Elak anak tahan kencing


Muhamaad Razis Ismail

SITUASI anak yang masih kecil jarang ke tandas untuk membuang air kecil pastinya pernah dilalui kebanyakan ibu bapa.

Kadangkala dalam sehari hanya sekali mereka membuang air kecil kerana terlalu leka bermain atau menonton televisyen.

Hanya apabila ditegur beberapa kali, baru mereka ke tandas sebelum kembali bermain.

Bagi kanak-kanak masa bermain mereka adalah terlalu berharga dibazirkan untuk ke tandas.

Perkara ini sudah pasti merisaukan ibu bapa kerana dibimbangi tabiat berkenaan boleh memberi kesan terhadap kesihatan anak mereka.

Pakar Bedah Pediatrik Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr Nadarajan Sudhakaran berkata, ramai dalam kalangan kanak-kanak sanggup menahan kencing terlalu lama kerana terlalu leka bermain.

MENAHAN kencing boleh mengakibatkan jangkitan pada pundi kencing. FOTO Sumber Google
MENAHAN kencing boleh mengakibatkan jangkitan pada pundi kencing. FOTO Sumber Google

“Mereka hanya terdorong untuk membuang air kecil hanya ketika pundi kencing hampir penuh sebelum bergegas ke tandas.

“Sekiranya mereka tidak berjaya ke tandas tepat pada waktunya, ada kebarangkalian mereka akan terkucil,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau yang juga pakar pembedahan lubang kunci berkata, jika kanak-kanak minum air secukupnya mengikut keperluan umur dan berat badan mereka, kekerapan membuang air kecil sepatutnya antara tiga hingga empat jam sekali.

“Secara purata, mereka sebolehnya kencing sebanyak empat atau lima kali sehari,” katanya.

Tambahnya, kesan terlalu lama menahan kencing dan air besar, berkemungkinan mengakibatkan jangkitan pada saluran kencing.

“Urin stasis adalah keadaan di mana proses ekskresi pundi kencing secara semula jadi terganggu dan tidak dapat dikosongkan dengan baik, sekali gus memberi peluang kepada bakteria untuk membiak,” katanya.

Menurutnya, selain itu, ia turut memberi kesan terhadap kepekaan pundi kencing mereka.

PASTIKAN anak minum air secukupnya. FOTO Sumber Google
PASTIKAN anak minum air secukupnya. FOTO Sumber Google

“Ini akan menjadikan pundi kencing lebih besar daripada yang kebiasaannya untuk kanak-kanak.

“Kesan lainnya, tekanan terhadap pundi kencing akan bertambah seiring waktu dan ini akan mengganggu aliran kencing dari ginjal ke pundi kencing dalam jangka panjang. Jangkitan pada pundi kencing akan memudahkan jangkitan pada ginjal dan menyebabkan kecederaan pada ginjal,” katanya.

Mengulas lanjut antara simptom kanak-kanak terkena jangkitan adalah sakit di bahagian abdomen bawah, sakit apabila membuang air kecil, demam, kencing berbau kuat atau kencing keruh.

“Jika ada tanda jangkitan, sila berjumpa doktor untuk menganalisis jangkitan dan diberi rawatan,” katanya.

Antara rawatan yang akan diberikan adalah diberi antibiotik bersesuaian atau jika ini adalah kali pertama berlaku, maka ultra-sound untuk mengenal pasti anatomi ginjal dan pundi kencing dilakukan.

Beliau berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk melatih anak supaya membuang air kecil sebagai tabiat.

“Ibu bapa boleh menetapkan masa selang empat jam sekali untuk kencing. Ketika berada di sekolah, nasihat anak ke tandas ketika waktu rehat atau ketika di rumah anda boleh tetapkan jam loceng untuk mengingatkan mereka untuk membuang air kecil.

“Kaedah terbaik adalah mengenal pasti corak pembuangan air dan najis anak anda. Sebagai tambahan, pastikan mereka minum air secukupnya dan mengambil makanan berserat untuk menolong melancarkan perkumuhan najis mereka,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 42,170 other followers

%d bloggers like this: