Hukuman bunuh terhadap orang yang cuba mencuri jasa Nabi s.a.w


  • Kisah : Mimpi Sultan Yang Adil, Mahmud Zinki

Pernah terjadi satu peristiwa apabila Tanah Haram di Madinah hendak dicerobohi oleh dua orang Kristian yang ingin mencuri jasad Rasulullah SAW di dalam kubur. Mereka tahu jasad Rasulullah tidak hancur dan tidak dimakan tanah. Sesungguhnya orang Yahudi dan Kristian tahu akan hal ini.Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki, bapa saudara kepada Sultan Salahuddin al-Ayubi. Pada zaman itu, orang Islam lemah dan pada zaman itu juga orang Kristian berani untuk cuba mencuri jasad Rasulullah SAW. Allah mengurniakan kepada Sultan Mahmud al-Zinki tiga kali mimpi berjumpa Rasulullah SAW, dan Rasulullah SAW berkata kepadanya:

يَا مَحْمُوْد، أَنْقِذْنِي مِنْ هَذَيْن الشَّخْصَيْن

“Wahai Mahmud! Selamatkanlah aku daripada dua orang ini (kerana mahu melakukan kejahatan kepadaku).”

Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki seorang yang alim, tinggi ilmu agama dan banyak membaca tafsiran hadis-hadis Rasulullah SAW serta mengetahui ada hadis yang berbunyi:

مَنْ رَآنِي في المنَامِ فَسَيَرَانِي في اليَقَظَةِ، وَلا يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بي

Sesiapa yang bermimpi bertemu aku di dalam tidur, maka dia betul-betul berjumpaku (di dalam mimpi). Sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku.”

Riwayat al-Bukhari (6993)

Tsabit dalam hadis di atas, sesiapa yang bermimpi berjumpa Rasulullah SAW maka itulah Rasulullah SAW kerana syaitan tidak boleh merupakan dirinya seperti Rasulullah SAW. Sultan Mahmud Zinki terus bersolat tahajjud kerana tidak faham akan maksud mimpinya, kemudian dia memanggil menterinya yang soleh (ada riwayat mengatakan dia adalah Jamal al-Din al-Asfahani, atau al-Muwaffaq al-Qaisarani) dan memberitahu berkenaan mimpi yang diterimanya itu telah berlaku sebanyak tiga kali. Lalu menteri memberi cadangan supaya menyediakan pasukan berkuda secepat mungkin pada malam itu juga dan bertolak ke Madinah. Lalu Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki bersama bala tenteranya menuju ke Madinah dengan memacu kuda secepat mungkin. Setelah tiba di Madinah, dia tidak memberitahu kedatangannya kepada gabenor Madinah. Dia terus duduk di Raudhah. Raudhah ialah salah satu tempat antara kubur dan mimbar Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW:

مَا بَيْنَ بَيْتِيْ وَمِنْبَرِيْ رَوْضَةٌ مِنْ رِياَضِ الْجَنَّة

Di antara kuburku dan mimbarku ada salah satu taman dari taman-taman syurga.”

Riwayat al-Bukhari (6588) dan Muslim (1391)

Di situlah Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki duduk beriktikaf tidak tahu hendak buat apa kerana baginda tidak tahu mentakwil mimpi. Akhirnya baginda berbincang dengan menterinya dan menterinya memberi pandangan supaya memanggil gabenor Madinah dan mengarahkan beliau membuat pengisytiharan bahawa Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki telah datang ke Madinah dan baginda mahu memberi hadiah (sedekah) kepada penduduk Madinah. Maka, semua penduduk Madinah datang dan dicatat nama masing-masing. Kedatangan semua penduduk Madinah diperhatikan satu persatu olehnya dan baginda mendapati tiada satu pun orang yang menyerupai orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW di dalam mimpinya. Sultan bertanya kepada gabenor sama ada sudahkah semua penduduk Madinah datang:

هَلْ بقي أَحَد لِمْ يَأْخُذْ شَيْئًا مِن الصَّدَقَة؟

Adakah masih ada sesiapa lagi (penduduk Madinah) yang berbaki tidak mengambil langsung sedekah ini?”

Gabenor mengatakan bahawa semua penduduk Madinah telah dikerah. Cuma yang tinggal dua orang yang bukan penduduk Madinah datang dari al-Andalus. Mereka adalah saudagar kaya yang datang menziarah untuk melakukan ibadat. Lalu Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki mengarahkan dua orang ini datang menghadap baginda. Apabila kedua-dua orang ini datang, mereka adalah orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, Sultan Nuruddin Mahmud segera mengarahkan kedua-dua orang itu membawa ke tempat penginapan mereka. Baginda masuk ke dalam rumah yang disewa berlantaikan tanah, berhampiran dengan Masjid al-Nabawi. Apabila baginda masuk ke dalam bilik, tiada sebarang petunjuk. Setelah berpusing di dalam bilik, baginda mendapati satu keganjilan iaitu almari tempat meletakkan rak-rak kitab berada di tengah-tengah rumah. Kebiasaannya perkakasan sedemikian diletakkan di tepi dinding.

Lalu diperintahkan almari diangkat dan disisihkan ke tepi dinding. Setelah disisihkan, terdapat hamparan yang meliputi lantai rumah tersebut, dan didapati di tengah-tengah rumah itu ada lubang yang sedang digali menghala ke kubur Rasulullah SAW. Apabila kedua-duanya disoal-siasat mengapa mereka berbuat begitu, mereka memberitahu bahawa mereka mahu mengambil jasad Rasulullah SAW dan dikebumikan di tempat lain supaya orang Islam pergi ke tempat itu. Zahirnya mereka kelihatan melakukan ibadat, tetapi pada masa yang sama mereka menggali lubang untuk melakukan khianat terhadap umat Islam. Tanah yang digali diletakkan di dalam “kirbah”. Kirbah adalah bahagian anggota kambing yang biasanya dibuat tempat mengisi air. Tanah itu dipikul dan dibuang di dalam telaga di luar tempat penginapan mereka sehingga orang ramai menyangka mereka membawa air.

Akhirnya kedua-dua mereka itu dijatuhi hukuman pancung di “Bab al-Salam” mengikut perintah Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki, dan mayat mereka dibakar di luar sempadan Madinah. Kemudian Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki mengarahkan kubur Rasulullah SAW dipagar bukan sahaja di atas tanah bahkan di dalam tanah. Digali di kelilingnya seperti tembok dan diletakkan pagar yang kukuh dan dikawal dengan rapi. Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki pada abad 13-M, dan diceritakan oleh Zain al-Maraghi di dalam Tahqiq al-Nusrah, Ibn Qadhi Syahbah di dalam al-Dur al-Thamin fi Sirah Nur al-Din, al-Samhudi di dalam Wafa al-Wafa’, Ibn al-Imad di dalam Syazarat al-Zahb, dan al-Barzanji di dalam Nuzhah al-Nazirin. Peristiwa ini benar-benar berlaku dan menunjukkan bukti Allah menjaga Nabi Muhammad SAW pada masa hidup dan pada masa wafat baginda. Ini merupakan sebahagian tanda kenabian yang wajib kita percaya bahawa Rasulullah SAW adalah Nabi yang diutus Allah demi mengajar Islam kepada seluruh umat manusia.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,027 other followers

%d bloggers like this: