Bertakbir raya di rumah


Datuk Abdul Aziz Jusoh

FAJAR Syawal semakin menerbitkan cahayanya di kala umat Islam masih menumpukan seluruh masa dan tenaga memperbanyakkan amal di penghujung Ramadan yang penuh dengan limpahan keampunan dan ganjaran daripada Allah SWT.

Bagi umat Islam di seluruh dunia dan khususnya di Malaysia, Syawal pada tahun ini merupakan Syawal yang amat berbeza disebabkan wabak global, virus Covid-19, yang menyelubungi dunia.

Rutin harian, tabiat kebiasaan dan norma kehidupan manusia terganggu dek ancaman virus ini. Walaupun virus ini menghambat kehidupan Muslim sehingga banyak amalan ibadah yang berbentuk jemaah seperti solat Jumaat, solat jemaah dan solat Tarawih di masjid terpaksa ditangguhkan.

Namun buat masa ini itulah jalan terbaik atau sunah yang patut dilaksanakan apabila melihat kepada implikasi kemudaratan yang akan dihadapi jika masih kekal dengan rutin berkenaan.

Dalam hal ini, setiap kemudaratan harus ditolak dengan segala daya upaya berdasarkan kepada petunjuk hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Daruqutni yang bermaksud: “Tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh membalas mudarat dengan mudarat.”

Ketibaan Syawal atau Aidilfitri yang penuh berkat juga harus dirayakan dan disambut dengan agak berbeza pada tahun ini. Walaupun begitu, objektif utama Aidilfitri iaitu menzahirkan kegembiraan dan kejayaan dengan cara membesarkan dan mengagungkan Allah SWT harus diteruskan.

Firman Allah SWT: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah, ayat 185)

Antara amalan sunah yang boleh diamalkan ketika sambutan Aidilfitri ialah memperbanyakkan takbir Aidilfitri iaitu bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) Syawal dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam keluar untuk solat Aidilfitri.

Rutin dan kebiasaan umat Islam selama ini melaungkan takbir di masjid dan surau pada malam Aidilfitri. Namun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, laungan takbir Aidilfitri boleh dilaksanakan sesama ahli keluarga di kediaman masing-masing.

Ini bagi menggambarkan rasa kesyukuran di atas kemenangan mengharungi Ramadan serta menzahirkan kerendahan diri kepada Allah SWT khususnya sepanjang episod menghadapi musibah dan ujian Covid-19 ini.

Umat Islam juga disunatkan untuk memulakan hari kemenangan dengan melakukan mandi sunat Aidilfitri. Walaupun ia dilihat kecil, namun sunah ini tidak harus dilupakan dan dicuaikan kerana setiap amalan sunah itu ada ganjaran yang tersendiri. Setelah itu, sarungkan pakaian yang terbaik bagi memperlihatkan rasa kegembiraan di atas nikmat kurniaan Syawal.

Solat sunat Aidilfitri merupakan amalan dan syiar yang utama dalam sambutan Aidilfitri seperti yang diajarkan oleh Nabi SAW dan disambung pengamalannya oleh umat Islam sehingga kini. Walau bagaimanapun, dalam situasi semasa di Malaysia, pihak berkuasa agama negeri sudah menetapkan peraturan solat sunat Aidilfitri hanya boleh dilaksanakan masjid tertentu dan disertai bilangan jemaah yang terhad.

Bagi umat Islam tidak berpeluang melaksanakan di masjid, mereka masih boleh melaksanakan amalan sunah ini di kediaman masing-masing. Suami atau ayah boleh mengimamkan solat sunat Aidilfitri ini bersama ahli keluarga masing- masing.

Dalam hal ini, umat Islam boleh merujuk panduan solat sunat Aidilfitri disediakan pihak berkuasa agama di peringkat Persekutuan atau negeri.

Syiar dan amalan sunah ini tidak harus ditinggalkan kerana ia merupakan elemen yang memaknai sambutan Aidlfitri walaupun dilakukan dalam bentuk pelaksanaan yang paling minimum.

Menjadi kebiasaan dan amalan masyarakat Islam adalah saling kunjung mengunjung sesama sanak saudara serta pulang ke kampung bagi menyambut lebaran bersama kaum keluarga. Ia merupakan amalan yang sangat baik dan bertepatan dengan ajaran Nabi SAW.

Namun, praktis seperti ini tidak dapat dilaksanakan bagi mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19. Walau bagaimanapun, roh ziarah menziarahi di antara saudara mara, sahabat handai ketika menyambut lebaran masih dapat diteruskan dengan bantuan kemudahan teknologi yang wujud pada hari ini.

Hubungan yang erat boleh diperkukuhkan dengan penggunaan teknologi semasa yang boleh menghubungkan antara ahli keluarga walaupun dipisahkan dengan jarak yang jauh.

Sampaikanlah ucapan lebaran dengan mengucapkan apa yang pernah diajarkan Nabi SAW iaitu Taqaballahu minna waminkum. al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani RH menukilkan daripada Jubair bin Nufair RA katanya: “Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”

Di samping itu, pohonlah kemaafan dan hulurkan keampunan sesama umat Islam seterusnya noktahkan segala persengketaan dengan kemunculan mentari Syawal.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 55,914 other followers

%d bloggers like this: