Mengenali umat Islam Miami


Oleh Abu Bakar Ali

 

PERGERAKAN umat Islam di sekitar Amerika Syarikat (AS) agak terjejas selepas insiden tembak menembak di San Bernardino, California, pada 2 Disember 2015 yang mengorbankan 14 orang dan mencederakan 22 yang lain.

Walaupun ia berlaku di California, rata-rata warga Muslim di AS terpaksa berdepan bahang Islamofobia dengan waspada dan berhati-hati. Muslim di AS terpaksa berdepan protes, ejekan dan kerlingan sinis masyarakat setempat.

Rombongan Malaysia meninggalkan Clermont pada pagi 6 Disember 2015 menuju Miami menaiki van besar Ford Transit yang boleh memuatkan sehingga 15 penumpang. Jarak perjalanan lima jam itu terasa seolah-olah terlalu lama.

Bahang insiden San Bernardino turut mempengaruhi perasaan kami yang bercampur baur dengan rasa simpati kepada keluarga dan mangsa, marah kepada pelaku pembunuhan serta risau dengan keselamatan diri sendiri.

Alhamdulillah, perjalanan kami tidak menghadapi sebarang kesulitan cuma ketika berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk ke tandas, terasa semacam diperhatikan.

PEKARANGAN masjid di Miami dihiasi bendera AS adalah pemandangan biasa.

Beriktikaf di masjid

Di Miami, kami menjadi tetamu di kediaman Maulana Yusuf, keturunan Guyana dari Amerika Selatan, yang terletak di tapak laman bekas gereja seluas dua ekar yang dibeli ketika kejatuhan harga hartanah. Beliau membeli hartanah terdiri daripada sebuah rumah kecil dan gereja dengan harga RM804,000.

Seperti lazimnya, ahli rombongan lelaki akan beriktikaf di masjid sementara wanita tinggal di rumah Maulana Yusuf. Mereka menerima kunjungan warga Muslim kulit hitam serta keturunan Russia, India, Pakistan, Bangladesh dan Albania untuk mengikuti program dikendalikan wanita rombongan Malaysia.

Pihak lelaki pula dibawa menziarahi beberapa hospital di sekitar utara Miami untuk bertemu pesakit Muslim dan bukan Muslim yang ditempatkan di situ. Ada dalam kalangan pesakit bukan Muslim yang meminta supaya ditalkin dengan kalimah tauhid.

Kami memenuhi perminibrah taan pesakit yang juga bekas pakar perubatan, tetapi telah lebih tujuh tahun terlantar di hospital. Teman rapat yang juga bekas anak didiknya adalah seorang doktor warga Pakistan yang tidak jemu mengunjunginya untuk mengajar bekas majikannya itu mengucap dua kalimah syahadah.

PERJALANAN ke Selatan Miami.

Menyusuri pantai Miami

Menurut doktor Pakistan itu, bekas majikannya itu meminta supaya kerap diajar mengucap kerana itu sahaja amalan yang mampu dilakukan ketika sisa usia tua beliau.

Sepanjang berada di Masjid Tawheed dan sesekali berkunjung ke rumah Maulana Yusuf, kami bermuzakarah mengenai kaedah solat dalam perjalanan terutama ketika berada dalam pesawat dan menyusuri perjalanan membabitkan perubahan zon masa.

Beberapa isu dibangkitkan dan Yusuf, ulama berumur sekitar awal 30-an itu memberi pencerahan supaya kami dapat menghadapi situasi tertentu tanpa was-was.

Ketika berada di sana, kami dibawa bersiar di tepian pantai Miami Utara. Kesempatan diambil untuk beriadah dan menikmati keindahan di tepi pantai sambil menunggu Maulana Yusuf dan anaknya, Ruqiyah serta Muhammad bermandi-manda.

Sempat juga kami beramah mesra dengan pengunjung pantai termasuk kaki pancing yang sedang mencuba nasib mengail ikan laut Atlantik. Kelihatan ikan lumba-lumba muncul di permukaan air seolah mengalualukan kedatangan kami.

Hari-hari berikutnya, kami menjadi tetamu kepada saudara Islam di sana yang bersedia menerima kami dengan tangan terbuka antaranya pemandu teksi, Abdus Salam di Pembrook Pines serta peniaga Md Yusoff di Miami Utara.

Setelah hampir dua bulan di bumi Florida, barulah kami bertemu dengan orang yang bertanggungjawab menguruskan kedatangan rombongan Malaysia ke AS, pengetua sekolah di Masjid An Nur Kendall, Miami Utara, Ali Siddiqui, yang pernah menjadi pensyarah di sebuah universiti di Arab Saudi.

Kerinduan masakan resipi Melayu terubat juga apabila kami dijamu hidangan ikan kerapu tiga rasa. Menurut Ali, resipi itu dipelajari daripada warga Malaysia yang berkhidmat bersamanya di universiti di Arab Saudi.

PENULIS bergambar dengan pemancing di sebuah jeti di tepi pantai Miami Utara.

INFO

  • Penduduk Miami terdiri daripada masyarakat yang pelbagai dengan sebahagian besar adalah warga asing yang dilahirkan di sana kerana kedudukannya berhampiran Amerika Latin dan Caribbean.
  • Terdapat kira-kira 70,000 penduduk Islam di Miami.
  • Persatuan Komuniti Islam (MCA) adalah persatuan yang aktif menyediakan landasan menyampaikan Islam di Utara Florida.
  • Masjid Miami awalnya adalah sebuah rumah yang dibeli hasil wang dikumpul masyarakat Islam pada 1975.
  • Masyarakat Islam kemudian membeli sebuah gereja kecil di Miami Gardens. Pada tahun 1991, pembinaan bangunan baharu Masjid Miami bermula dan siap sepenuhnya pada tahun 1997.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,027 other followers

%d bloggers like this: