Biarkan anak kecil berkaki ayam


Siti Nadirah Hafidzin

“JANGAN buka selipar itu? Eh kotor kaki nanti,” jerit si ibu apabila melihat anak lelakinya berumur kira-kira tiga tahun berjalan di taman permainan tanpa memakai kasut atau selipar.

“Nanti kuman masuk,” sambungnya lagi memberi penjelasan supaya si anak lebih faham dan jelas.

Ini bukan perkara baru, malah sejak bertahun-tahun lamanya, kanak-kanak diajar untuk memakai selipar atau kasut bagi melindungi kaki daripada cedera atau terluka selain mahu mengelak jangkitan virus melalui kaki daripada persekitaran.

Hakikatnya, ramai kanak-kanak memilih untuk menanggalkan kasut sebelum melakukan aktiviti fizikal kerana kaki mempunyai fungsi tertentu selain membuatkan si kecil lebih selesa dan stabil.

Mengupas mengenai situasi berkaki ayam ini, Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Haz­hari Ismail berkata, kaki akan digunakan untuk mencengkam lantai untuk menjaga kekuatan dan keseimbangan badan.

“Setiap bahagian kaki seperti jari kaki, tumit dan tapak perlu didedahkan supaya sentuhan lebih mudah selain dapat merasai setiap yang objek yang dipijak dengan tepat.

“Jari kaki berpeluang untuk meregang manakala bahagian kaki yang melengkung menjadi lebih kuat dan kukuh. Otot kaki dan pinggang mempunyai julat pergerakan yang lebih besar atau luas dan ia membantu menguatkan kaki serta meningkatkan keseimbangan badan,” katanya.

Menurutnya, semua itu adalah pertalian yang semula jadi sekiranya kanak-kanak itu berkaki ayam.

“Pakar kanak-kanak antarabangsa, Dr Kacie Flegal menyatakan, dengan membiarkan kanak-kanak berkaki ayam (dalam keadaan tertentu) mempunyai hubungan yang kuat dengan per­kembangan saraf dan otak yang optimum.

“Kaki sangat kaya dengan saraf yang menyumbang kepada pembinaan laluan neurologi ke otak, maka dengan memakaikan kasut kepada kanak-kanak bermaksud kita mengurangkan peluang mereka merasai pengalaman menyentuh dan membantutkan perkembangan saraf yang baru,” katanya.

Menurut Hazhari, perkara yang paling membimbangkan kebanyakan ibu bapa atau penjaga adalah sekiranya kaki si kecil dijangkiti kuman apabila tidak menyarung kasut.

“Hakikatnya, kulit manusia dicipta khas untuk menghalang patogen masuk ke dalam badan. Tindak balas yang selalu kita dapat adalah kegatalan selepas menyentuh sesuatu.

“Ramai juga bimbang jika kaki si kecil terluka terutama ketika membuat aktiviti di luar. Sebenarnya, apabila berkaki ayam, kaki kita berpeluang untuk menjadi lebih kuat melainkan jika kita menyuruh anak-anak berjalan di kawasan pembinaan bangunan yang penuh dengan paku atau objek berbahaya,” katanya.

Menurutnya, memakaikan bayi atau kanak-kanak kecil sepasang kasut adalah lebih menyakitkan dan memudaratkan namun ibu bapa perlu peka dan bijak memilih kawasan.

BERI peluang anak merasai perasaan memijak dengan kaki sendiri. GAMBAR hiasan
BERI peluang anak merasai perasaan memijak dengan kaki sendiri. GAMBAR hiasan

BATASKAN PERGERAKAN

“Ibu bapa gembira apabila anak yang baru melepasi tahap bertatih sudah mula berjalan sedikit dan teruja membelikan kasut baru yang comel. Ada juga ibu bapa yang memakaikan kasut walaupun bayi itu baru tahu meniarap.

“Kaki perlu berkembang dengan semula jadi dan bukan mengikut saiz serta bentuk kasut. Penggunaan kasut hanya membataskan pergerakan kaki dan dalam jangka panjang ia memberi implikasi terhadap cara berjalan, keseimbangan badan, perkembangan deria dan perkembangan memahami ruang,” katanya.

Tambahnya, sekira­nya ibu bapa masih terlalu risau mengenai potensi bahaya yang mendatang, pilih masa tertentu sebagai rutin untuk menanggalkan kasut.

“Lakukan pelbagai aktiviti yang memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk menyentuh persekitaran dengan kaki. Jangan pula dipakaikan stoking kepada si kecil.

“Persekitaran kita ini meriah, ada batu, air, tanah, rumput kering, pasir dan lantai. Kanak-kanak perlu melalui perasaan memijak dengan kaki sendiri tanpa ada apa-apa halangan.

“Jika di rumah atau di sekolah tiada persekitaran yang semula jadi, cipta aktiviti yang berkaitan contohnya seperti sediakan bekas yang mempunyai tekstur berbeza untuk dipijak ketika bermain,” katanya.

Hazhari berkata, berkaki ayam adalah perkara menyeronokkan untuk setiap kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa perlu beri ruang dan peluang supaya si kecil berpeluang menerokai dunia sebenar dengan lebih semula jadi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,027 other followers

%d bloggers like this: