Pergaulan dengan orang Islam dorong lafaz syahadah
KUALA LIPIS: Pergaulan dengan masyarakat Melayu menjadikan Islam tidak asing kepada lapan mualaf daripada Orang Asli Pos Titom yang memeluk Islam di Pos Titom di sini, semalam.
Batin Pos Titom, Ramli Bahminhan, 56, berkata beliau tidak berasa asing dengan Islam kerana sering bercampur dengan orang Melayu dan Orang Asli di kampung lain yang sudah memeluk Islam.
“Sebelum ini pun, ramai menganggap saya sudah memeluk Islam kerana cara hidup saya macam orang Islam. Lagipun tiga anak saya sudah memeluk Islam sebelum ini.
“Saya berharap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dapat menyediakan guru agama untuk membimbing kami khususnya cara sembahyang dan amalan seharian yang tidak bercanggah dengan Islam,” katanya.
Mereka memeluk Islam dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary pada Program Agihan Sumbangan Tabung Musa’adah kepada 50 keluarga dan Majlis Syahadah Orang Asli di Pos Titom.
Sementara itu, Rosni Harun, 18, meluahkan rasa bertuah, terharu dan gembira selepas memeluk Islam, lebih-lebih lagi, mengucap dua kalimah syahadah dengan Ahmad Marzuk.
Pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) Kuantan itu turut menyifatkan diri bertuah dan ingin menghayati Islam lebih mendalam.
Rosni mengakui tidak menyangka dapat memeluk Islam di kampung sendiri selepas sekian lama menyimpan hasrat itu apabila banyak bergaul dengan masyarakat Melayu di sekolah.
Terdahulu, Ahmad Marzuk berkata, JAKIM akan terus mendekati masyarakat Orang Asli melalui bahagian dakwahnya dengan menghantar guru agama dan pegawai kader membantu meningkatkan kefahaman Islam dalam kalangan mualaf.
Beliau berkata, pasukan penggerak itu menjaga kebajikan Orang Asli dan menjalankan kerja dakwah, sekali gus memastikan pemantapan ajaran Islam kepada masyarakat itu yang sudah memeluk Islam tidak terabai.
“Kita juga mengambil pendekatan turun padang, mendekati secara langsung kumpulan sasar di peringkat akar umbi, bertujuan supaya pendakwah dapat menyelami lebih dekat,” katanya