Syair, qasidah dialunkan sahabat, digemari Nabi s.a.w
Oleh Latifah Arifin
QASIDAH ialah syair Arab yang sudah diamalkan sejak sekian lama, bahkan menjadi budaya masyarakat Arab sebelum kelahiran Rasulullah SAW lagi.
Selepas Baginda diutuskan, seni syair Arab terus dialunkan tetapi mengalami perubahan apabila menjadi wadah untuk memuji Nabi Muhammad SAW, sekali gus menyebarkan dakwah Islam dan ilmu.
Seni itu turut dikenali sebagai qasidah yang mengalunkan doa kepada Allah SWT dan puji-pujian kepada Rasulullah SAW.
Qasidah berasal daripada perkataan ‘qasada’ yang bermaksud luahan hati. Manusia pertama yang berqasidah dengan memuji Nabi Muhammad SAW ialah datuk Baginda sendiri, iaitu Abdul Mutalib yang kemudian dikenali sebagai Selawat Adnani.
Selawat Adnani antara yang sehingga kini kerap dialunkan terutama dalam sambutan Maulidur Rasul kerana ia berkisar kegembiraan Abdul Mutalib dengan kelahiran cucundanya, Nabi Muhammad SAW.
Antara baitnya ialah ‘Allah memberkatimu wahai keturunan Adnan, wahai anak yang terpilih, yang penuh keikhlasan dan pengasih. Segala puji bagi Allah yang mengurniakan kepadaku, anak lelaki yang baik akhlak dan sifatnya ini.’
Pendakwah, Noor Azam Hamid, berkata ramai yang keliru dan menganggap selawat dan qasidah sebagai perkara yang sama.
“Kedua-duanya berlainan kerana selawat ialah sejenis ibadat berbentuk doa yang ditujukan khusus kepada Nabi Muhammad SAW dan menjadi perintah daripada Allah SWT kepada orang beriman.
“Qasidah pula syair yang menceritakan keindahan Islam termasuk pujian, sirah dan selawat ke atas Nabi SAW dan doa kepada Allah SWT yang dikarang menggunakan bahasa indah oleh ulama,” katanya kepada BH sempena kempen #JomCintaNabi.
Noor Azam berkata, syair yang dahulunya digunakan untuk tujuan memuji atau mengeji diubah supaya seni itu diisi dengan bahasa indah dan membuang elemen negatif seperti kejian seperti yang menjadi amalan Arab jahiliah.
Beliau berkata, qasidah diamalkan oleh sahabat sebagai elemen dakwah sehingga menjadikannya sunnah yang diikuti seperti sunnah Rasulullah SAW yang lain.
“Nabi SAW tidak pernah melarang bahkan Baginda sangat suka mendengar qasidah yang dilantunkan oleh sahabat dan mendoakan mereka dengan kebaikan.
“Baginda mendoakan bapa saudaranya, Saidina Abbas Abdul Mutalib RA yang ingin memuji Rasulullah
SAW.
“Abbas berkata: Wahai Rasulullah aku ingin memujimu. Baginda kemudian menjawab: Allah akan memberimu panjang umur dengan gigi yang sihat,” katanya.
Noor Azam berkata, jenis qasidah pada zaman Rasulullah SAW tidak banyak berbeza dengan konteks atau cara penyampaiannya pada masa kini.
“Intinya tetap sama, cuma sighah atau ungkapan selawat dan qasidah itu sangat banyak.
“Ada yang diajar langsung oleh Rasulullah SAW dan diturunkan melalui ulama tetapi sebahagiannya pula disusun indah oleh alim ulama supaya kita yang membacanya dapat merasai kemanisan cinta kepada Baginda.
“Pada zaman Rasulullah SAW, ada beberapa sahabat yang menjadi pembaca qasidah khas kepada Baginda, termasuk Hasan Thabit RA,” katanya.
Menurutnya, Hasan mempunyai mimbar khas di dalam Masjid Nabi khusus untuk melantunkan qasidah di depan Baginda.
Mengupas lanjut katanya, terdapat banyak qasidah yang masyhur dan dialunkan sehingga masa kini.
“Qasidah Thola’al Badru Alaina antara yang masyhur, iaitu dibaca oleh penduduk Madinah sewaktu menyambut ketibaan Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah.
“Qasidah Adnani yang diilhamkan daripada pujian datuk Baginda, Abdul Mutalib pula sebenarnya sebuah qasidah tetapi kerana isinya dipenuhi selawat, ia dikenali sebagai Selawat Adnani.
“Antara lain Selawat Badar yang sebenarnya qasidah dan dikarang oleh ulama Nusantara, Kiyai Mansur Siddi,” katanya.
Beliau turut meninggalkan pesanan supaya umat Islam berhibur mengikut anjuran syariat antaranya dengan mengalunkan qasidah yang dihadiahkan kepada Rasulullah SAW.
“Jadikan qasidah sebagai hiburan hati dan rohani kita serta sentiasa menghadirkan diri di majlis pembacaan qasidah serta mengalun dan mendengarnya di mana-mana saja kita berada.
“Ia penting supaya dapat menanamkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan lebih mendalam,” katanya.