk kebenaran.

“Doa saya malam itu pendek saja, “Ya Allah jika Islam ini peganganku sampai mati maka berilah petunjuk. Malam itu, saya bermimpi cahaya terang yang bertukar menjadi lelaki berjubah putih. Dalam mimpi itu, saya terbangun dan menoleh ke arah lelaki itu dan apabila saya pandang ke arahnya saya rasa sangat tenang dan selesa. Walaupun wajahnya tidak nampak jelas disebabkan cahaya tetapi ia tidak menyakitkan tetapi membahagiakan.

“Lelaki itu memandang saya dan tersenyum. Selepas itu, saya berasa berada di dunia lain yang sangat indah dan damai, tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Dunia yang di luar jangkauan akal. Selepas itu, saya terjaga apabila terdengar azan Subuh,” katanya.

Rungkai mimpi misteri

Pagi itu juga, katanya, beliau tekad dan meminta dua rakannya menemaninya ke Perkim untuk mengucap dua kalimah syahadat. Bermula detik itu, beliau menggunakan nama Adam, nama yang tiba-tiba saja terlintas di fikirannya ketika berada di Perkim. Selepas lima tahun, barulah beliau menemui jawapan bagi mimpinya itu.

“Kesempatan bertemu dengan Sheikh Habib Ali Zaenal Abidin membolehkan saya bertanyakan mengenai mimpi saya. Ketika beliau mendengar cerita saya, beliau terdiam dan air matanya bertakung. Kata Sheikh Habib Ali

lelaki bercahaya itu yang syaitan tidak boleh menyerupainya adalah Rasulullah SAW. Menurutnya, Allah menghantar Rasulullah menjemput saya kerana mendengar doa saya. Inilah perkara paling indah dalam hidup saya selepas mengetahui makna mimpi saya,” katanya.

Beliau berkata pertemuannya dengan Sheikh Habib Ali turut mempunyai kisahnya. Ceritanya, pertemuan dengan tokoh agama itu ketika beliau menghadiri majlis taalim Darul Murtadza di Masjid Muaz, Setiawangsa pada 2012.

“Minggu pertama menghadiri majlis itu saya tidak tahu adab menghadiri majlis ilmu. Saya duduk paling depan berdepan dengan Sheikh Habib Ali tanpa membawa pen atau kertas, sedangkan jemaah lain siap dengan pen kertas dan kitab.

Dapat restu ibu

“Minggu kedua saya hadir dan duduk di tempat sama tetapi kali ini sedia dengan pen dan kertas. Habis majlis, beliau menarik tangan saya dan tidak melepaskan walaupun bersalam dengan jemaah lain. Beliau menarik tangan saya dan membawa ke tempat makan bersama ulama lain. Bayangkan kerdilnya saya makan dengan ulama dari beberapa negara. Sheikh Habib Ali berbual dengan saya walaupun dia tidak mengenali saya,” katanya.

Anak kelima dari 10 beradik itu berkata pada minggu ketiga pengajiannya dengan ulama itu, barulah beliau menceritakan mengenai mimpinya kepada tokoh agama.

Ibunya, Lim Ah Hong, 76, adalah ahli keluarganya yang pertama dimaklumkan mengenai penghijrahannya itu, lapan bulan selepas beliau mengucap syahadah. Beliau bersyukur kerana doanya di hadapan Kaabah supaya ibu dan keluarganya dilembutkan hati menerima penghijrahannya dimakbulkan.

Harapannya adalah untuk terus berdakwah dan mencari ilmu serta mengekalkan akhlak baik dan memahami Islam dengan lebih mendalam.

“Saya harap masyarakat tidak terus menghukum mualaf yang belum berubah. Masyarakat Islam sendiri perlu membimbing mereka untuk terus menjadi Muslim yang baik,” katanya yang turut membela tiga kucing bagi mengisi masa santai.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,027 other followers

%d bloggers like this: