Lafaz ‘sayidina’ dalam selawat, tanda beradab
Oleh Nazmi Yaakub
SELAWAT Ibrahimiyah dibaca dalam tahiyat akhir solat menjadi sebutan selawat paling sempurna kerana kesepakatan kesahihan hadis yang mengungkapkannya.
Sheikh Yusuf al-Nabahani dalam kitabnya Afdhalu as-Solawat ala Sayyidi as-Saadaat, menegaskan hadis mengenai selawat itu diriwayatkan Imam Malik dalam al-Muwata’; Imam Bukhari dan Imam Muslim dalam Sahih mereka.
Ia turut diriwayatkan Abu Daud, Tirmizi dan Nasa’i, sekali gus disebut oleh al-Hafiz al-Iraq serta al-Hafiz as-Sakhawi bahawa ia berstatus disepakati.
Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mengucapkan selawat ini, aku akan membuat penyaksian kepadanya pada kiamat dan aku memberikan syafaat kepadanya. (HR Bukhari)
Mengenai hadis itu tidak menyertakan lafaz al-siyadah (sayidina yang bermaksud pemimpin atau ketua kami), kita tetap digalakkan menyebutnya sebagai beradab dan lebih afdal daripada meninggalkannya.
Bagaimanapun ‘hadis’ yang menyebut ‘Janganlah kamu mengucapkan sayidina kepadaku dalam solat’, Sheikh Yusuf menegaskan ia batil kerana tidak mempunyai asal seperti disebut al-huffaz (pakar hadis berstatus al-hafiz) terkemudian.
Beliau turut memetik pandangan Imam Ahmad ibnu Hajar dalam al-Jauhar al-Munazzam yang membenarkan penambahan sayidina sebelum nama Nabi Muhammad SAW kerana adab yang berhak kepada Baginda walaupun dalam solat fardu.
Sebahagian ulama juga menghukumkan larangan menyebut sayidina itu sebagai hadis mauduk (palsu) kerana kesalahan susunan bahasa Arab, sekali gus menjadi ilah atau sebab ia tidak boleh dijadikan dalil.
Nabi Muhammad SAW yang dianugerahkan kefasihan dalam bahasa Arab tidak mungkin melakukan kesalahan itu.